fbpx

Ada Apa Dengan Team Selangor?

Anda baru sahaja menyertai Team Selangor? Atau ingin mendaftar Team Selangor? Pasti anda tertanya-tanya apa sebenarnya Team Selangor ni? Macam mana nak mendaftar? Apa aktiviti Team Selangor? Aktivitinya setiap bulan? Setiap minggu? Kalau nak tahu, mari saya jelaskan. Kalau rasa macam ada persoalan tentang Team Selangor, jangan segan-segan. Tanya sahaja di ruangan komen. Kami akan jawab persoalan anda.

Begini, Team Selangor sebenarnya usaha pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk ‘empower community’. Atau dalam kata lain, memperkasa rakyat sekitar negeri Selangor melalui aktiviti kesukarelawanan. Bagi tujuan itu, mestilah kita perlukan satu organisasi atau pasukan yang mengurus, menyelia dan melaksana. Pendek kata, Team Selangor ialah enjin untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti. Jadi, ditubuhkan satu sekretariat untuk menjalankan aktiviti. Nama rasminya Sekretariat Kesedaran Kenegeraan dan Kesukarelaan Negeri Selangor atau nama famousnya Team Selangor. Tak kiralah sesiapa pun yang nak ‘be a part of Team Selangor’ memang boleh. Cumanya buat masa ni kami masih hadkan umur hanya bermula 16 tahun ke atas sahaja. Ingat, yang menetap di kawasan Selangor sahaja ya.

Bagaimana nak daftar Team Selangor? Ini soalan penting. Anda yang berminat jangan tunggu-tunggu lagi klik sahaja di sini untuk daftar. Katakan ada masalah untuk daftar secara atas talian, anda juga boleh membuat pendaftaran di kaunter Team Selangor semasa program-program sekitar Selangor yang selalunya diadakan setiap hujung minggu. Kalau rasa susah nak cari program yang kami anjurkan, logo Team Selangor di bawah boleh jadi panduan untuk anda kenal pasti program yang menjadi kerjasama kami. Paling mudah, lawati sahaja media sosial kami Team Selangor Official di Facebook, Twitter dan Instagram. Anda boleh ‘walk in’ terus ke lokasi program. Di sana Pegawai Team Selangor yang awesome-awesome belaka akan tunjukkan caranya.

Logo Team Selangor!

Sekarang dah tahu macam mana nak mendaftar. Apa pula agaknya aktiviti-aktiviti Team Selangor? Macam minggu lepas, pada 17 hingga 19 November 2017, ada lebih kurang 28 program. Itu baru seminggu. Kalau sebulan? Anda kira dan bayangkan betapa meriahnya Selangor dengan program-program Team Selangor.

Aktiviti paling popular tak lain ialah gotong-royong. Berkumpul ramai-ramai, sembang-sembang, kenal kawan baru dan yang paling penting dapat menyumbang untuk kebaikan komuniti. Antara aktiviti bergotong-royong pada 18-19 November lepas antaranya ialah Program Larian Amal dan Gotong-royong Pangsapuri Dahlia Cempaka, Gotong-royong Denggi Subang Indah, Gotong-royong Perdana Taman Medan dan Gotong-royong Perdana D’Rimba. Sambil-sambil membersih kawasan, badan pun sihat dan cergas. Bukan itu sahaja, kakak-kakak yang minat memasak pun ada aktiviti yang sesuai juga. Di Dewan Taman Cahaya Indah contohnya, ada kelas bimbingan untuk roti dan muffin. Jadi, bukan setakat bakat memasak makin terasah, nak buka perniagaan pun boleh.

Apa lagi aktiviti Team Selangor? Macam-macam rakan-rakan sekalian. Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Idaman, Senamtari Pandamaran Jaya diadakan untuk menyihatkan badan sambil berjumpa kawan-kawan dan beramah mesra. Lain pula ceritanya di UNITEN Kampus Putrajaya, Volunteer Empowerment Programme dijalankan dua hari pada 18 dan 19 November melibatkan belia universiti. Mereka diajar pentingnya kesukarelawanan bertemakan isu kemanusiaan. Selain itu, ada juga program dialog yang dihadiri tetamu khas dari pelbagai agensi tempatan. Kalau nak tanya soalan kepada pemimpin komuniti, pihak berkuasa dan ketua masyarakat, bolehlah terus ke sana dan ajukan soalan. Team Selangor juga menganjurkan aktiviti mengikut keperluan komuniti. Di Kajang, Kursus Pengurusan Jenazah diadakan untuk golongan wanita. Besar manfaatnya bagi mereka untuk melaksanakan tuntutan fardu kifayah. Itu baru sebahagian ada banyak lagi. Kursus asas solekan, bengkel membuat mi, tauhu, kempen kebersihan, majlis khatam Al-Quran dan latihan pemerkasaan komuniti. Hujung-hujung minggu ni memang takkan sunyi daripada aktiviti Team Selangor.

Jadi, apa tunggu lagi? Daftar Team Selangor sekarang! Jangan lupa ikuti perkembangan kami di media sosial Team Selangor Official iaitu Facebook, Instagram dan Twitter untuk tahu aktiviti-aktiviti sekitar anda.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on email