KESUKARELAWANAN merupakan konsep yang menghidupkan Team Selangor. Ia bertujuan (i) memupuk nilai kesukarelawanan dan mengenal pasti nilai kepimpinan dalam komuniti di Selangor, (ii) membantu mengenal pasti isu-isu setempat dan menghasilkan penyelesaian yang bersifat lokal melalui penglibatan langsung daripada komuniti pada peringkat akar umbi; dan (iii) mempertingkatkan lagi kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan di negeri Selangor, baik pada peringkat negeri mahupun kerajaan tempatan.
Namun demikian, adakah kita memahami apa itu sukarelawan? Apakah yang dimaksudkan dengan kesukarelawanan? Ke manakah hala tuju aktiviti kesukarelawanan? Sekiranya anda menyertai kerja-kerja kesukarelawanan khususnya Team Selangor, apakah manfaat yang diperolehi? Maka, menerusi artikel ini, persoalan-persoalan ini cuba dijawab secara umum bagi panduan kita semua.
SIAPAKAH SUKARELAWAN?
Sukarelawan ialah seseorang yang mempunyai minat mendalam terhadap aktiviti yang bertujuan membantu orang lain dan terlibat secara langsung dalam kegiatan kesukarelawanan. Sukarelawan tidak mengharapkan ganjaran tetapi melakukannya dengan setulus hati untuk memenuhi suatu hasrat yang hanya mereka sahaja memahaminya dan untuk kepuasan diri.
Bagi sukarelawan, beberapa ciri atau sikap harus tertanam dalam diri untuk memastikan kerja-kerja kesukarelawanan mencapai maksudnya untuk memperkasa komuniti. Antaranya ialah:
- Kecaknaan dan empati.
- Bersedia untuk mengorbankan kepentingan diri untuk kemaslahatan umum.
- Dedikasi dan iltizam.
- Mendapat kepuasan atau rasa bangga dalam kerja kesukarelawanan.
APAKAH KERJA KESUKARELAWANAN?
Kerja atau khidmat kesukarelawanan ialah aktiviti yang dilaksanakan secara ikhlas, dengan hati yang tulus, tanpa unsur paksaan daripada mana-mana pihak, tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan atau pulangan material dan untuk memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
Dalam erti yang lebih luas, kesukarelawanan boleh dilihat sebagai suatu konsep perkhidmatan dan perkongsian, proses pendidikan atau pengalaman pembelajaran dan penglibatan aktif warga dalam isu dan hal-ehwal masyarakat. Dalam hal ini, terdapat pelbagai skop lapangan kerja-kerja kesukarelawanan seperti berikut.

Diterjemah dan diolah daripada Becoming A Volunteer oleh Azizan Bahari (2007)
APAKAH BENTUK-BENTUK KERJA KESUKARELAWANAN?
Lazimnya, kumpulan sasaran bagi kerja kesukarelawanan ialah individu, kumpulan, keluarga, komuniti, organisasi dan masyarakat secara umum. Dalam hal ini, anda yang cuba mendekati sesuatu kumpulan mestilah memastikan bahawa aktiviti kesukarelawanan yang ditawarkan itu merupakan keperluan atau permintaan daripada kumpulan sasaran. Jika kumpulan tersebut tidak bekerjasama dalam erti kata memerlukannya, menyokong dan melibatkan diri, kerja-kerja kesukarelawanan tidak akan berkesan. Namun, apakah bentuk-bentuk kerja kesukarelawanan yang boleh anda tawarkan? Secara umum, terdapat pelbagai bentuk khidmat sukarela seperti dalam gambar rajah berikut.

Diterjemah dan diolah daripada Becoming A Volunteer oleh Azizan Bahari (2007)
TUJUAN DAN MATLAMAT KESUKARELAWANAN
Sebenarnya terdapat banyak objektif atau tujuan yang boleh dikaitkan dengan kerja kesukarelawanan seperti (i) pembelaan, (ii) kerjasama, (iii) patriotisme, (iv) kesetiakawanan, (v) modal insan, (vi) pemerkasaan komuniti dan (vii) nilai kemanusiaan sejagat. Akhirnya, kesemua tujuan ini bermatlamatkan “MASYARAKAT YANG ADIL, MAKMUR DAN AMAN”.
PRINSIP-PRINSIP SUKARELAWAN
Bagi anda yang mendaftar sebagai sukarelawan Team Selangor, kami pasti anda memiliki minat dan bersedia melaksanakan aktiviti kesukarelawanan yang disediakan atau anda sendiri usulkan untuk dijalankan terhadap golongan sasaran yang dikenal pasti. Namun, dalam menjalankan kerja kesukarelawanan, sukarelawan Team Selangor perlu memiliki prinsip-prinsip ideal sebagai sukarelawan untuk memanduhalakan sebarang tindakan dalam pembuatan keputusan dan pelaksanaan.
- Sentiasa bersedia untuk berkongsi maklumat, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran.
- Berkongsi dan berkhidmat tanpa sikap memilih atau diskriminasi.
- Berkhidmat atau menyumbang tanpa mengharapkan imbuhan atau pulangan.
- Khidmat atau sumbangan hasruslah berdasarkan keadaan dan keperluan kumpulan sasaran.
- Melibatsamakan kumpulan sasaran dalam tindakan kesukarelawanan.
- Menjadikan nilai kemanusiaan sebagai teras.
- Setiap orang memiliki hak untuk menyumbang tanpa ada monopoli.
- Sentiasa menghormati orang lain.
- Memelihara etika sosial dan adab sopan.
ETIKA DALAM PENJALANAN AKTIVITI KESUKARELAWANAN
Etika ialah panduan baik atau buruk, betul atau salah sesuatu tindakan dalam menjalankan hal-hal berkaitan kesukarelawanan. Bagi pihak hos Team Selangor sendiri mahupun para sukarelawan, terdapat tujuh garis panduan umum etika yang perlu dipatuhi bagi memastikan kelicinan dan keharmonian hubungan di antara pihak-pihak yang bekerjasama.
- Hormati privasi dan kerahsiaan orang lain seperti maklumat dan info peribadi. Maklumat tersebut mestilah dipelihara daripada terlepas ke tangan orang lain mahupun dalam kalangan sukarelawan sendiri.
- Belajar daripada kelemahan dan kesilapan lalu sekali gus memperbaik prestasi masa hadapan.
- Letakkan komitmen yang tinggi.
- Tepati janji.
- Bersikap telus dan jujur.
- Memelihara integriti.
- Bersikap profesional.
APAKAH YANG SAYA PEROLEHI DARIPADA AKTIVITI KESUKARELAWANAN?
- Menjadikan diri merasai kejayaan.
- Membuat kehidupan lebih bermakna.
- Mendapat maklumat dan pengetahuan.
- Memperoleh kemahiran dan kemampuan baharu.
- Memperoleh pengalaman.
- Mendapat peluang untuk mengembara.
- Menjalin hubungan setiakawan.
- Merasa beruntung atas sumbangan.
- Membina keyakinan diri.
- Dikenali dan dihargai.
- Berpeluang untuk membina jaringan.
***Penulisan artikel ini memanfaatkan sepenuhnya buku berjudul ‘Becoming A Volunteer’ oleh Azizan Bahari (2007) terbitan International Youth Centre Foundation dan Qarya Sdn. Bhd. Edisi asalnya ialah ‘Menjadi Sukarelawan’ dalam Bahasa Melayu.***
