“Umpama balik ke kampung menjenguk nenda, ayahanda dan bonda”. Begitulah yang boleh disifatkan mengenai program Khidmat Ummah Kumpulan 12 yang ditulang belakangi para pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) seramai 35 orang pada 27 dan 28 Januari 2018 lalu. Dengan moto, “Sebarkan Cinta, Perkasakan Dakwah”, mereka berkampung di Pusat Jagaan Mahmudah di Kampung Sungai Purun, Semenyih. Pusat jagaan ini telah dikelolakan sejak tahun 2016 oleh Encik Sazali Haji Mohiden yang merupakan Pengurus Operasi dan Jawatankuasa Pusat Jagaan Mahmudah bersama 25 orang sukarelawan. Program antara KUIS dengan pusat ini bukan pertama kali tetapi kerjasama kesukarelawanan antara sudahpun terjalin erat.

 

Sebahagian daripada warga Pusat Jagaan Mahmudah, Kampung Sungai Purun, Semenyih. Pusat ini didirikan atas rasa tanggungjawab untuk membela nasib mereka yang memerlukan.

 

Sukarelawan Khidmat Ummah dari KUIS membantu mengurus ayahanda dan bonda di Pusat Jagaan Mahmudah.

 

Encik Sazali amat menghargai usaha dan keprihatinan Team Selangor dan para pelajar KUIS yang sudi menghulurkan tenaga, sokongan moral dan melayan warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak di bawah jagaan pusat beliau. Tambah Encik Sazali, usaha menjaga kebajikan warga emas bukan tanggungjawab pusat jagaan semata-mata tetapi sebenarnya terletak di tangan anak-anak. Disebabkan ada di antara mereka yang diabaikan, peranan membela nasib mereka perlu digalas oleh masyarakat secara keseluruhan. Namun, bagi menjalankan operasi di Pusat Jagaan Mahmudah, ia bukan tugas mudah. Sehubungan itu, tenaga sukarelawan amat penting. Beliau bahkan menganggap sukarelawan ialah tonggak negara. Ketika ditemui, beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa sehingga mereka terpaksa diserahkan kepada pusat jagaan seraya menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan seikhlas hati.

 

Pegawai Team Selangor Cik Divya Devi menerima cenderamata tanda perhargaan daripada Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Encik Sazali Haji Mohiden.

 

Terasa berat kaki untuk melangkah meninggalkan ayahanda dan bonda sekalian. InsyaAllah kami akan kembali ke sini. Begitulah bunyinya mesej ucapan Ketua Khidmat Ummah Kumpulan 12 Mohd Hirwan Abdullah.

 

Selama dua hari, pelbagai aktiviti diadakan untuk menyelami dan menghiburkan hati warga Pusat Jagaan Mahmudah. Pada hari Sabtu, dijalankan gotong-royong dan aktiviti santai bersama warga emas seperti pertandingan dan kuiz. Setelah itu, pada sebelah malamnya diadakan makan malam iaitu jamuan berbeku. Masa terlalu mencemburui, pada pagi Ahad, para pelajar KUIS mengadakan majlis penutup yang disempurnakan oleh Pegawai Team Selangor Cik Divya Devi dengan dihadiri Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Encik Sazali Haji Mohiden, Ketua Khidmat Ummah Kumpulan 12 Mohd Hirwan Abdullah, warga Pusat Jagaan Mahmudah dan para pelajar KUIS. Program ini antara lain bertujuan mewujudkan ukhwah antara pelajar KUIS dan warga Pusat Jagaan Mahmudah, mendidik para mahasiswa untuk bertanggungjawab terhadap masyarakat dan memberi mesej kepada warga emas bahawa masih ada yang peduli terhadap mereka. Semoga Khidmat Ummah Kumpulan 12 pelajar KUIS ini bermanfaat dan mencapai matlamatnya selaras slogan “Sebarkan Cinta, Perkasakan Dakwah”.