Apa khabar orang Selangor? Tak ke mana-mana hujung minggu ni? Jika sebelum ini kita telah ke Daerah Gombak, pada minggu ini kita akan mengenali salah satu lagi daerah yang terletak dalam kawasan Lembah Klang. Hmmm… Kat mana agaknya ya?

Ya, Daerah Petaling! Tak dapat dinafikan, Petaling ialah daerah termaju di negeri Selangor daripada segi urbanisasi. Mana tidaknya, di daerah ini sahaja terdapat dua kawasan bertaraf bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya. Ia terletak dalam radius Lembah Klang. Kawasan-kawasannya begitu strategik sehingga menjadi tumpuan ramai bukan sahaja dari Selangor malah dari seluruh negara. Jom kita berkenalan dengan Petaling.

 

  • Daerah Petaling ditubuhkan pada 1 Februari 1974.
  • Terletak di tengah-tengah Lembah Klang.
  • Merangkumi empat mukim; Petaling, Damansara, Bukit Raja dan Sungai Buloh.
  • Terdapat dua Majlis Bandaraya iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
  • Berkeluasan 484.32 kilometer persegi bersamaan 48,491 hektar.
  • Bersempadan dengan daerah Klang, Kuala Selangor, Gombak, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Ketika akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, kawasan Petaling ialah pusat perlombongan bijih timah sehingga dikenali sebagai Petaling Tin yang merangkumi kawasan Sungai Way, Subang Jaya dan Puchong.
  • Asal-usul nama Petaling adalah kerana ketika zaman dahulu terdapat banyak pokok ‘petaling’ di kawasan ini. Namun, kini, pokok petaling amat sukar didapati.

 

Kedudukan daerah Petaling dalam negeri Selangor. Daerah termaju di negeri Selangor ini terletak dalam kawasan Lembah Klang.

Daerah Petaling meliputi empat buah mukim iaitu Sungai Buloh, Bukit Raja, Damansara dan Petaling. (Kredit foto: Pejabat Daerah dan Tanah Petaling)

 

TEMPAT MENARIK

Mercu tanda Selangor, Kota Darul Ehsan menjadi pintu masuk ke Daerah Petaling bagi sesiapa yang datang dari Kuala Lumpur. Jika anda ke Petaling, mudah jika menggunakan kenderaan sendiri bahkan tidak sukar juga menggunakan pengangkutan awam kerana rangkaiannya adalah pelbagai dan sistematik. Terdapat banyak pilihan tempat di sini dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Membeli-belah, berekreasi, bersantai dan menambah ilmu pengetahuan. Petaling sememangnya menjanjikan tempat-tempat yang menyeronokkan pada hujung minggu, malah hari biasa.

 

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pasti membuatkan anda terpaku apabila melihatnya keindahan seni binanya. Ia merupakan masjid negeri bagi negeri Selangor. Jika anda nak tahu, masjid ini merupakan yang terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara setelah Masjid Istiqlal di Indonesia. Bukan itu sahaja, menaranya yang berdiri megah di empat penjuru merupakan antara yang tertinggi di dunia. Bagi yang beragama Islam, kunjungilah masjid ini dengan adab ke masjid manakala kepada bukan Muslim, anda dinasihatkan untuk memakai pakaian yang sopan bersesuaian dengan tatacara ke tempat keagamaan. Di sini, terdapat pelbagai kemudahan seperti kaunter zakat, perpustakaan, dewan dan bilik untuk sewaan serta kaunter khidmat nasihat. Bagi anda yang inginkan petunjuk, pihak masjid menyediakan Mosque Tour Guide yang dikendalikan para sukarelawan Islamic Outreach ABIM.

 

Muzium Sultan Alam Shah terletak di tengah Bandaraya Shah Alam. Seni binanya yang unik memudahkan anda untuk mencarinya. Muzium ini merangkumi dua tingkat ruang pejabat, tiga tingkat ruang pameran dan Dewan Pameran Daeng Menambun. Terdapat lima buah balai pameran iaitu Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Sukan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Balai Islam. Di samping itu, ia dilengkapi dengan kemudahan seperti pusat sumber, auditorium, dewan bilik mesyuarat, makmal taksidermi dan repositori. Terdapat lebih 4,000 artifak di muzium yang berkeluasan 135,000 kaki persegi ini meliputi pelbagai maklumat berkenaan pembangunan negeri Selangor dan kepelbagaian budaya masyarakat. Bukan sahaja di bahagian dalam, di luar muzium ini juga ditempatkan bahan pameran seperti kereta Menteri Besar Selangor pertama, kepala dan gerabak Keretapi Tanah Melayu dan kapal terbang.

 

Sunway Lagoon. Siapa yang tidak tahu Sunway Lagoon. Taman Tema ini menawarkan anda dan rakan-rakan mahupun keluarga dengan beberapa taman iaitu taman air Sunway Lagoon Water Park, taman hiburan Sunway Lagoon Amusement Park, taman hidupan liar Sunway Lagoon Wildlife Park dan taman ekstrem Sunway Lagoon Extreme Park, taman jeritan Sunway Lagoon Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon pertama di Asia! Pastikan anda masuk ke sini dengan harga tiket MyKad Promotion yang istimewa buat warganegara Malaysia ke semua taman temanya. Boleh semak harga tiket di sini dan sebarang promosi atau pakej menarik di Sunway Lagoon menerusi laman rasmi Sunway Lagoon Malaysia.

 

Sunway Piramid Ice ialah taman hiburan sukan ais pertama di Malaysia bertaraf dunia. Ia sesuai jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru. Buat yang baru pertama kali mencuba, bawalah sekali rakan-rakan atau keluarga anda. Ia tentunya menyeronokkan. Jika perlukan tunjuk ajar, anda boleh mendapatkannya secara individu mahupun berkumpulan. Kadar bayarannya boleh dilihat di sini. Jangan risau juga jika anda bertaraf amatur kerana sukan ais ini adalah untuk semua. Daripada mereka yang bertaraf beginner sehinggalah profesional. Bayaran skating di lapangan terbuka hanya RM 20.00 pada hari biasa, RM25.00 pada hari minggu dan RM 28.00 semasa cuti umum dan cuti sekolah. Mari kita meluncur!

 

Pasar Karat Amcorp Mall pastinya memberi kepuasan kepada para penggemar barangan antik. Ia menjual pelbagai barangan lama seperti wang kertas dan syiling lama, buku, barang antik seperti seterika tembaga dan jam loceng, poskad dan setem, perabot lama dan sebagainya. Pasar Karat ini hanya akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad, dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 petang. Jika ingin ke sini, anda boleh menaiki kenderaan sendiri melalui Lebuh Raya Persekutuan dan menyusuri Jalan Timur ataupun menaiki LRT Putra ke Stesen Taman Jaya.

 

Laman Seni 7 (LS7) di Shah Alam amat sesuai bagi anda yang meminati street art. Datanglah ke sini dengan kamera, smartphone, gopro atau apapun gajet untuk merakamkan hasil seni yang diiktiraf oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sendiri. Di Laman Seni 7 ini anda akan mengubah persepsi terhadap lorong belakang rumah kedai yang lazimnya sunyi, kotor dan menjijikkan(?), sesuai dengan taglinenya Redefine #Lorongbelakang. Tak tahu bagaimana untuk ke LS7? Cari sahaja beberapa landmark di sekitar Seksyen 7 iaitu Restoran Wong Solo dan Tutti Fruitti. Dari sana anda boleh berjalan kaki ke LS7.

 

MAKANNN!

Fradoo ABC Special di Seksyen 2 Shah Alam pasti membuatkan anda ketagih. Sekali try, mesti nak lagi. Apa yang special sangat dengan ABC ni ialah topping ais krimnya yang mendinginkan dan keenakannya yang berbaur dengan coklat cair. Secara spesifik, Fraado ABC Special ini terletak di Medan Selera Seksyen 2 Shah Alam berdekatan dengan bulatan menghala ke pintu utama UiTM Shah Alam. Ia beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 malam.

 

Pak Li Kopitiam merupakan port makan di sekitar negeri Selangor tetapi kalau di Seksyen 7 Shah Alam, suasananya lain daripada yang lain. Bagi anda yang suka keluar malam, lepak-lepak bersama kawan-kawan, datanglah ke Pak Li Kopitiam kerana ia menyediakan pelbagai pilihan makanan yang anda boleh lihat di sini. Nasi Ayam Lemon dan Nasi Lemak Pak Li Special memang favorite! Tempat makan best ni terletak di alamat 42, Jalan Kristal K7/7 Sekyen 7 Shah Alam.

 

myBurgerLab pasti menarik perhatian anda. Burgernya dibuat dengan charcoal bun yang dibakar setiap hari memastikan ia dalam keadaan fresh. Kepingan dagingnya juga dikisar dan dibungkus sendiri untuk memastikan ia sentiasa segar. Jika anda sibuk dengan tugasan dan tak berkesempatan, jangan risau kerana myBurgerLab menyediakan perkhidmatan delivery. Burger awesome ini berada di dua tempat sekitar Petaling Jaya. Di Seapark dan Sunway. Jika bercadang ke sini, anda boleh merujuk waktu perniagaan di sini.

 

Village Park jawapan untuk selera Malaysia jika ke Petaling Jaya. Kami mengesyorkan anda nasi lemak Village Park istimewa bersama ayam gorengnya yang diiktiraf sebagai Best Ayam Goreng oleh Time Out KL Food Awards 2014. Ataupun anda boleh menikmati nasi lemak bersama ayam rendang. Pilihan lain bercitarasa Malaysia ialah nasi dagang, assam laksa, mi kari, masakan gulai dan kari serta kuih-muih. Port makan ini terletak di Jalan SS21/37, Damansara Utama, Petaling Jaya, dibuka setiap hari dari jam 7.00 pagi hingga 7.30 malam (Isnin – Sabtu) dan 7.00 pagi hingga 6.00 petang (Ahad).

 

Terletak di Lembah Klang, Petaling bukan sahaja sesuai untuk berekreasi, menimba pengetahuan, bersantai sambil makan-makan dan berhibur. Petaling ialah syurga bagi mereka yang ingin membeli-belah seperti Sunway Pyramid, Paradigm Mall, Amcorp Mall, AEON Mall Shah Alam, Kompleks PKNS Shah Alam dan Empire Shopping Gallery. Dah tahu macam-macam tempat di sekitar Petaling, bolehlah anda merancang untuk ke mana mengikut keperluan dan citarasa anda.