Salam Semangat Merah Kuning! Rasa macam baru je menyambut tahun 2018. Beberapa hari lagi dah nak habis Januari. Maka, hampir sebulanlah kita pada tahun 2018. Macam mana dengan azam 2018? Berjalan seperti dirancang? Bagi yang bekerja mungkin masih sibuk dengan macam-macam mesyuarat untuk gerak kerja pada awal tahun ini. Bagi yang belajar di universiti baik awam atau swasta, selamat bercuti sebelum semester hadapan dibuka. Yang bersekolah, bagaimana dengan pelajaran anda? Hmm mungkin ada yang sibuk dengan aktiviti ko-kurikulum dan sukan tahunan sekolah sebelum semuanya menumpukan seratus peratus perhatian terhadap akademik.

 

Sibuk pun sibuk juga. Apa kata anda berehat seketika. Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan sekuat hati! Jom kita makan angin ke destinasi selanjutnya iaitu Daerah Sepang. Bermula sebagai sebuah pekan kecil yang dikelilingi kawasan menghijau dengan tanaman kelapa sawit, kini Sepang dikenali di seluruh Malaysia malah seantero dunia. Mana taknya, tempat ikon Malaysia terletak di daerah ini. Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, kedua-dua ada di sini. Mari kenali daerah Sepang, daerah bongsu negeri Selangor ini.

 

DAERAH SEPANG

 

  • Mula wujud pada 1 Januari 1975. Ia hasil gabungan tiga mukim; Dengkil Labu dan Sepang.
  • Daerah Sepang berkeluasan 132,817.21 hektar.
  • Terletak di bahagian selatan negeri Selangor.
  • Terdiri daripada tiga mukim iaitu Sepang, Dengkil dan Labu.
  • Pekan utama di daerah ini ialah Pekan Sepang, Pekan Sungai Pelek, Pekan Salak Tinggi dan Pekan Dengkil.
  • Bersempadan dengan daerah-daerah Selangor iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Petaling. Bersempadan juga dengan Nilai, Negeri Sembilan.
  • Dalam garis sempadan daerah Sepang, terletaknya salah sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya.
  • Nama Daerah Sepang berasal-usul daripada nama pokok Sepang yang dikatakan banyak terdapat di kawasan daerah ini.

 

Letak duduk daerah Sepang dalam negeri Selangor. Garisan sempada daerah ini dikatakan berbentuk seperti ‘hulu keris’.

 

DESTINASI MENARIK DI SEPANG

 

Jika anda pertama kali ke daerah Sepang, anda pasti tertanya-tanya apakah tempat menarik yang boleh dilawati di daerah ini. Ini kerana anda akan melewati kawasan ladang kelapa sawit yang luas di sepanjang kiri dan kanan jalan raya. Tapi, siapa sangka, di sinilah terletaknya tarikan dan hub perhubungan antarabangsa yang menjadi kebanggan rakyat Malaysia.

 

Kredit foto: Asean Tourism

Litar Antarabangsa Sepang atau Sepang International Circuit. Tentu anda selalu menonton sukan permotoran Motorcycle Grand Prix (MotoGP) dan Formula One. Di mana lagi tempatnya jika bukan di Sepang. Litar antarabangsa ini telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad Mantan Perdana Menteri Malaysia pada 9 Mac 1999. Trek sepanjang 5.543 kilometer, 15 selekoh dan 8 balapan lurus di Litar Antarabangsa Sepang ini menjanjikan adrenalin anda mengalir deras. Mampu menampung sehingga 130,000 penonton pada satu masa, keunikan senibina litar yang dijuruterai Hermann Tilke ini turut menjadi tarikan pengunjung, terutamanya di bahagian grandstand. Menariknya, litar ini bukan sahaja menjemput para peminat sukan permotoran tetapi ia dijadikan tapak konsert dan majlis perkahwinan. Meskipun Formula One telah menutup tirainya tahun lalu (2017), anda masih berpeluang merasai prestij litar antarabangsa ini dengan menyemak acara di Sepang International Circuit. Yang pastinya, litar ini terangkum dalam kehijauan hamparan ladang kelapa sawit yang menghijau di Daerah Sepang.

Pemandangan dari udara. Litar ini dikelilingi tanaman kelapa sawit yang menjadi komoditi utama Malaysia. Kredit foto: F1 Fanatic

 

Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur / Kuala Lumpur International Airport (KLIA) merupakan pintu masuk utama ke Malaysia. Menggantikan Lapangan Antarabangsa Subang, KLIA dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Kesepuluh Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1996. Lapangan terbang ini dikenali dengan konsep ‘hutan dalam lapangan terbang dan lapangan terbang dalam hutan’ bagi menghargai khazanah alam semulajadi, selain bertujuan memastikan kelestarian alam. Di Bangunan Satelit KLIA, anda boleh berkunjung ke KLIA Jungle Boardwalk iaitu bahagian rotunda dalam bangunan yang mempunyai lanskap hutan hujan tropika Malaysia. Selain itu, jika anda merancang lawatan sambil belajar ke KLIA, jangan lepaskan peluang ke menara kawalan lalu lintas udara KLIA2 yang merupakan menara kawalan trafik udara tertinggi di dunia. Dari puncak, anda dapat menyaksikan panorama lapangan terbang, pesawat yang berlepas dan mendarat dengan dikelilingi kehijauan bumi Sepang.

Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur International Airport kini mengalami penambahbaikan infrastruktur KLIA dan KLIA2 Kredit foto: Malaysia Truly Asia

 

Siapa sangka di dalam binaan konkrit KLIA ini terdapat lanskap yang begitu mendamaikan. Kredit foto: Malaysia Truly Asia

 

Pantai Bagan Lalang amat sesuai untuk anda makan angin bersama keluarga dan rakan-rakan atau untuk aktiviti mandi-manda walaupun airnya tidaklah sebiru pantai-pantai peranginan yang masih terpelihara daripada sebarang aktiviti manusia. Apa yang menarik di sini ialah pantainya yang panjang dan air laut yang surut sehingga 500 meter ke tengah. Maka, anda berpeluang untuk berjalan di atas pantai dan melihat hidupan laut seperti ketam dan siput yang mendiami kawasan pesisir. Apatah lagi, anda boleh bersiar-siar menikmati pemandangan sambil menikmati makanan dan minuman yang ada dijual di gerai-gerai berhampiran seperti air kelapa, coconut shake, pisang goreng dan cucur. Jangan risau jika anda ingin bermalam di Bagan Lalang kerana terdapat hotel dan chalet yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran. Antaranya ialah Avani Gold Coast, Hotel Seri Malaysia dan Seri Bayu Resort Hotel serta banyak lagi pilihan.

Pantai Bagan Lalang sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan. Kredit foto: Khairil Yusof

 

Kredit foto: Travelog.com

 

TEMPAT MAKAN

Destinasi percutian yang menjadi tumpuan orang awam di Sepang ialah Bagan Lalang. Ini kerana Bagan Lalang ialah kawasan berhampiran dengan pantai menghadap Selat Melaka.  Letaknya pun di kawasan tepi pantai sudah pastilah Bagan Lalang istimewa kerana makanan lautnya yang segar bugar. Sebut sahajalah apapun pasti ada di restoran-restoran makanan laut di sekitar Bagan Lalang. Siakap tiga rasa, siakap stim, ketam masak sweet sour, sotong goreng tepung, udang goreng butter, semuanya ada. Restoran Bayu Malam, HM Sri Bagan, Seaview Ikan Bakar dan Perahu merupakan antara pilihan yang ada jika anda menginap di sekitar Avani Gold Coast atau Hotel Seri Malaysia. Ia terletak berdekatan dengan dua hotel tersebut dan menghadap kawasan pantai. Waktu operasi restoran-restoran ini adalah dari waktu petang sekitar jam 6.00 petang hingga ke tengah malam. Selamat menjamu selera!

 

Mari! Mari! Anda pilih sendiri. Semuanya segar-bugar akan terus dimasak untuk hidangan makan malam anda. Kredit foto: The Vocket

 

Gerbang masuk ke HM Sri Bagan sebuah restoran terapung yang terdapat di Bagan Lalang. Kredit foto: Blog Abdquddoos

 

Aneka pilihan makanan laut dengan pelbagai cara masakan. Kredit foto: Blog LieyaLatif

 

Amacam? Begitulah serba sedikit mengenai daerah Sepang. Nampaknya kita telah mengenali hampir keseluruhan daerah di negeri Selangor. Hanya tinggal satu sahaja daerah yang belum dijejaki. Daerah terakhir iaitu Hulu Langat. Kita jumpa lagi pada minggu depan. Tunggu…

Pada kesempatan ini, Team Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Thaipusam 2018 kepada para penganut agama Hindu. Kepada yang lain diucapkan selamat bercuti!