Salam Semangat Merah Kuning semua! Ke mana anda hujung minggu ini? Lepak-lepak di rumah saja? Ya lah, cuaca dalam beberapa minggu ni pun dingin dan hujan. Rasa mengantuk. Sudahnya tertidur. Tak keluar ke mana-mana. Di sesetengah tempat, cuaca panas sudah kembali dan terik matahari pun mula dirasa.

 

Baiklah, pada minggu ini kita akan mengenali pula daerah Kuala Langat yang terletak di bahagian selatan negeri Selangor atau lebih tepat di bahagian Barat Daya. Di Kuala Langat inilah terletaknya Istana Jugra iaitu istana tertua yang masih wujud di Selangor. Ia sekali gus menjadi bukti bahawa Kuala Langat memiliki kesignifikanannya terhadap sejarah awal Kesultanan Selangor. Kini, daerah ini terkenal dengan Pantai Morib yang sering dikunjungi orang awam untuk menikmati keindahan dan kedamaian suasana tepian pantai. Di daerah inilah terletaknya Banting, pekan utama Kuala Langat iaitu tempat kelahiran jaguh badminton negara lima bersaudara. Bukan seorang dua, tetapi lima orang adik-beradik keluarga Dato’ Haji Mohd Sidek Abdullah Kamar. Siapa sangka, arena sukan badminton antarabangsa pernah digegarkan oleh anak kelahiran Banting, Kuala Langat!

 

Seperti biasa, sebelum kita mengenali destinasi-destinasi menarik sekitar Kuala Langat dan tempat-tempat untuk memburu makanan best, jom kita kenali dahulu secara ringkas mengenai daerah Kuala Langat.

   

Kuala Langat: Letaknya di Barat Daya Negeri Selangor menjadikan ia salah satu daerah negeri Selangor yang mempunyai kawasan pantai menghadap Selat Melaka.

 

KUALA LANGAT

  • Terletak di Barat Daya negeri Selangor.
  • Berkeluasan 62.924 kilometer persegi.
  • Bersempadan dengan daerah Klang, Petaling dan Sepang.
  • Pusat pentadbiran Kuala Langat terletak di Teluk Datok.
  • Pekan utama di Kuala Langat terdiri daripada Banting, Jugra, Teluk Datok, Morib dan sebuah pulau yang menghampiri tanah besar iaitu Pulau Carey.
  • Merangkumi enam buah mukim iaitu (i) Teluk Panglima Garang, (ii) Tanjung Dua Belas 1, (iii) Tanjung Dua Belas 2, (iv) Morib/Kelanang, (v) Bandar/Jugra dan (vi) Batu.
  • Kawasan Parlimen daerah Kuala Langat termasuk Parlimen Kuala Langat dan Sepang.
  • Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Langat ialah Sijangkang, Teluk Datok, Morib, Tanjung Sepat dan Dengkil.
  • Ditadbir oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL)
  • Asal-usul nama Kuala Langat dikaitkan dengan kepentingan Sungai Langat yang menjadi nadi daerah ini. Selain itu, nama Kuala Langat dikatakan bermula daripada ‘air hangat’ kerana para pedagang yang menggunakan Sungai Langat mendapati air di kuala sungai tersebut sentiasa hangat rasanya. Ada juga pendapat yang mengatakan ia berasal daripada nama ‘ikan selangat’ yang banyak terdapat dalam Sungai Langat yang lama-kelamaan menjadi Kuala Langat yang kita kenali pada hari ini.

 

TEMPAT MENARIK DI KUALA LANGAT

 

Kuala Langat menawarkan anda kepelbagaian skop destinasi. Pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyenaraikan tempat-tempat menarik yang terdiri daripada tempat bersejarah, pelancongan pantai, agro pelancongan, eko pelancongan, industri, seni dan kebudayaan serta sukan dan rekreasi. Antara pilihan kami untuk destinasi menarik di Kuala Langat ialah:

 

Pantai Morib telah dibangunkan oleh pihak bertanggungjawab menjadikan ia destinasi pelancongan yang dilengkapi pelbagai kemudahan awam. (Kredit foto: Menerokai Banting Selangor)

Pantai Morib sesuai bagi anda yang inginkan port untuk berjalan-jalan sambil makan angin di tepi pantai. Tiupan anginnya yang kuat sesuai untuk anda yang ingin bermain layang-layang bersama anak-anak. Pantai Morib terbahagi kepada Pantai Morib Lama dan Pantai Morib Baru. Apa bezanya? Pantai Morib Lama ialah kawasan pantai yang telah dibangunkan. Ia kurang sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Namun, terdapat pelbagai pilihan gerai makan di sina. Ia dilengkapi dataran pejalan kaki, wakaf, surau, taman permainan kanak-kanak dan tandas awam. Pantai Morib Baru pula lebih sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Air lautnya lebih cantik pada satu-satu masa berbanding Pantai Morib Lama.

 

Kelihatan aktiviti paragliding sedang diluncurkan dari puncak Bukit Jugra. Turut kelihatan ialah Rumah Api Bukit Jugra. (Kredit foto: MyCribBooking)

Bukit Jugra menyajikan anda dengan pemandangan kuala yang menarik daripada puncaknya. Selain itu, di puncak Bukit Jugra, dua lagi tarikan ialah Rumah Api Bukit Jugra dan Balai Cerap Bukit Jugra. Ketiga-tiga tarikan pelancongan ini, boleh disifatkan sebagai tarikan ‘tiga serangkai’ di Bukit Jugra. Berhadapan dengan rumah api inilah anda dapat menyaksikan pemandangan muara Sungai Langat yang mengalir tenang terus ke Selat Melaka. Anda pernah merasai pengalaman terbang bebas di udara? Jika tidak, apa kata anda mencubanya di Bukit Jugra. Sukan luncur angin atau tandem paragliding merupakan salah satu tarikan yang popular di Bukit Jugra. Anda akan dibantu oleh pilot yang akan meluncur di udara bersama. Bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM 150 hingga RM 250.

Rumah Api Bukit Jugra a.k.a. Bukit Jugra Lighthouse setinggi 25 meter ini didirikan oleh pihak Jabatan Marin Malaysia pada tahun 1976. Ia berketinggian 146 meter dari aras laut bagi mengawal dan membantu para jurumudi dan nakhoda kapal dagang serta nelayan yang menyusuri Selat Melaka.

Balai Cerap Bukit Jugra atau Baitulhilal Bukit Jugra terletak hanya bersebelahan dengan Rumah Api Bukit Jugra. Ia diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor secara rasmi pada 25 Oktober 2003 bersamaan 29 Sya’ban 1424H. Ia digunakan untuk mencerap anak bulan pada setiap Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Di samping itu, di sini dijalankan kurses Falak Syarie bagi negeri Selangor.

 

Istana Bandar di Jugra. Terletak kira-kira 15 kilometer dari Banting. (Kredit foto: Flickr | Abdul Halim Hadi)

Istana Bandar atau Istana 40 Bilik dibina pada tahun 1899 dengan perbelanjaan oleh Sultan Alaeddin Suleiman Shah. Ia dibina dengan sentuhan senibina Islam di Timur Tengah dan ada juga yang mengatakan terdapatnya sentuhan senibina Cina kerana tukang-tukang yang bekerja membinanya ialah tukang-tukang Cina. Setinggi dua tingkat, istana ini dibina atas sebidang tanah berkeluasan 12.96 ekar. Antara peristiwa bersejarah di Istana Bandar ialah keputeraan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 8 Mac 1922. Istana ini telah digunakan sehingga tahun 1938 iaitu tahun kemangkatan Sultan Alaeddin Sulaiman Shah.

 

Istana Jugra merupakan binaan istana tertua yang masih wujud di Selangor. (Kredit foto: Majlis Daerah Kuala Langat)

Istana Bukit Jugra merupakan peninggalan sejarah tertua di Selangor. Ia dibina pada tahun 1876 oleh Sultan Abdul Samad ketika Baginda menduduki takhta Kerajaan Selangor. Antara peristiwa penting di Istana Jugra ialah pertabalan Sultan Alaeddin Suleiman Syah iaitu Sultan Selangor kelima. Istana Jugra berada dalam keadaan yang tidak sesempurna keadaan asalnya. Satu cerita menarik mengenai istana ini ialah misteri peti besi yang berada di sini pernah dibawa ke Muzium Negara sementara untuk dipamerkan tetapi menghasilkan bunyi-bunyi pelik.

 

Selain destinasi tersebut, terdapat pelbagai lagi tempat menarik di Kuala Langat. Anda boleh rujuk di sini.

 

TEMPAT MAKAN

 

Restoran Cendol Ibrahim Banting. Silakan masuk dan cuba sendiri cendol rojaknya. (Kredit foto: Blog Blinkthasn)

Restoran Cendol Ibrahim Banting. Siapa yang tak kenal dengan restoran ini. Ia memang terkenal dengan cendolnya yang dibuat secara tradisional menggunakan tangan. Ia dihidang dalam mangkuk besi menonjolkan lagi ciri klasiknya itu. Kalau pergi ketika cuaca panas memang layan… Jangan lupa pekena rojak sekali. Cendol + Rojak, memang A! Restoran terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting berhampiran dengan restoran KFC. Dibuka daripada waktu tengah hari hingga petang.

 

Makan Dalam Cafe. Hmm… Nak kena makan kat dalam ke? Kat luar tak boleh? Ke sentap sampai makan dalam. Haa inilah dia tempat makan di Banting yang kian menjadi sebutan. Kafe ini ala ala kafe hipstur hehe Macam-macam menu ala Barat atau Western food boleh didapati di sini. Antaranya, Chicken Chop, Chicken Grill dan Lamb Chop. Tapi kalau nak Nasi Lemak Ayam Berempah pun ada di sini. Kalau nak try, gunakan saja aplikasi Waze anda, search: ‘Makan Dalam Cafe’. Ia dibuka bermula pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Tapi hari Ahad tutup ya. Atau ada hari-hari tertentu ditutup tetapi akan dimaklumkan terlebih dahulu menerusi media sosial Makan Dalam Cafe: Instagram.

 

Dol Char Kuey Teow. Memang syok! (Kredit foto: Facebook Dol Char Kuey Teow)

Char Kuey Teow Banting, Char Kuey Teow Shop Banting & Dol Char Kuey Teow. Kebanyakan orang yang sudah menikmati char kuetiau di Banting akan membuat kesimpulan rasanya setaraf dengan char kuetiau original di Penang! Haa… mana taknya peniaga Char Kuey Teow Banting ini pun dah claim masakannya ialah original recipe. Jelas terpampang di papan tanda restoran. Apa yang membuatkan anda wajib cuba char kuetiau di Banting ialah rasanya yang enak, kuahnya yang pekat dan campurannya yang segar seperti udang dan kerang yang banyak. Char Kuey Teow Banting terletak di 1454, Jalan Cempedak, Kanchong Darat. Kerana itu jugalah ia dipanggil Char Kuey Teow Kanchong Darat. Di sini anda juga boleh menikmati pilihan lain iaitu nasi ayam penyet dan pecel lele. Char Kuey Teow Shop Banting pula terletak berhampiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dol Char Kuey Teow terletak bersebelahan Petronas Kanchong Darat. Kalau susah sangat nak cari, gunakan sahaja aplikasi Waze dengan menaip nama-nama kedai tersebut.

 

Apa lagi rakan-rakan, marilah kita ke Kuala Langat! Oh ya, kami ada pengumuman istimewa buat para peminat motosikal atau bikers-bikers kental sekalian. Pada 21 Januari 2018 (Ahad) akan diadakan Mini Bike Week di Pekarangan Stadium Kuala Selangor. Diadakan pada jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam dengan pelbagai aktiviti menarik dan gerai jualan. Semua dijemput hadir. Jangan ketinggalan!