Dirgahayu Tuanku!

Team Selangor merafak sembah setinggi-tinggi tahniah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bersempena sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-72 pada hari ini, 11 Disember 2017M. Sehubungan itu, pada kesempatan ini, kami ingin mengajak anda untuk menelusuri beberapa fakta berkenaan Baginda:

 

  • Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj diputerakan di Istana Jemaah, Klang yang kini merupakan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) pada 24 Disember 1945M.

 

  • Baginda merupakan putera sulung Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Yang Maha Mulia Paduka Bonda Raja Selangor, Raja Saidatul Ihsan Binti Tengku Badar Shah.

 

  • Baginda diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor ketika berusia 15 tahun iaitu pada bulan September 1960M. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli sebagai Raja Muda kelapan diadakan sepuluh tahun kemudian pada tahun 1970 di Istana Alam Shah.

 

  • Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan tanggal 22 November 2001M bersamaan 6 Ramadhan 1422H.

 

  • Baginda ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 8 Mac 2003M bersamaan 5 Muharram 1424H.

 

  • Baginda dikurniakan dua orang Puteri iaitu Yang Amat Mulia Tengku Zerafina dan Yang Amat Mulia Tengku Zatashah serta seorang Putera Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah yang kini merupakan Raja Muda Selangor.

 

  • Kini, Baginda memperisterikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin Abdul Rahman yang diijab kabulkan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 31 Ogos 2016M.

 

  • Baginda amat meminati aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung, memandu kereta antik jarak jauh dan belayar mengelilingi dunia menggunakan kapal S.Y. JUGRA. Pengiktirafan diperolehi Baginda sebagai Putera Inspirasi dan banyak lagi pengiktirafan sehubungan dengan bidang maritim. Pencapaian tertinggi Baginda dalam kegiatan sukan lasak ialah pengiktiragan Malaysia Book of Records sebagai The First To Sail Around The World dan The First To Complete Peking-Paris Motor Challenge pada tahun 1998.

 

Begitulah serba sedikit mengenai Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang kita kasihi. Semoga pemerintahan Baginda di Negeri Selangor dan Seluruh Daerah Takluknya terus dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh Yang Maha Esa.

 

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor

Share this post