Keputusan drastik sekumpulan anak muda memprotes parti politik melalui tindakan undi rosak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang harus direnung melangkaui faham politik kepartian dan demokrasi pilihan raya. Kempen undi rosak anak muda ini tentunya menambah kerumitan dalam kegusaran terhadap ketidakcaknaan para belia dalam isu politik nasional dan lokal yang semakin membimbangkan. Kajian Merdeka Center pada bulan September 2017 mengenai minat anak muda terhadap politik negara menunjukkan 70 peratus daripada mereka tidak endah terhadap politik dan tidak merasakan mampu mempengaruhi keputusan kerajaan. Malahan, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mendapati golongan belia cenderung bersikap negatif terhadap politik. Dengan sikap sedemikian, bolehkah kita mengatakan keputusan PRU 14 nanti mengungkap aspirasi sebenar kira-kira 13 juta anak muda Malaysia?

 

Kemuakan Politik, Protes Pilihan Raya dan Persoalan Pemerkasaan Demokrasi Malaysia

 

Trend ‘buat bodoh’ menuju PRU 14 tentunya membimbangkan kerana anak muda yang seharusnya menjadi agen perubahan masyarakat semakin pudar kepercayaannya. Bukan sahaja terhadap idea perubahan politik yang lebih bersifat kebangsaan tetapi politik itu sendiri secara umum. Kemuakan politik dalam kalangan anak muda adalah rentetan politik Malaysia yang menjadi medan perbalahan antara parti politik dan perpuakan dalaman parti sekali gus menjadikan harapan untuk Malaysia yang baharu semakin meleset. Kini, trend kemuakan politik anak muda semakin ketara dengan sikap politik anak muda terhadap pilihan raya yang menjadi nadi amalan demokrasi Malaysia. Hal ini tentunya disebabkan oleh sebilangan anak muda begitu terpesona dengan kempen #UndiRosak yang bertujuan memprotes gabungan politik, baik Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi Pakatan Harapan (PH). Mereka menggagaskan ‘undi rosak’ sebagai suara alternatif membantah ahli-ahli politik yang semakin jauh daripada politik nilai seperti keadilan, integriti dan ketelusan dalam urus tadbir.

Kempen undi rosak menjadikan media sosial seperti Twitter dan Facebook sebagai platform sebaran idea. Kempen undi rosak pastinya dilihat sebagai ancaman terhadap kerukunan proses demokrasi. Meskipun ia ‘suara kecil’ pihak yang kecewa atau tidak ambil pusing mengenai politik, kedua-dua pihak pakatan parti pemerintah dan pembangkang telah mengeluarkan kenyataan bahawa kempen ini bukan suatu yang bermanfaat atau sihat untuk demokrasi. Pendapat yang dilontarkan dalam forum PRU 14: Mengundi, Merosak atau Tido Jewww… anjuran Merdeka Center membawa mesej bahawa ia tidak akan mengimpak keputusan pilihan raya secara besar-besaran. Jelasnya, panik yang timbul setelah kempen undi rosak dengan tanda pagar #UndiRosak #BoikotPRU hanyalah ‘api kecil’ yang akhirnya akan padam tetapi ia pasti berbekas. Oleh itu, sesuatu harus difikirkan kerana anak muda semakin hilang kepercayaan dan minat terhadap politik.

Persoalan-persoalan ini lebih mustahak difikirkan: adakah tindakan undi rosak atau tidur sahaja di rumah tidak keluar mengundi merupakan suatu pilihan terbaik buat masa ini untuk kelestarian pemerkasaan demokrasi Malaysia? Jika tidak, apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang untuk kita terus menyuburkan demokrasi di Malaysia?

 

Barisan panelis Forum PRU 14: Mengundi, Merosak atau Tido Sajew… anjuran Merdeka Center. Moderator Encik Tarmizi Anuwar memperkenalkan panelis Cik Divya Devi (Team Selangor), Cik Fadiah Nadwa Fikri (Malaysia Muda) dan Cik Lim Yi Wei (Ahli Majlis MBPJ).

 

Demokrasi Bukan Sekadar Pilihan Raya dan Parti Politik

 

Kurangnya literasi demokrasi, kesempitan dalam mendefinisi ruang penyertaan kuasa rakyat dan kemandoman budaya politik yang menghantui anak muda diajukan sebagai punca mereka berlegar sekitar demokrasi yang ditakrif sebagai parti politik dan pilihan raya semata-mata. Padahal, praktik demokrasi harus diperluas meliputi pelbagai aspek. Ia bukan sekadar soal pening kepala untuk memilih Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Kempen undi rosak harus dinilai dengan lebih mendalam. Ia lebih daripada sekadar protes terhadap parti politik yang mengecewakan anak muda. Ia sebenarnya harus membuka fikiran, perbincangan dan aksi ke arah kreativiti untuk mempelbagai mekanisme aktivisme demokrasi.

Yang harus dipraktikkan dalam ruang demokrasi ialah ‘kuasa rakyat’. Kita memerlukan demokrasi yang ditunjangi ‘kuasa rakyat’ melalui praktik-praktik yang mengambil kira inklusiviti setiap segmen masyarakat. Kuasa rakyat bukan sekadar kuasa untuk memilih YB sekali setiap tempoh lima tahun berdasarkan amalan demokrasi prosedural atau demokrasi perwakilan. Akan tetapi, ideal sesebuah demokrasi lebih daripada itu. Demokrasi partisipatori menekankan penglibatan langsung individu dalam membuat keputusan yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan harian. Demokrasi yang substantif juga mesti diwujudkan agar para perwakilan benar-benar membela kepentingan komunitinya.

 

Pemerkasaan Komuniti Menterjemah Kuasa Rakyat

 

Pembudayaan hidup berdemokrasi atau kuasa rakyat di Malaysia seharusnya lebih membumi untuk memperkasa komuniti. Salah satu model pemerkasaan komuniti ialah peranan Inisiatif  Kesedaran Kenegaraan dan Pemerkasaan Komuniti atau lebih dikenali sebagai Team Selangor. Sejak tahun 2017, program ini salah satu komponennya ialah mendekati anak muda, menyokong dan membantu mereka melaksanakan aktiviti komuniti yang dicadangkan oleh mereka sendiri. Dalam hal ini, peluasan konsep dan praktik ‘kuasa’ itu sendiri berjaya diterjemahkan. ‘Kuasa’ bukan sekadar bermaksud berkuasa untuk memilih tetapi mampu bersikap mandiri membawa perubahan terhadap diri sendiri seterusnya komuniti.

 

Demokrasi memerlukan elemen pemerkasaan komuniti khususnya anak muda. Cik Divya Devi melontarkan pandangan beliau berdasarkan aktiviti kesukarelawanan Team Selangor yang bertujuan memperkasa komuniti.

 

Atas semua itu, tindakan protes dengan undi rosak dan memaki hamun orang politik dan parti politik ialah tindakan yang melambangkan kerendahan estetika dalam menzahirkan kuasa rakyat. Tindakan yang perlu diambil sekarang ialah mula berkomunikasi antara satu organisasi dengan organisasi lain, bertukar idea dan pendapat serta merancang inisiatif-inisiatif untuk memperkasa demokrasi. Tembok-tembok penghalang ke arah demokrasi yang substantif tentunya tidak mudah dirobohkan. Ia akan mengambil masa panjang. Sekarang, tugas anak muda ialah memastikan kelestarian usaha pemerkasaan demokrasi. Marilah sama-sama kita menyumbang saran untuk memetakan alternatif ke arah pewujudan negara yang dihuni anak muda bertanggungjawab, demokratik dan bersusila.