Jelajah Team Selangor Zon Sepang

Jelajah Team Selangor Zon Sepang

Semangat Merah Kuning Team Selangor terus melebarkan sayapnya ke arah pemerkasaan komuniti. Pada kali ini, ia melibatkan para sukarelawan Team Selangor Zon Sepang menerusi program Jelajah Komuniti Team Selangor yang diadakan selama dua hari iaitu pada 14 dan 15 Oktober 2017 (Sabtu dan Ahad). Penganjuran program ini, antara lain bertujuan untuk melibatkan dan menggiatkan para sukarelawan Team Selangor Zon Sepang dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Di samping itu, secara tidak langsung, program ini berperanan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan sukarelawan dan penduduk tempatan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) (i) Sementa, (ii) Sabak dan (iii) Sungai Air Tawar. Dalam program jelajah ini, Pegawai Team Selangor Encik Abdul Muiz Azmi bertindak sebagai pegawai program dengan kerjasama Ketua Team Selangor Zon Sepang Haji Mustari Kanyon.

866 623

Sukarelawan yang terlibat dalam Jelajah Komuniti Team Selangor bersiap sedia seawal pukul 6.30 pagi 14 Oktober 2017 (Sabtu) dengan sesi taklimat pergerakan program jelajah sebelum menuju ke tiga destinasi utama. Bertempat di Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, para sukarelawan berkumpul untuk bersama meraikan Program Pelancaran Team Selangor Zon Sepang yang disempurnakan dengan penyerahan jersi Team Selangor sebagai simbolik pelancaran. Setelah itu, doa dibacakan dan penjelajahan pun bermula dengan disertai lebih 60 orang sukarelawan.

Destinasi pertama disinggahi Team Selangor ialah Masjid Ar-Redzuan, Kampung Sungai Serdang yang terletak di kawasan DUN Sementa. “Ahlan Wa Sahlan, Wa Marhaban Bikum”, kehadiran sukarelawan disambut dengan mesra oleh para ahli kariah kawasan masjid berkenaan. Di sini, sukarelawan berkenal-kenalan dan beramah mesra bersama komuniti. Aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar kawasan masjid telah diadakan bagi memastikan kawasan sekitar sentiasa terjaga di samping dapat mengelakkan kawasan daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk dan makhluk perosak yang dikhuatiri akan mendatangkan penyakit.

Setelah sesi program di DUN Sementa berakhir pada pukul 1.00 tengah hari, jelajah diteruskan ke Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10, Sabak Bernam yang terletak di DUN Sabak. Agenda Team Selangor di kawasan ini tambah menarik apabila para sukarelawan dilibatkan dalam program keluarga angkat bersama penduduk tempatan. Bersesuaian dengan kegiatan ekonomi yang sinonim dengan komuniti di kawasan Sabak Bernam, sukarelawan didedahkan dengan kerja-kerja bersawah. Mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman turun ke lopak sawah untuk menyemai anak padi. Selain itu, lawatan sumbangan asnaf diadakan bagi menyampaikan sumbangan kepada para penerima yang layak. Pada sebelah petang, setelah solat Asar, perlawanan bola sepak, sepak takraw dan bola jaring diadakan yang menyaksikan pasukan Team Selangor berentap dengan penduduk tempatan.

Pengisian program pada sebelah malam berlangsung di Masjid Sultan Muhammad Shah. Kuliah Maghrib telah disampaikan penceramah selain motivasi kepada sukarelawan untuk membina modal insan dan jati diri dalam kalangan belia. Para sukarelawan tekun menghayati pengisian ceramah yang turut disampaikan oleh para pegawai Team Selangor. Sesi pada sebelah malam tamat kira-kira pukul 11.00 malam. Jadual program yang agak padat tentunya melelahkan para sukarelawan terlibat, mereka menginap di rumah keluarga angkat bagi melepaskan penat sementara mengumpul tenaga untuk program keesokan harinya.

Walimah Perdana

Walimah Perdana

Suasana meriah dan wajah ceria terpapar di sekitar kawasan Padang Rakyat, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Oktober 2017 (Ahad) lalu apabila tujuh pasangan mempelai diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada tetamu kenamaan, keluarga dan sanak saudara. Terdahulu, lima daripada pasangan pengantin tersebut telah diijabkabulkan oleh jurunikah kawasan kariah Kampung Jalan Kebun di Masjid An-Naim dengan kehadiran keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Majlis perkahwinan yang dihadiri lebih 2,000 tetamu ini berlangsung dari pukul 12.00 tengah hari hingga jam 4.00 petang dengan perarakan pengantin, acara adat persandingan dan jamuan makan beradab. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran para tetamu jemputan Y.B. Dr. Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja), Y.B. Shuhaimi Shafiei (ADUN Sri Muda) dan Y.B. Dr. Yaakob Sapari (ADUN Kota Anggerik).

Bersesuaian dengan tuntutan agama yang menggalakkan kesederhanaan, majlis perkahwinan secara beramai-ramai ini menjadi wadah bagi para belia yang berhasrat mendirikan rumah tangga dengan kos mampu biaya. Apatah lagi, ia bersesuaian dengan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat saban hari. Sehubungan itu, program kerjasama Team Selangor ini berjaya memenuhi objektifnya untuk menggalakkan golongan muda mengadakan majlis perkahwinan dengan kos yang rendah.

Pasangan pengantin yang diraikan telah menerima Hadiah Insentif Skim Perkahwinan Belia berjumlah RM 500 iaitu bagi anak Selangor yang pertama kali melangsungkan perkahwinan. Di samping itu, tiga pasangan bertuah dalam majlis tersebut dihadiahkan dengan pakej penginapan di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam.

Menariknya, menerusi Program Walimah Perdana ini, semangat gotong-royong yang didakwa kian pudar dalam kalangan generasi muda hari ini dapat ditangkis apabila sepanjang majlis ini berjalan, ia menyaksikan golongan belia dari sekitar kawasan Shah Alam telah turun padang beramai-ramai menyumbang tenaga untuk menjayakan perjalanan majlis.

Hal ini turut membuktikan bahawa inisiatif Team Selangor menggiatkan aktiviti kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti di negeri Selangor sentiasa mendapat sambutan hangat dan dinanti-nantikan golongan belia. Akhirnya, kami daripada Team Selangor mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada ketujuh-tujuh pasangan pengantin, semoga rumah tangga yang dibina berkekalan hendaknya.

Pelancaran Team Selangor

Pelancaran Team Selangor

Kerajaan Negeri Selangor mengorak langkah ke hadapan dengan penubuhan Team Selangor iaitu pasukan berteraskan semangat kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti tempatan yang menarik minat golongan muda atau Generasi Y. Pelancaran Team Selangor yang merupakan Inisiatif Kesedaran Kenegaraan dan Pemerkasaan Komuniti di negeri Selangor ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis gilang-gemilang bertempat di Midlands Convention Centre. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat dalam kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli  Dewan Negeri Selangor dan para wakil komuniti tempatan serta para sukarelawan yang menjadi nadi Team Selangor.

Menerusi ucapan beliau dalam majlis itu, Menteri Besar Selangor menzahirkan harapan menggunung terhadap generasi muda Selangor, sebagai berkata, “Kerajaan Negeri percaya masa hadapan negara bukan terletak di tangan pemimpin lama tetapi anak muda”. Tambah beliau, “Bagi merealisasikan matlamat ‘Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri’, kita bertanggungjawab memupuk semangat sayangi negeri dan melahirkan masyarakat peduli dan berdaya”. Encik Ehsan Shahwahid yang mewakili Urusetia Team Selangor menekankan peranan Team Selangor sebagai pemudah cara dan penyelaras yang menggerakkan aktiviti komuniti di negeri Selangor seperti program rundingan atau dialog komuniti, kegiatan kesukarelawanan dan latihan pemerkasaan kepimpinan komuniti. Jelas beliau lagi, Team Selangor bergerak berteraskan tiga teras utama iaitu (i) kesedaran kenegaraan, (ii) penglibatan komuniti dan (iii) tindakan kesukarelawanan. Sementara itu, Pengerusi Program Pelancaran Team Selangor Encik Tarmizi Anuwar melahirkan harapan agar majlis pada malam itu menjadi wadah berkesan bagi memperkenal dan mempromosikan program sukarelawan bersifat kenegaraan kepada warga negeri Selangor.

Dengan tertubuhnya Team Selangor yang bertemakan Semangat Merah Kuning ini, ia antara lain bertujuan mencapai tiga objektif utama iaitu (i) memupuk nilai kesukarelawanan dan mengenal pasti nilai kepimpinan dalam komuniti Selangor, (ii) mengenal pasti isu-isu setempat dan (iii) menghasilkan penyelesaian bersifat tempatan menerusi penglibatan akar umbi, kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan. Sejak bulan Januari 2017, pihak Team Selangor telah menerima sambutan menggalakkan daripada anak muda negeri Selangor apabila lebih 3,000 orang mendaftar sebagai sukarelawan. Di samping itu, kira-kira 600 projek aktiviti komuniti yang melibatkan kerjasama pemimpin tempatan dan komuniti setempat telah dijalankan dengan penglibatan aktif dan memberangsangkan, khususnya peserta daripada golongan belia. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini menawarkan dana sehingga RM 5,000 kepada komuniti yang berminat untuk mengemukakan permohonan dan kelulusan dengan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada laman sesawang rasmi Team Selangor di alamat http://www.teamselangor.org