Seminar Politik, Ekonomi dan Kemasyarakatan Selangor

“…Salah satu kepentingan Piagam Madinah adalah untuk ‘pemberdayaan rakyat’ atau Tamkinul Ummah…”. Begitulah mesej yang dilontarkan dalam Seminar Politik, Ekonomi dan Kemasyarakatan Selangor oleh Pengarah Maqasid Institute Malaysia Ustaz Marwan Bukhari Abdul Hamid. Pemberdayaan rakyat atau komuniti ini dijalankan melalui usaha pihak Maqasid Institute dan Team Selangor dalam Seminar Politik, Ekonomi dan Kemasyarakatan Selangor yang diadakan pada 10 Disember 2017 (Ahad) bertempat di Bilik Seminar UNIKEB, Bangi Gateway di Bandar Baru Bangi. Program setengah hari bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang ini bertujuan memberi pencerahan kepada rakyat di negeri Selangor mengenai dua perkara. Pertama, ilmu politik Islam dan Barat dalam kerangka demokrasi di Malaysia. Kedua, keadaan ekonomi Malaysia masa kini dan kelangsungan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Hal ini selanjutnya diharap memacu pemerkasaan nilai kesedaran komuniti terhadap kepentingan wacana ilmu politik dan ekonomi.

 

Antara peserta yang hadir dalam Seminar Politik, Ekonomi dan Kemasyarakatan Selangor. Mereka tidak berganjak dari mula hingga akhir program.

 

Para peserta khusyuk mendengar kupasan yang disampaikan oleh para pembentang.

 

Tiga slot telah mengisi perjalanan acara seminar ini yang mana ia mengundang pelbagai ulasan dan pertanyaan daripada para peserta yang hadir. Ia terdiri daripada pelajar Universiti Awam dan Universiti Swasta sekitar kawasan Selangor, para NGO dan orang awam. Slot pertama disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari Abdul Hamid yang mengupas Kepolitikan Islam Melalui Piagam Madinah. Slot kedua pula disampaikan oleh Felo Sekolah KL Encik Ikmal Nordin dengan tajuk Krisis Ekonomi Negara: Peranan Rakyat dan Kerajaan. Slot ketiga iaitu Idea Negara Moden dan Implikasi Moralnya disampaikan oleh Pensyarah Ramsay Sime Darby Healthcare College Encik Hazman Baharom.

 

“Meneliti Kepolitikan Islam Melalui Piagam Madinah” oleh Ustaz Marwan Bukhari.

 

“Krisis Ekonomi Negara: Peranan Rakyat dan Kerajaan” oleh Encik Ikmal Nordin.

 

“Negara Moden dan Implikasi Moralnya” oleh Encik Hazman Baharom.

 

Seminar ini merupakan anjuran bersama Maqasid Institute Malaysia dan Team Selangor untuk menangani isu-isu politik dan ekonomi semasa sekali gus menjadi pemangkin kepada kolaborasi pada masa akan datang. Maqasid Institute Malaysia yang berpengkalan selama dua tahun di negara ini sejak 2016 memiliki pusatnya di Amerika Syarikat dan cawangan lain di United Kingdom, Itali dan Indonesia. Pengarah Eksekutif Maqasid Institute Malaysia Ustaz Marwan Bukhari ketika ditemubual berkata, pihaknya memfokuskan program ilmiah seperti wacana dan penerbitan di samping menjalankan konsultasi kepimpinan, sumbang saran untuk maslahah dan penglibatan dalam perjanjian persefahaman. Kumpulan ini didukung oleh golongan muda dan penasihat dalam kalangan veteran.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa seminar pada kali ini bertujuan untuk menangani isu polisi dan pemikiran politik serta ekonomi. Dalam kesempatan itu juga, beliau menjelaskan bahawa isu kewanitaan dan kekeluargaan menjadi fokus Maqasid Insitute Malaysia iaitu isu yang dapat membantu mencapai kesejahteraan masyarakat. Ustaz Marwan Bukhari berpandangan positif mengenai kerjasama dan jalinan jaringan bersama Team Selangor dalam memberdayakan masyarakat yang mana akhirnya komuniti itu diharapkan boleh bersifat mandiri. Seminar ini dipengerusikan oleh Pegawai Program Team Selangor Encik Ashraf Ahmad Hadi yang turut memberi penerangan dan promosi mengenai aktiviti dan peranan Team Selangor dalam memperkasa komuniti Selangor yang bersesuaian dengan salah satu intipati kepolitikan Islam Piagam Madinah untuk memberdayakan komuniti.

 

Encik Ashraf Ahmad Hadi mempromosikan Team Selangor kepada para hadirin.

Share this post