Revolusi Industri 4.0

Pernahkah anda mendengar tentang Revolusi Industri 4.0? Ramai orang, jika membayangkan mengenai Revolusi Industri akan merujuk proses perindustrian di Eropah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada satu tahap, ia mengakibatkan negara-negara Eropah mencari sumber dan ruang pasaran sehingga mengesankan negara-negara mundur. Hal ini mendorong negara Barat yang mengalami proses perindustrian untuk menjajah negara-negara yang kaya dengan sumber. Dalam hal ini, proses revolusi industri hanya tertumpu dalam ruang fizikal.

Kini, Revolusi Industri bukan lagi proses yang tertumpu dalam ruang fizikal. Sebaliknya, ruang siber menjadi medan proses revolusi yang dipanggil sebagai Revolusi Industri 4.0 (RI4.0).

 

TIGA REVOLUSI INDUSTRI TERAWAL

Revolusi Industri Pertama pada akhir abad ke-19 dipacu berasaskan tenaga wap dan tenaga air.

Revolusi Industri Kedua pada awal abad ke-20 menyaksikan tenaga elektrik yang lebih murah dan cekap digunapakai untuk meningkatkan pengeluaran.

Revolusi Industri Ketiga pada pertengahan abad ke-20 dimungkinkan oleh teknologi komputer, internet dan automasi sehingga mewujudkan ekonomi maklumat atau k-economy.

 

APA ITU REVOLUSI INDUSTRI 4.0?

 

RI4.0 atau Industrial Revolution 4.0 (IR4.0) merupakan fasa baharu yang memberi kesan kepada kehidupan manusia sehari-hari. Ia dimungkinkan oleh kepantasan dan kecanggihan teknologi sehingga memberi impak terhadap ruang fizikal. Ia disebut sebagai cyber-physical system.

 

Dalam buku ‘The Fourth Industrial Revolution’, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia Profesor Klaus Schwab menegaskan bahawa RI4.0 ini berbeza dengan tiga revolusi industri sebelumnya. Ia dicirikan oleh kepesatan kemajuan teknologi. Kita berdepan dengan teknologi baharu yang merangkumi duniafizikal, digital dan biologikal. Teknologi inilah yang memberi kesan kepada pelbagai jenis disiplin, politik, ekonomi dan pada satu tahap mencabar erti kemanusiaan.

 

APAKAH WAJAH REVOLUSI INDUSTRI 4.0 DALAM KEHIDUPAN KITA?

 

  • Kerja-kerja yang lazimnya dilakukan menggunakan tenaga manusia digantikan dengan teknologi, komputer, robot dan automasi. Jika anda menggunakan perkhidmatan awam Komuter KTMB, LRT, Monorel dan MRT, anda hanya perlu membeli tiket atau menambah nilai kad anda menggunakan mesin yang disediakan.

 

  • Urus niaga tidak lagi memerlukan anda pergi ke pejabat untuk berurusan. Perbankan atas talian untuk membayar bil, menambah nilai prabayar anda dan membeli-belah. Kini boleh dilakukan di hujung jari anda.

 

  • Ruang fizikal semakin dipinggirkan sebagai lokasi kerja. Wujud fleksibiliti daripada segi penggunaan ruang pejabat sehinggakan ruang siber menjadi lokasi kerja, perbincangan idea, pertukaran pendapat dan ‘segalanya’ terpusat kepada telefon pintar.

 

APAKAH PELUANG DAN CABARAN YANG HADIR BERSAMA REVOLUSI INDUSTRI 4.0?

 

Peluang

  • Kita boleh menjimatkan masa, tenaga dan kos dalam urus niaga kewangan.
  • Kita berpeluang untuk berniaga barangan dan perkhidmatan secara atas talian.
  • Kita berupaya untuk mengadakan mesyuarat, perbincangan dan membina jaringan tanpa dibatasi oleh sempadan negara.

 

Cabaran

  • Kita berhadapan ancaman keselamatan siber seperti penipuan (scam) yang disifatkan sebagai jenayah bentuk baharu yang juga memerlukan kerangka undang-undang baharu.
  • Kita disajikan dengan maklumat yang tidak disaring kebenarannya sehingga boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.
  • Kita dibebankan dengan ketidaksamarataan faedah RI4.0 yang mengakibatkan jurang sosial semakin melebar dalam masyarakat.

 

Akhirnya, RI4.0 telah, sedang dan akan terus memberi impak kepada kehidupan harian. Setiap pihak baik ibu bapa dalam keluarga, pemimpin komuniti dalam masyarakat dan para penggubal dasar perlu lebih cakna mengenai perubahan yang dibawa oleh revolusi ini. Terjahan ruang siber dalam kehidupan harian memerlukan peluang dan cabaran RI4.0 diseimbangkan dengan menjadikan nilai-nilai kemanusiaan sebagai terasnya.

Share this post