Kesukarelawanan Beri Wajah Baharu Dataran Anak Muda

 Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya :                                                                                                                       Kita ini dididik untuk memihak yang mana ?                                                                                                                               Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini,                                                                                                                                                     akan menjadi alat pembebasan,                                                                                                                                                   ataukah alat penindasan ?

Sajak Pertemuan Mahasiswa | oleh W.S. Rendra

 

Antara mesej terpenting sajak ini, bahawasanya ilmu yang dipelajari di dewan kuliah tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, ia harus menjadi agen perubahan masyarakat. Harapan sedemikian telah diterjemahkan oleh kira-kira 70 orang mahasiswa Fakulti Senibina dan Alambina UCSI University menerusi projek Lukisan Mural dan Pameran Hasil Kerja Dataran Anak Muda yang berlangsung sempena Pesta Rakyat Taman Medan pada 3 – 4 Februari 2018 (Sabtu-Ahad) di Dataran Anak Muda, Taman Medan.

 

Menginspirasikan! Hasil kerja penyelidikan pembangunan kawasan Dataran Anak Muda Taman Medan dipamerkan kepada umum.

 

Dataran Anak Muda Taman Medan dimulakan pada tahun 2009. Ia dibina bertujuan untuk menyediakan platform kepada anak-anak muda di sekitar Taman Medan mengisi masa senggang dengan aktiviti berfaedah sekali gus mengelakkan anak muda daripada gejala negatif. Kemudahan di Dataran Anak Muda seperti dataran pentas terbuka, gelanggang permainan dan taman mini kini masih kukuh. Namun, kini, ia perlu diselenggara dan disegarkan semula.

Bertolak daripada itu, atas seliaan para pensyarah Fakulti Senibina dan Alambina UCSI University Dr. Lin Yola, Encik Nik Syazwan Nik Ab. Wahab dan Puan Nor Zalina Md Nor, para mahasiswa jurusan seni bina telah berjaya ‘melukiskan wajah baharu’ pelan dan model pembangunan tapak Dataran Anak Muda yang begitu sofistikated dan dinamik untuk menarik para remaja mengadakan aktiviti sihat mengisi masa lapang. Di samping itu, mereka berhempas pulas memotretkan mural sepanjang 60 meter dengan warna suram bertukar cerah yang melambangkan ‘sinar perubahan’ untuk komuniti anak muda di Taman Medan.

 

Langkah permulaan ke arah penyediaan ruang awam yang lebih segar di tapak Dataran Anak Muda Taman Medan.

 

Ketika ditemui, Encik Nik Syazwan menyatakan program ini berjaya mendedah dan menghubungkan para mahasiswa dengan komuniti daripada terus ‘terkurung’ di bilik kuliah. Menurut beliau lagi, program ini mensasarkan masyarakat miskin bandar. Masyarakat miskin bandar ialah golongan yang perlu diberikan fokus kerana ibu bapa dalam sesebuah keluarga perlu bekerja kuat untuk menanggung kehidupan di bandar. Anak-anak mereka lazimnya kurang perhatian dan kebanyakannya terjerumus dalam perkara-perkara negatif. Sehubungan itu, program ini diharap dapat menyediakan ruang awam yang lebih segar untuk interaksi selanjutnya mengadakan aktiviti bermanfaat seperti sukan dan rekreasi. Encik Nik Syazwan turut berharap agar penganjuran program ini memberitahu masyarakat bahawa arkitek bukan sahaja meladeni golongan elit, bahkan berperanan sebagai salah satu komponen perubahan masyarakat.

 

Walau dipanah mentari, ‘arkitek-arkitek muda’ ini setia menyediakan mural yang terbaik untuk Dataran Anak Muda.

 

Bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar.

 

“Kacau jangan tak kacau. Tapi jangan terlebih kacau!”. Mahasiswa UCSI University membantu komuniti setempat menyediakan kari ayam sebagai hidangan makan tengah hari.

 

Perasmian penutup Pesta Rakyat Taman Medan telah disempurnakan oleh ADUN Taman Medan Yang Berhormat Puan Haniza Mohamed Talha. Dalam ucapannya, beliau berharap agar program kesukarelawanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Pelbagai aktiviti diadakan selama dua hari program berlangsung seperti melukis mural, bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar, persembahan kebudayaan dikir barat dan rewang bersama komuniti setempat. Program ini dijayakan atas kerjasama Team Selangor, Fakulti Senibina dan Alambina UCSI University, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Taman Medan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Indah Water Konsortium (IWK).

 

Mengabadikan kenangan selepas program Pesta Rakyat Taman Medan dilangsungkan selama dua hari.

 

ADUN Taman Medan YB Puan Haniza Mohamed Talha dan Encik Ehsan Shahwahid diberi penerangan lanjut mengenai cadangan platform baharu Dataran Anak Muda.

Share this post