Hulu Langat

Salam Semangat Merah Kuning! Bagaimana minggu ini? Tempoh hari, mungkin ada yang bercuti dua hari berturut-turut Rabu dan Khamis sempena Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan. Bagi Hari Thaipusam, sudah pasti Selangor menjadi tumpuan ramai. Manakan tidak, Batu Caves dibanjiri para penganut agama Hindu untuk ritual Thaipusam dan tak kurang juga para pengunjung yang ingin menyaksikan warna-warni pada sepanjang acara ini berlangsung. Ke mana hujung minggu lepas? Beristirahat di rumah saja? Atau makan angin? Oh ya, sudah tentu ada dalam kalangan anda ke program-program Team Selangor. Teruskan bersama Team Selangor untuk memperkasa komuniti sekitar anda.

 

Baiklah, dalam siri artikel jelajah daerah ke daerah, kita telahpun mengenali lapan daerah di Selangor. Kini, kita akan ke destinasi terakhir iaitu Hulu Langat. Bagi anda yang berada di luar Selangor, mungkin kurang tahu di mana Hulu Langat. Anda semestinya lebih tahu bila disebut Kajang yang terkenal dengan keenakan satenya ataupun Bangi yang menjadi hub pendidikan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS). Nah, di Hulu Langat lah terletaknya tempat-tempat tersebut. Jom kita ikuti profil Hulu Langat.

 

  • Asal-usul nama Hulu Langat bermula dengan nama Sungai Langat yang dikatakan berpunca daripada airnya yang dikatakan ‘hangat’ oleh para pedagang zaman dahulu kala. Jika Kuala Langat dinamakan kerana ia terletak di bahagian ‘kuala’ sungai, daerah Hulu Langat pula kerana ia terletak di ‘ulu’ atau pedalaman yang menjadi punca mula Sungai Langat.
  • Daerah Hulu Langat berkeluasan 840 kilometer persegi. Ia daerah kelima terbesar di negeri Selangor.
  • Bersempadan dengan daerah Sepang, Petaling, Gombak dan dua kawasan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia sebahagian daripada kawasan Lembah Klang.
  • Merangkumi enam mukim iaitu Hulu Langat, Kajang, Semenyih, Ampang, Cheras dan Beranang.
  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ialah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang merupakan naiktaraf daripada Majlis Daerah Hulu Langat pada 1 Januari 1997.
  • Termasuk dalam sempadan daerah Hulu Langat ialah kawasan Parlimen Hulu Langat, Parlimen Serdang dan Parlimen Pandan. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula terdiri daripada Bangi, Kajang, Semenyih, Dusun Tua, Chempaka, Teratai dan Lembah Jaya.
  • Sistem pengangkutan awam di daerah Hulu Langat adalah seperti Shuttle Bus Selangor, Komuter KTMB dan MRT.
  • Hulu Langat kini berkembang pesat dengan pembangunan fizikal seperti jaringan jalan raya, pengangkutan awam menjadikan ia pusat ekonomi dan pendidikan. Bukan sahaja bagi rakyat Selangor malah mereka dari luar Selangor. Meskipun dibangunkan dengan pesat, Hulu Langat masih mengekalkan kehijauan alam sekitar menjadikan ia sebuah bandar dalam taman.
Kedudukan daerah Hulu Langat dalam kalangan sembilan daerah di Selangor.

 

TEMPAT MENARIK

Pelbagai tempat menarik boleh dikunjungi di sekitar Hulu Langat dengan berbagai-bagai aktiviti lasak dan santai.

 

Air terjun Sungai Gabai. (Kredit foto: Mapio)

 

Sungai Congkak. (Kredit foto: Flickr Fendy Zaidan)

 

Kawasan air terjun dan sungai yang menjadi tempat rekreasi dan berkelah ialah tarikan di bahagian luar bandar daerah Hulu Selangor. Anda mempunyai pelbagai pilihan untuk diterjah seperti Sungai Congkak, Sungai Gabai, Sungai Tekala. Di sini, terdapat kemudahan tempat letak kereta, tandas awam, bilik air dan wakaf-wakaf yang dibina sekitar kawasan hutan lipur. Airnya yang dingin dan suasana redup menjadikannya sesuai untuk aktiviti berkelah, mandi-manda dan barbeku bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Pastikan keselamatan diutamakan. Awasi anak-anak anda terutama yang berumur 12 ke bawah. Setelah menggunakan kemudahan di sekitar kawasan air terjun dan sungai, jangan lupa bersihkan semula kawasan sekitar. Buang sampah dan padamkan api agar hutan lipur kita sentiasa terjaga.

 

Bukit Broga (Kredit foto: Coconuts)

 

Aktiviti pendakian atau hiking yang popular dalam kalangan orang muda turut menggamit anda untuk ke Hulu Langat. Anda pasti tahu Bukit Broga atau dikenali juga sebagai Bukit Lalang kerana tumbuhan liar tersebut yang melitupi sebahagian besar kawasan bukit. Tingginya 400 meter dari paras laut sesuai untuk beginner aktiviti hiking. Selalunya, hikers akan memulakan pendakian di Broga pada awal pagi untuk sampai ke puncaknya pada waktu matahari terbit. Apa lagi kalau bukan untuk menyaksikan panoramanya yang indah. Ia mengambil masa kira-kira 20-45 minit mengikut tahap kecergasan seseorang pendaki. Selain aktiviti hiking, Broga Hill terkenal kerana persekitarannya yang menjadi destinasi photographer untuk merakamkan panorama dan menjadi pilihan pasangan pengantin yang inginkan kelainan photoshoot mereka.

 

Pemandangan dari puncak Gunung Nuang. (Kredit foto: Afifplc)

 

Selain itu, bagi yang inginkan lebih cabaran, anda disarankan untuk ke Gunung Nuang setinggi kira-kira 1493 meter dari paras laut yang mana dikatakan antara gunung yang sukar didaki serta tahap kesukarannya bagi sesetengah pendaki adalah lebih sukar berbanding mendaki Gunung Kinabalu! Gunung ini terletak di antara sempadan negeri Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan serta merupakan sebahagian daripada banjaran Titiwangsa. Kaki Gunung Nuang boleh dicapai dengan menyusur masuk ke Pekan Hulu Langat dari lebuhraya Cheras-Kajang Expressway atau Grand Saga Expressway. Anda hanya perlu menyusuri jalan ke Hulu Langat sehingga tiba di Empangan Pangsun. 

 

(Kredit video: Azmi Sharif Aerials)

 

Rekreasi dan outdoor game menjadi kegemaran muda-mudi masa kini. Sama ada secara profesional atau hobi, pelbagai aktiviti boleh didapati di Hulu Langat. Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi adalah daya tarikan penduduk sekitar kerana kemudahan lengkap yang disediakan seperti trek pejalan kaki, tandas awam, wakaf dan bangku. Waktu pagi dan petang, terutamanya hujung minggu atau cuti umum, warga emas, golongan belia, remaja dan kanak-kanak akan memenuhi kawasan rekreasi ini untuk berjogging, zumba atau hanya bersiar-siar di denai pejalan kaki yang disediakan. Bagi kanak-kanak, taman permainan yang pelbagai dan menarik disediakan. Selain itu, pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti berbasikal, bermain layang-layang dan giant bubble di sekitar kawasan tasik.

Selain itu, bagi aktiviti outdoor yang mengujakan, anda hanya perlu kunjungi XnR Laser Tag iaitu outdoor laser tag camp yang pertama dan satu-satunya di Malaysia! Jika anda pernah bermain paintball tentunya ia meninggalkan kesan sakit dan kotor. Tetapi, dengan laser tag, anda tidak perlu risau lagi dengan kotoran dan sakit. Di samping itu, pengusaha kem XnR Laser Tag menyediakan pelbagai aktiviti luar seperti river lying fox, river tubing dan banyak lagi mengikut pakej berbaloi yang ditawarkan. Anda boleh lawati XnR Laser Tag.

 

TEMPAT MAKAN

Terdapat pelbagai tempat makan best di sekitar Hulu Langat. Manakan tak, Bangi yang terletak di daerah Hulu Langat dianggap sebagai syurga makanan. Beraneka pilihan daripada makanan asli Melayu, Jawa, Western food dan kafe hipster boleh didapati di sini. Tapiii kami hanya memilih beberapa yang boleh dianggap legend.

 

Sate Kajang Haji Samuri. (Kredit foto: Vkeong)

 

Sate Kajang Haji Samuri ialah makanan legend yang boleh didapati di Hulu Langat. Selain jenamanya yang terkenal dan masyhur serata negeri, keenakannya juga pasti menambat lidah dan perut anda bahawa inilah sate No. 1 in the world! Macam-macam pilihan boleh dinikmati di sini seperti sate ayam, daging, kambing, perut, arnab, hati dan pedal serta ikan. Harganya pula memang berpatutan. Dijual dari RM 0.98 hingga RM 2.20. Cawangan Sate Kajang Haji Samuri ada di Cawangan Utama Bangunan Dato’ Nazir yang berdekatan dengan Stesen MRT Stadium Kajang dan beberapa yang lain di Medan Sate Kajang, Medan Sate Lama Kajang dan di Medan Selera Seksyen 16 Bandar Baru Bangi.

 

Laksa Redup Rimba. (Kredit foto: Qeiyla Hola Hola)

 

Laksa Redup Rimba. Aroma dan kuahnya yang pekat dengan isi ikan membuatkan anda akan berkunjung sekali lagi! Begitu yang dapat diungkapkan mengenai keenakan laksa special edisi Redup Rimba. Lokasi asalnya di Teras Jernang yang begitu memaksudkan ‘redup rimba. Bagi sesiapa yang pernah menikmati laksa dan cendol special di Redup Rimba pasti masih teringat bagaimana para pengunjung di sini diganggu oleh monyet-monyet yang kelaparan. Namun, kini, pengusaha Redup Rimba membuka Redup Rimba Corner di kawasan Seksyen 9 atau lebih tepat di Taman Tasik Cempaka bersebelahan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Cawangan Bangi. Walaupun dah melalui proses berpindah lokasi, laksanya tetap dicari dan dibanjiri pengunjung. Jadi, kena lah try dulu baru tau legend ke tak?

 

Bagi port makan di Hulu Langat pula, terdapat pelbagai medan selera yang boleh dikunjungi untuk pelbagai jenis makanan, baik untuk mengeteh bersama kawan-kawan ataupun seisi keluarga. Pilihan tepat untuk sarapan pagi anda tentunya di tapak Pasar Awam Seksyen 1 Bandar Baru Bangi. Terdapat lebih 10 warung terbuka yang boleh dikunjungi untuk makan pagi seperti nasi lemak dengan lauk-pauk, roti canai, pulut dan kuih-muih. Selepas itu boleh terus ke pasar membeli barang basah. Pada sebelah malam, kita ke pasar malam di Jalan Reko. Selain menjamu selera di gerai-gerai dengan pelbagai pilihan makanan seperti bakso, steamboat, nasi lemak, kebab dan cucuk-cucuk. Amacam menarik kan? Marilah ke mari kita ke Hulu Langat.

 

Sebelum itu, bagaimana dengan aktiviti kesukarelawanan di tempat anda? Pasti hujung minggu anda terisi dengan aktiviti-aktiviti dianjurkan. Kami berterima kasih atas sokongan dan dokongan semua. Teruskan membantu komuniti ke arah Selangor yang sejahtera. Semarakkan Semangat Merah Kuning menuju VOLTS Mega Gathering pada bulan Mac nanti!

Share this post