Mini Bike Week Gegar Kuala Selangor

“Tiada beza antara kita!”. “Kami bersatu kerana minat kami sama!”. Ia antara moto kumpulan bikers terbesar Selangor yang bersatu di bawah panji-panji Scorpions Bikers Club. Minat mendalam terhadap aktiviti dan apa sahaja berkaitan motosikal serta ikatan persahabatan menarik kira-kira 1000 bikers seluruh Selangor untuk menggamatkan pekarangan Stadium Kuala Selangor pada 21 Januari 2018 (Ahad). Acara bermula pada jam 9.00 pagi ini mendapat sambutan hangat bikers daripada 50 kumpulan yang bernaung di bawah Scorpions Bikers. Antara kumpulan tersebut ialah Tengkorak Bikers, Alien Bikers Group, Sedulur Mutu Gedhi, Malaysian Orange Versys Owners’ Club (MOVOC) dan Bloodbrothers Team. Acara perasmian program telah disempurnakan Pegawai Team Selangor Encik Naqib Nazimuddin.

 

Aliens Bikers Group dengan penampilan mereka yang tersendiri sentiasa mencuri perhatian para pengunjung di Mini Bike Week Kuala Selangor 2018.

 

Para bikers menurunkan tandatangan mereka sebagai tanda kenang-kenangan Mini Bike Week Kuala Selangor 2018.

 

Selain mengumpulkan bikers dari serata Selangor yang tidak sudah-sudah keluar dan masuk pekarangan Stadium Kuala Selangor menjelang tengah hari hingga petang, Mini Bike Week 2018 turut menjadi pesta untuk komuniti sekitar Kuala Selangor. Walaupun cuaca hujan pada sebelah pagi, baik orang dewasa, remaja, mahupun kanak-kanak, mereka tidak putus-putus membanjiri tapak pesta untuk melihat pelbagai jenis motosikal yang dipamer, menikmati makanan dan minuman serta menyaksikan persembahan artis di pentas utama.

 

Antara ‘bikers-bikers kental’ Selangor yang bergambar kenangan semasa acara perasmian Mini Bike Week Kuala Selangor 2018.

 

Kumpulan-kumpulan motosikal dalam Scorpions Bikers Group. Tengkorak Bikers dari Tanjung Karang telah dinobatkan Anugerah penyertaan kelab motosikal teramai dengan 45 buah motosikal.

 

Pelbagai acara dan aktiviti sampingan diadakan bersempena program sehari ini. Ia berjaya menarik kira-kira 3,000 pengunjung. Antaranya ialah cabutan nombor bertuah bagi peserta yang mendaftar, mencuci motosikal, pertunjukan ular dan pertandingan melukis. Program yang pertama kali diadakan di Kuala Selangor ini merupakan kerjasama antara Team Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 

“Tak menang tangan!”. Para Pegawai Team Selangor dan Scorpions Bikers bertungkus-lumus mendaftarkan para peserta dan menyampaikan cenderamata.

Share this post