Kita kerap mendengar istilah pembangunan negara. Maka, akan terbayanglah dalam minda kita bangunan pencakar langit, pengangkutan serba moden dan pelbagai infrastruktur canggih sebagai pencitraan kepada pembangunan negara itu.
Namun, pembangunan politik, ekonomi mahupun sosial tidak dinikmati setiap individu, kumpulan, komuniti dan masyarakat. Adakah orang kelainan upaya (OKU) boleh bergerak sendirian dari kediaman ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam? Adakah penduduk di kawasan luar bandar mampu menggunakan perkhidmatan jalur lebar untuk meniagakan produk tempatan mereka?
Perlu diinsafi bahawa dalam perlumbaan menuju kemajuan, terdapat golongan yang terpinggir dalam proses tersebut. Bagi memastikan golongan terpinggir terlibat sama dalam arus pembangunan, kita memerlukan proses PEMBERDAYAAN.
APA ITU PEMBERDAYAAN?
‘PEMBERDAYAAN’ atau dikenali juga sebagai PEMERKASAAN atau istilah Bahasa Inggerisnya EMPOWERMENT merupakan proses untuk menjadikan seseorang individu, kumpulan, komuniti seterusnya masyarakat untuk BERDAYA MELAKUKAN APA YANG SEBELUM INI TIDAK BERDAYA UNTUK DILAKUKAN, selanjutnya, mampu bersikap mandiri untuk lebih berjaya dalam apa jua yang mereka lakukan.
Pemberdayaan lazimnya mensasarkan golongan yang menjadi aset pembangunan. Ia termasuk golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan. Contohnya, golongan belia, kanak-kanak golongan luar bandar, warga emas termasuklah warga Malaysia yang merangkumi separuh daripada populasi negara ini iaitu GOLONGAN WANITA.
APA ITU PEMBERDAYAAN WANITA?
Apabila membincangkan mengenai wanita dan pembangunan, konsep ‘pemberdayaan’ sememangnya tidak dapat dipisahkan. Hal ini kerana golongan wanita perlu dilengkapi dengan kemahiran, digilap bakatnya dan dilatih untuk menjadi lebih cekap menjalankan peranan dalam pembangunan.
‘PEMBERDAYAAN WANITA’ ialah proses wanita memperolehi KUASA dan KAWALAN ke atas kehidupan mereka khususnya dalam aspek ekonomi, sosiobudaya dan politik. Pemberdayaan golongan wanita penting untuk mewujudkan matlamat akhirnya iaitu KEADILAN GENDER.
MENGAPAKAH PEMBERDAYAAN WANITA PERLU?
Wanita merangkumi hampir separuh daripada populasi rakyat Malaysia. Pada tahun 2017, 15,339.4 juta daripada keseluruhan 32.2 juta rakyat Malaysia terdiri daripada wanita. Sekiranya kekuatan sebesar ini tidak berpeluang terlibat dalam pembangunan, setiap komuniti akan mengalami kerugian modal insan. Sehubungan itu, terdapat beberapa sebab mengapa pemberdayaan wanita perlu dilaksanakan:
- Mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik.
- Melibat sertakan wanita dalam proses pembangunan komuniti.
- Mengelakkan berlakunya pembaziran modal insan daripada bakat, kemahiran dan tenaga.
- Memastikan wujudnya keadilan gender dalam masyarakat.
BAGAIMANAKAH PEMBERDAYAAN GOLONGAN WANITA DIJALANKAN?
Memberdayakan golongan wanita bukan suatu tugas yang mudah. Ia merupakan proses yang panjang, melibatkan refleksi yang mendalam terhadap sesuatu isu terlebih dahulu. Jika golongan sasaran dikenal pasti, maka latihan dan perkongsian ilmu akan diadakan. Apabila golongan wanita mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa bengkel latihan, ia memerlukan follow up yang berterusan daripada jurulatih sehinggalah mereka boleh melaksanakan secara berdikari. Ia tidak terhenti setakat itu sahaja, golongan wanita yang telah diberdayakan haruslah mampu pula mengadakan program pemberdayaan terhadap komunitinya. Hanya dengan cara inilah proses pemberdayaan dianggap berjaya.
APAKAH MANFAAT YANG DIPEROLEH DARIPADA PEMBERDAYAAN WANITA?
- Sesuatu isu atau masalah yang dihadapi golongan wanita boleh diselesaikan berteraskan penyelesaian antara ahli komuniti.
- Penyebarluasan kemahiran dalam kalangan wanita.
- Pembinaan jaringan atau kenalan melalui program pemberdayaan.
- Pembangunan komuniti dan kesejahteraan masyarakat dapat ditingkatkan.
PEMERKASAAN KOMUNITI SELANGOR DAN PEMBERDAYAAN WANITA
Pemerkasaan komuniti Selangor yang sempurna hanya dapat direalisasikan jika golongan wanitanya turut diberdayakan menerusi program-program yang berteraskan aktiviti komuniti. Dalam usaha untuk memperkasakan wanita, perlu jentera atau pihak yang berperanan memastikan pemberdayaan wanita dijalankan berterusan. Di Selangor, golongan wanita amat beruntung kerana peranan pemberdayaan ini digalas oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) manakala Institut Wanita Berdaya (IWB) sebagai badan pemikirnya.
Bagi memastikan program berteraskan pemerkasaan komuniti ini mengambil kira inklusiviti golongan wanita, Team Selangor menyediakan wadah untuk anda memberdayakan golongan wanita. Oleh yang demikian, kami amat mengalu-alukan Wanita Selangor bergerak bersama kami dalam Team Selangor mengembangkan sayap Semangat Merah Kuning!
WANITA BERDAYA, SELANGOR BERJAYA!