Jom ke Sabak Bernam

Apa khabar orang Selangor? Mesti sudah puas bercuti pada hari Sabtu hingga Isnin lepas. Pada minggu ini hari cuti umum adalah seperti biasa Sabtu dan Ahad. Tapi, menjelang hujung tahun 2017 ini, akan ada lagi cuti hujung minggu yang panjang. Dari hari Sabtu hingga Isnin. Ia pada 23 hingga 25 Disember 2017 bersempena Hari Krismas dan pada 30 dan 31 Disember 2017 serta 1 Januari 2018 sempena Tahun Baharu 2018. Anda sudah ada perancangan untuk ke mana-mana? Kalau belum, hari ini kami akan membawa anda ke Sabak Bernam. Ada apa ya?

                                                 Daerah Sabak Bernam terletak di utara negeri Selangor.                                                  (Kredit foto: Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam)

Sebelum itu, mari kita berkenal-kenalan dengan daerah Sabak Bernam yang merupakan daerah paling utara di negeri Selangor. Ia menjadi gerbang keluar dan masuk ke negeri jiran Perak Darul Ridzuan. Sabak Bernam terletak bersebelahan sahaja dengan pekan Tanjung Malim di Perak yang mana ia dipisahkan oleh sebatang sungai iaitu Sungai Bernam. Sungai inilah yang menjadi garis sempadan antara negeri Selangor dan Perak.

Oh ya! Tentu anda yang bukan berasal dari Selangor dan menetap di sini pernah menonton drama televisyen dengan latar sawah padi yang luas bukan? Bukan… bukan… Adakalanya kawasan tersebut bukan di utara tanah air tetapi sebenarnya di Sabak Bernam. Berikut profil daerah Sabak Bernam yang dikenali sebagai ‘Jelapang Padi Selangor’ ini.

 

SABAK BERNAM

  • Keluasan daerah ini merangkumi 997.1 kilometer persegi atau 99,714 hektar.
  • Tiga kawasan bandar atau pekannya ialah Pekan Sabak Bernam, Pekan Sungai Besar dan Pekan Sekinchan.
  • Hanya dua daerah dalam negeri Selangor yang bersempadan dengannya iaitu Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
  • Aktiviti ekonomi penduduk daerah ini pertanian seperti penanaman padi iaitu tanaman utama, kelapa dan kelapa sawit. Selain itu, aktiviti perikanan turut menjadi mata pencarian utama penduduk.
  • Asal-usul nama Sabak Bernam bermula daripada nama ‘Sahabat Berenam’.

 

NAK KE MANA KALAU KE SABAK BERNAM?

 

                                       Keindahan alam. Matahari terbenam di Pantai Bagan Nakhoda Omar.                                                 (Kredit foto: Denai.my)

  • Pantai Bagan Nakhoda Omar merupakan antara petempatan awal penduduk di Sabak Bernam. Ia merupakan perkampungan nelayan yang dikatakan dibina sekitar tahun 1918. Hampir 100 tahun sudah lamanya! Pantai ini boleh dikunjungi melalui jaringan jalan raya kerana terletak antara dua pekan iaitu Sabak Bernam dan Sungai Besar. Ia sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Pengunjung tidak perlu risau kerana kemudahan awam sememangnya tersedia seperti tempat letak kenderaan, wakaf dan tandas. Jika anda ingin menyaksikan kawasan kelong, terdapat pakej yang disediakan oleh pihak agensi. Di sini, anda pastinya terpesona dengan keindahan petang ketika matahari terbenam bersama mereka yang tersayang.

                                          Kelong Paradise Waterfront Resort sedia menanti kaki pancing.                                               (Kredit foto: Blog Kaki Pancing)

  • Kelong Paradise Waterfront Resort pastinya menarik minat kaki pancing untuk ke Sabak Bernam. Terletak 15 batu nautika daripada Jeti Bagan Nakhoda Omar, anda boleh menggunakan perkhidmatan bot untuk ke kawasan pelantar atas air laut yang menelan kos pembinaan RM 10 juta ini. Pelbagai jenis ikan menjadi buruan kaki pancing seperti jenahak, tenggiri, kurau, senangin, kerapu, bawal, pari dan gelama. Waktu paling sesuai untuk aktiviti memancing adalah pada bulan Mac hingga Ogos. Ada beberapa bulan lagi nampaknya. Apa lagi? Sediakan joran anda dan ayuh ke Kelong Paradise!

 

                          Muzium Daerah Sabak Bernam. Bagi mereka yang mencintai warisan sejarah tempatan.                                     (Kredit foto: Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam)

  • Muzium Daerah Sabak Bernam amat sesuai bagi mereka yang mencintai sejarah dan warisan. Ia menyimpan dan mempamerkan khazanah masyarakat Sabak Bernam berkaitan pertanian dan perikanan. Muzium ini terletak di Jalan Pasar, bersebelahan Perpustakaan Daerah Sabak Bernam dan berhadapan dengan Masjid Jamek Daerah Sabak Bernam. Di bahagian pameran pertanian, dipamerkan kronologi kegiatan petani seperti penanaman padi huma dan sawah dan lain-lain tanaman yang terdapat di Sabak Bernam iaitu kelapa sawit, kelapa, getah dan koko. Sementara di bahagian perikanan para pengunjung berpeluang menyaksikan alatan perikanan yang masih digunakan dan yang sudah jarang dijumpai seperti lukah, belat, serkap dan jala.

 

                    Pasar Sungai Haji Dorani. Hasil laut mentah dan yang telah diproses dijual dengan harga patut.                                  (Kredit foto: Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam)

  • Pasar Sungai Haji Dorani ialah pusat sehenti jualan tangkapan hasil atau one stop centre. Di sini, anda boleh mendapatkan hasil laut yang ditangkap oleh nelayan pesisir pantai. Paling menarik, anda perlu mencuba sejenis kupang bercengkerang yang dipanggil sebagai mentarang. Mentarang lazimnya dimasak secara bakar ataupun masak lemak. Di samping mendapatkan apa yang anda ingini, Pasar Haji Dorani ialah tempat yang sesuai untuk anda merasai keriuhan jual beli lebih-lebih lagi sewaktu hasil tangkapan dibawa ke pasar untuk diniagakan.

 

DAH PENAT BERJALAN… MASA UNTUK MAKAN!

 

  • Restoran Lembah Bernam terletak di Jalan Main Canal, Tali Air 9, Pasir Panjang, Sekinchan. Apa yang membuatkan anda rugi untuk tidak ke sini ialah makanan eksotiknya lauk-pauk kijang, pelanduk, landak dan rusa. Selain itu, bagi yang ingin mengisi perut dengan nasi campur bersama lauk-pauk masakan kampung, disediakan udang galah, ikan sepat, ikan baung, ikan tapah, ikan puyu, udang galah dan ulam-ulaman. Restoran ini dibuka pada pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

 

  • Restoran Mi Udang / Laksa Pantai Zaiton di Pantai Bagan Nakhoda Omar memang pasti cuba! Kelazatan mi udangnya memang menjadi buah mulut. Kuah yang pekat dengan rasa udangnya yang manis. Segar dan lebut isinya. Restorannya memang tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Apatah lagi semasa musim cuti. Sampai tak menang tangan pemilik restoran ni. Di samping mi udang, makanan lain yang berasaskan udang turut dijual. Nasi goreng udang, laksa udang, nasi ayam udang dan udang goreng tepung. Waktu operasi dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam. Ingat, hari Isnin tidak dibuka kecuali cuti umum. Jadi, bolehlah makan mi udang cuti hujung tahun ni.

 

  • Restoran Kuala Kurau berkonsepkan restoran dengan lepau atau stall di dalamnya. Terdapat pelbagai pilihan makanan bagi mereka yang membawa keluarga tetapi berbeza selera. Ada nasi campur dengan lauk-pauk masakan kampung, laksa, char kuetiau, mi kari dan makanan bergoreng. Cucur udang pun ada. Ia terletak di Sungai Besar. Bagi mereka yang dah puas berjalan di sekitar Sabak Bernam atau lebih tepat di Sungai Besar, jom kita ke restoran ini. Harganya pun memang berpatutan dan perkhidmatan pasti tidak mengecewakan.

 

Menarik bukan Sabak Bernam? Kepada sesiapa yang masih belum berkunjung ke sini jangan lepaskan peluang. Bagi yang pernah merasai ketenangan dan kedamaian suasana sawah padi di sini, pastikan anda berkunjung lagi. Di samping meluangkan masa bersama keluarga, berekreasi dan menikmati makanan lautnya, Sabak Bernam ialah pilihan untuk anda kembali merasai suasana desa yang indah permai, jauh dari kesibukan kota. Orang Sabak Bernam pula bagaimana? Ada tempat nak cadangkan? Baiklah. Daerah mana pula yang menjadi topik untuk minggu hadapan? Nantikan.  

Share this post