Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir. Adakah anda sudah mendaftar sebagai pemilih? Adakah anda sudah menyemak maklumat dalam senarai semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)? Bersediakah anda untuk ke tempat pengundian dengan kefahaman mengenai proses pilihan raya yang anda sertai?

Seperti dibincangkan dalam artikel lepas mengenai demokrasi, pilihan raya ialah salah satu elemen terpenting yang memanifestasikan ‘kedaulatan rakyat’ atau ‘kuasa rakyat’.

Namun demikian, demokrasi yang bersifat prosedur semata-mata seperti keluar mengundi sahaja tidak membawa pengertian sebagai demokrasi yang terisi bagi setiap warga. Demokrasi yang terisi dalam kalangan warga mestilah menjamin bahawa mereka memahami proses pilihan raya dengan ilmu dan pengetahuan berkenaannya. Lebih baik daripada itu, setiap warga yang hidup secara demokrasi mampu berfikiran kritis terhadap proses pilihan raya yang mereka sertai.

 

Pilihan Raya Persekutuan 1955 merupakan pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu yang kemudiannya bergabung dengan Sabah dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia yang ada pada hari ini.

 

 

APA ITU PILIHAN RAYA?

Pilihan raya bermaksud memilih pemimpin atau ketua atau wakil. Ia berbeza dengan perbuatan melantik.

Proses pilihan raya dijalankan untuk memilih seseorang untuk sesuatu jawatan dan ia dilaksakan melalui pengundian sesebuah perkumpulan. Ia dilakukan secara terbuka dan dikenali sebagai pilihan raya.

Pilihan raya kerapkali diberi julukan sebagai pesta demokrasi atau perayaan demokrasi kerana ia menjadi salah satu unsur terpenting dalam sistem demokrasi yang meletakkan kuasa rakyat sebagai teras.

 

 

APAKAH SISTEM YANG DIAMALKAN DALAM PILIHAN RAYA MALAYSIA?

Terdapat dua jenis sistem pilihan raya iaitu (i) sistem proportional dan (ii) sistem mudah / first-past-the-post / single member territorial representation.

Malaysia mengamalkan ‘sistem mudah’ yang mana seseorang disahkan kemenangannya dalam pilihan raya apabila memperoleh undi majoriti atau terbanyak meskipun dengan kelebihan satu undi.

 

 

APAKAH JENIS / PERINGKAT PILIHAN RAYA DI MALAYSIA?

Hanya dua jenis pilihan raya dijalankan di Malaysia iaitu (i) pilihan raya umum dan (ii) pilihan raya kecil.

‘Pilihan raya umum’ diadakan bagi pemilihan perwakilan ke Dewan Rakyat (salah satu unsur dalam Parlimen Malaysia) dan Dewan Undangan Negeri (DUN), setelah ia dibubarkan. Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. 

‘Pilihan raya kecil’ diadakan bagi memilih wakil ke Dewan Rakyat dan DUN. Bezanya, ia diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi perwakilan akibat keadaan luar jangka seperti kematian, peletakan jawatan atau sebab-sebab lain yang mengakibatkan adanya kekosongan.

 

 

SIAPAKAH PIHAK YANG BERPERANAN MENGURUSKAN PILIHAN RAYA DI MALAYSIA?

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) merupakan badan bebas yang dilantik ahli-ahlinya oleh Yang DiPertuan Agong (YDPA) setelah rundingan bersama Majlis Raja-Raja. Ia terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain. Kini, SPR dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan Tan Sri Othman Haji Mahmood sebagai Timbalan Pengerusi.

Terdapat tiga peranan utama SPR iaitu:

  • Membuat kajian dan persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN setiap tidak kurang dari tempoh lapan tahun setelah kajian terakhir persempadanan sebelumnya.
  • Menjalankan urusan pendaftaran pemilih / pengundi dan semakan pendaftar pemilih.
  • Menjalankan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

 

 

APAKAH KERANGKA UNDANG-UNDANG PILIHAN RAYA?

Pilihan raya perlu undang-undang sebagai panduan, pengawal penjalanan dan pengesah kepada proses pilihan raya dan lain-lain perkara berkaitan seperti struktur organisasi.

Kerangka undang-undang yang memberi panduan, mengawal selia dan mengesahkan proses pilihan raya ialah Bahagian 8 Pilihan Raya, daripada Perkara 113 sehingga 120 Perlembagaan Persekutuan. Menerusi Perkara 113 – 120, komponen penting yang disentuh ialah penjalanan pilihan raya, keanggotaan SPR, bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri, kelayakan pemilih termasuklah pemilihan terus ke Dewan Negara.

Selain itu, terdapat perlembagaan, akta-akta dan peraturan-peraturan lain yang diguna pakai untuk menjalankan pilihan raya iaitu Perlembagaan Negeri, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya 2003.

Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai kerangka undang-undang tertinggi yang memastikan pilihan raya terus menjadi salah satu amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.

 

 

SIAPAKAH YANG LAYAK MENGUNDI?

Pemilih atau pengundi menjadi aktor terpenting dalam sesebuah pilihan raya. Merekalah yang akan memilih wakil ke Dewan Rakyat atau DUN.

Hanya warganegara Malaysia yang memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai pengundi dibenarkan untuk terlibat dalam proses pengundian iaitu:

  • Mencapai umur 21 tahun.
  • Bermastautin di satu-satu bahagian pilihan raya atau jika tidak bermastautin, pengundi ialah pengundi tidak hadir.
  • Berdaftar dalam senarai nama pemilih.

 

 

ANDA LAYAK MENGUNDI DALAM PILIHAN RAYA AKAN DATANG?

Jika anda tidak pasti mengenai status sebagai pengundi, terdapat saluran yang boleh dirujuk seperti dinyatakan oleh SPR iaitu:

  • Sistem Semakan Daftar Pemilih SPR (klik di sini)
  • Ibu Pejabat Pilihan Raya SPR Malaysia
  • Pejabat Pilihan Raya Negeri
  • Aplikasi mudah alih MySPR Semak
  • Unit Outreach SPR

 

Menerusi senarai semakan daftar pemilih SPR, para pemilih boleh mendapatkan maklumat seperti dalam rajah berikut. Adalah penting untuk seseorang pengundi mengetahui lokasi pengundian, calon-calon bertanding dan kaedah menanda kertas undi dengan betul. Sesungguhnya, masa hadapan negara Malaysia tercinta terletak di tangan anda.

 

Kata ahli falsafah Jerman Immanuel Kant, “…Experience without theory is blind…”. Bagi anda yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, persiapkan diri anda dengan ilmu pilihan raya supaya pengalaman tersebut tidak hanya tinggal sebagai pengalaman tetapi menjadi refleksi ke arah sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil sekali gus menjamin kuasa rakyat dapat dipertahankan.

 

JANGAN LUPA MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH DAN MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB KEPADA NEGARA!