Apa khabar semua? Pasti anda ternanti-nanti cuti panjang pada hujung minggu ini. 9 hingga 11 Disember 2017 ialah cuti Sabtu dan Ahad yang bersambung dengan cuti pada hari Isnin iaitu Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Bagi sesiapa yang masih belum berkeputusan untuk pergi ke mana-mana, apa kata anda luangkan hujung minggu ini ke tempat-tempat menarik di Selangor. Apatah lagi, sekarang musim cuti sekolah. Bolehlah meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Kali ini, Team Selangor ingin memperkenalkan daerah-daerah yang terletak di Selangor. Terdapat sembilan daerah kesemuanya merangkumi Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat.
Kuala Selangor merupakan salah satu daripada sembilan daerah di Selangor.
(Sumber: Pejabat Daerah / Tanah Kuala Selangor)
Dari kawasan desa dan sawah padi yang aman dan tenteram seperti di kawasan utara Selangor, sehinggalah kepada kawasan bandar yang sibuk dan padat di Petaling Jaya dan Shah Alam. Kesemuanya terletak di negeri Selangor. Pada minggu ini, kami ingin mengajak anda mengenali salah satu daerah di bahagian utara Selangor. Apa lagi kalau bukan Kuala Selangor yang nostalgik dan melambai-lambai menggamit anda untuk ke sana.
KUALA SELANGOR
- Berkeluasan 1,194 kilometer persegi.
- Kawasan bandarnya ialah Bandar Kuala Selangor dan Bandar Tanjong Karang. Ia bersempadanan dengan lima daerah lain iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Klang.
- Aktiviti ekonomi utama para penduduk ialah sektor pertanian yang mana rata-rata penduduk bekerja sebagai petani, nelayan dan pekerja kerajaan serta swasta.
- Kuala Selangor memiliki keistimewaannya dalam asal-usul negeri Selangor. Di daerah inilah terletaknya pusat pemerintahan awal beraja di Selangor. Di sini bersemadinya Almarhum-almarhum Sultan Selangor terawal.
- Kuala Selangor mendapat nama daripada lokasinya di bahagian kuala sungai iaitu Sungai Selangor.
- Menurut cerita rakyat, nama Selangor itu bermula apabila seorang pahlawan yang mengalami peristiwa pelik. Beliau gagal mengalahkan seekor langau ketika berehat di tebing sungai meskipun terkenal dengan kehandalan menewaskan pahlawan dan hulubalang dalam pertempuran. Maka, nama Selangor bersumberkan istilah se (seekor) langau. Ada juga yang berpendapat nama Kuala Selangor diilhamkan daripada pohon Mentangau yang banyak tumbuh di tebing sungai.
APA TEMPAT MENARIK DI KUALA SELANGOR?
- Kota Melawati iaitu kubu kuat Kesultanan Selangor yang dibina pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19. Dibina atas titah perintah Sultan Selangor Kedua Sultan Ibrahim (1782-1826). Ia terletak di atas Bukit Selangor menghadap Selat Melaka. Pada tahun 1784, ia jatuh ke tangan Belanda lalu dinamakan sebagai Altingsburg bersempena nama Gabenor Belanda ketika itu. Di sekitar kawasan Kota Melawati atau Bukit Melawati, terletak monumen lama dan tapak bersejarah yang lain seperti Makam Anak Dara, Makam Diraja Sultan Salehudin, Makam Diraja Sultan Ibrahim, Makam Diraja Sultan Muhammad, Perigi Beracun, Tangga Seratus, Telaga Tujuh, Batu Hampar, Busut Melawati, Meriam Penggawa dan Bukit Belanda.
- Taman Alam Kuala Selangor iaitu kawasan hutan paya bakau yang terkenal dengan penggemar aktiviti ‘jungle trekking’. Di sini, anda boleh menikmati keindahan alam semulajadi. Lebih unik, di sinilah destinasi persinggahan pelbagai jenis burung dari kawasan hemisfera utara seperti Siberia dan Rusia. Jika ingin berkunjung ke sini, bulan September hingga April ialah waktu paling sesuai kerana ia menjadi tempat burung-burung dari dalam dan luar negara mencari makanan dan perlindungan.
- Kelip-kelip Kampung Kuantan semestinya tidak mengecewakan anda dengan pesonanya. Anda boleh menyaksikan betapa indahnya panorama cahaya si kecil yang bercahaya ini di sepanjang Sungai Selangor di Kampung Kuantan. Bagi menikmati pengalaman ini, anda perlu mendapatkan bot yang disewa dengan kadar RM 50 dengan kapasiti empat orang bagi setiap bot.
TEMPAT MAKAN DI KUALA SELANGOR?
- Jangan risau tentang pilihan tempat makan. Jika anda sudah ke Kuala Selangor, apa lagi makanan yang istimewa selain daripada makanan laut yang segar-bugar. Siakap tiga rasa, milk crab, butter prawn, sotong goreng tepung… Mesti puas hati punya!
- Antara restoran makanan laut yang menjadi kegemaran ramai dan popular ialah Aroma Ikan Bakar di Jalan Pantai Jeram. Di sini, anda boleh menjamu selera sambil menikmati pemandangan matahari terbenam yang pastinya mengasyikkan. Selain itu, Restoran D’Coral Kuala Selangor yang lokasinya di gigi Sungai Kuala Selangor berdekatan dengan jambatan yang merentangi sungai tersebut. Apa tunggu lagi? Marilah ke Kuala Selangor menikmati keenakan makanan lautnya.
Bagaimana? Rasa-rasanya dah tahu belum nak ke mana pada cuti hujung minggu yang panjang ini? Ke Kuala Selangor kita pada hujung minggu ini. Pada minggu hadapan kita akan ke Sabak Bernam pula. Apa agaknya yang menarik di sana? Tunggu…