Selamat Sejahtera. Salam Semangat Merah Kuning. Pada minggu lepas, kita telah memahami serba sedikit mengenai pilihan raya di Malaysia, klik di sini. Pengundi merupakan komponen terpenting dalam proses pilihan raya kerana mereka menentukan keabsahan kerajaan yang bakal dibentuk. Sehubungan itu, pendidikan demokrasi penting dalam kalangan pengundi kerana mereka membuat keputusan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik, makmur dan sejahtera.

Namun, baru-baru ini, wujud perkembangan yang kurang sihat untuk demokrasi di Malaysia. Dalam media sosial, forum ataupun sembang kedai kopi, wujud satu trend yang mana para pengundi memilih untuk tidak mengundi dalam PRU 14 akan datang! Alasannya kerana mereka kecewa ataupun barangkali sudah mual dengan pertelagahan antara orang politik. Mereka mendakwa mengundi tidak akan mengubah apa-apa. Soalnya, adakah dengan mengambil keputusan sedemikian akan menyelesaikan masalah? Tentu sekali memilih untuk tidak mengundi juga ialah satu keputusan politik. Sayangnya, ia bukan pilihan yang positif untuk menentukan masa depan Malaysia.

‘Memilih antara Coca Cola dan Pepsi Cola’ ialah analogi yang sering diguna pakai untuk merasionalkan pendirian tidak mengundi. Dakwaan ia akan berakhir dengan orang politik yang berkuasa adalah dua kali lima dan mengabaikan nasib rakyat perlu difikirkan sedalam-dalamnya. Maka, kenapakah kita perlu turun mengundi untuk Malaysia?

  • Pengundian dalam pilihan raya ialah hak dan kuasa rakyat. Ia harus diraikan dan diterjemahkan menerusi peti undi agar suara dapat diwakilkan.
  • Memilih pemimpin atau wakil rakyat merupakan tanggungjawab politik yang harus ditunaikan oleh setiap warganegara.

Jika kita tidak menunaikan tanggungjawab pilihan raya iaitu menentukan parti pemerintah yang berkuasa, kita sebenarnya sedang menghakis ‘kuasa rakyat’ itu sendiri. Lebih penting lagi, kita mestilah membuat keputusan berdasarkan acuan atau sistem. Hal ini akan menjamin kerukunan dan ketertiban sistem demokrasi. Acuan demokrasi pilihan raya di Malaysia memerlukan kita untuk menurunkan pilihan di atas kertas undi iaitu dengan memilih calon yang diyakini berkemampuan menjadi wakil kita mengetengahkan isu-isu ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Seandainya kita tidak mengundi, kita sendirilah yang merosakkan sistem dan tiada bezanya kita dengan orang-orang politik yang dipersalahkan kerana melakukan penyelewengan, pembohongan dan pelbagai tindakan yang jelas meruntuhkan amalan demokrasi yang sihat. Buatlah pilihan yang bijak. Memilih antara Coke dan Pepsi bukan pilihan yang sama. Anda pasti memiliki ‘kegemaran’ tersendiri sama ada peminat setia Coke atau Pepsi.

Turunlah mengundi untuk Malaysia. Pilihan di tangan anda!