‘Semangat patriotisme’, ‘Berjiwa patriotik’, ‘Berdarah patriot’. Ketiga-tiga rangkai kata ini berkait dan berakar daripada perkataan bahasa Yunani iaitu patriōtikos yang bermaksud ‘berkenaan dengan warga sesebuah negeri atau desa’. ‘Patriot’ ialah seseorang yang mencintai tanah air dan sanggup mempertahankannya. Seorang patriot memiliki semangat ‘patriotisme’ iaitu perasaan menyayangi tanah airnya atau homeland. Oleh itu, seseorang yang mencintai tanah air akan bersikap ‘patriotik’ dalam setiap tindakannya menjurus ke arah kebaikan dan kesejahteraan watannya.
Dalam hal ini, kepentingan nilai patriotisme tidak dapat dinafikan. Jika negara diancam kuasa asing, baik melalui penguasaan ekonomi global yang menguntungkan negara pemodal dan meminggirkan negara miskin, mahupun ancaman fizikal seperti peperangan yang mengancam keselamatan negara, kita sememangnya memerlukan warga berjiwa patriotik!


Kunci Patriotisme
Saban tahun, kita mendengar generasi muda didakwa semakin luntur sikap patriotiknya. Benar atau tidaknya dakwaan ini, ia perlu direnungkan semula. Ia menjadi putaran daripada satu generasi ke satu generasi apabila generasi terdahulu akan mendakwa generasi terkemudian sebagai kurang semangat patriotismenya. Bagaimanakah kita boleh memupuk patriotisme? Menyedari patriotisme sebagai senjata ideologi yang berkesan untuk mempertahankan negara, apakah sebenarnya ‘kunci’ kepada patriotisme?

Salah satu kunci patriotisme ialah ‘mencintai sejarah’. Hal ini kerana melalui pengkisahan sejarah, timbul rasa bangga terhadap bangsa dan tanah air khususnya sejarah yang gilang-gemilang. Kewujudan Melaka sebagai pelabuhan entrepot dan Bahasa Melayu sebagai lingua franca semestinya membibitkan rasa bangga dan yakin diri. Jika sejarah memperlihatkan kelemahan dan kemiskinan seperti deritanya zaman penjajahan pra merdeka, ia menimbulkan keinsafan sekali gus usaha untuk memperbaiki nasib bangsa.
Sehubungan itu, perasaan bangga dan keinsafan dapat dibangunkan dengan mengetahui asal-usul kewujudan tanah air, mengenali tokoh-tokoh yang berjasa membangun dan memakmurkan negara atau negeri, memahami peristiwa-peristiwa penting dan bermakna yang telah mencorak bentuk perjalanan sejarah dan merintis masa depan.
Penzahiran Patriotisme
Semangat patriotisme dijelmakan menerusi pelbagai bentuk. Di sekolah, setiap kali tibanya Hari Kebangsaan, pelbagai acara dianjurkan untuk memupuk patriotisme para pelajar. Misalnya, mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri, menyanyikan lagu berunsur kecintaan tanah air dan pembacaan puisi kemerdekaan. Tindakan-tindakan sedemikian bersifat simbolik. Namun, adakah ia memadai untuk membuktikan semangat patriotik?
Jawabnya sudah pasti tidak. Penzahiran patriotisme atau kecintaan terhadap watan bukan sekadar pernyataan secara simbolik. Patriotisme perlu memandu tindakan kita dalam kehidupan harian. Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besarnya. Membuang sampah-sarap merata-rata ialah contoh perbuatan yang tidak patriotik kerana ia mencemarkan alam sekitar yang akhirnya merosakkan negara. Begitu juga perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa. Ia merosakkan urus tadbir negara yang seharusnya adil, amanah dan demokratik. Pendek kata, patriotisme dijelmakan dengan mengamalkan tindakan yang bersifat positif yang membawa manfaat kepada masyarakat keseluruhan.
Akhirnya, marilah mencermin diri sama ada setiap tindakan yang kita lakukan menzahirkan patriotisme. Tanyalah diri sama ada setiap tindakan yang dilakukan di rumah, di tempat belajar, di tempat kerja atau di mana jua merupakan tindakan yang membuktikan kita mencintai dan membela tanah air. Buatlah perubahan positif meskipun kecil dalam keluarga dan komuniti anda kerana ia merupakan tindakan kolektif untuk negeri dan negara.