Wah, wah, wah, mesti sudah puas bercuti semua. Semestinya rasa lebih bersemangat untuk meneruskan tugasan harian. Yang bercuti sekolah pun sudah memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari 2018 tempoh hari. Walaupun bulan ini tiada cuti umum panjang tetapi ia bukan alasan untuk kita tidak meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Pada kali ini, kami ingin membawa anda mengenali pula salah sebuah daerah yang terletak di kawasan Lembah Klang iaitu… Gombak!

 

Daerah Gombak terletak berdekatan dengan ibu negara Kuala Lumpur sekali gus salah satu kawasan Lembah Klang.

 

Hmm…  sebut sahaja Gombak pasti ada antara kita yang tercuit hati teringatkan ‘kasut buatan Gombak’. Iklan Hari Kebangsaan 1998 oleh syarikat petroleum negara kita Petronas mengenai  ‘kasut Gombak’ secara tak langsung menjadi memori bersama rakyat Malaysia. Ia membawa mesej ‘Belilah barangan buatan tempatan!’. Mungkin juga ada dalam kalangan kita yang mengenali Gombak kerana di daerah inilah terletaknya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadikan daerah yang bertaraf internasional! Berikut serba sedikit mengenai daerah Gombak:

  • Daerah Gombak diwujudkan pada 1 Februari 1974 iaitu tarikh sama tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Keluasan 650.08 kilometer persegi.
  • Merangkumi lima mukim iaitu Batu, Rawang I, Rawang II Setapak dan Hulu Klang.
  • Bersempadan dengan Hulu Selangor (sebelah utara), Kuala Selangor (sebelah barat), Petaling (Barat Daya), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (selatan) dan negeri Pahang Darul Makmur (timur laut).
  • Asal-usul nama Gombak tidak dapat dipastikan. Ia dipercayai diilhamkan menerusi beberapa ciri fizikal semulajadi di kawasan ini iaitu Sungai Gombak, Bukit Gombak dan Jalan Gombak.
  • Gombak mudah untuk diakses menggunakan pengangkutan awam seperti perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan LRT Kelana Jaya Line.
  • Merupakan pintu keluar ke negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu kerana di sini terletaknya Plaza Tol Gombah bagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
  • Populasinya unik. Ia bukan sahaja meliputi tiga etnik utama di Malaysia; Melayu, Cina dan India. Di sini terdapat petempatan anak watan negeri Selangor iaitu Orang Asli, malahan orang Minang yang dikatakan telah mendiami Gombak sejak akhir abad ke-19.

 

Peta Daerah Gombak: Memperincikan kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terangkum dalamnya.

 

JOM JALAN-JALAN DI GOMBAK!

 

Terdapat pelbagai tempat menarik di Gombak untuk dilawati seperti Zoo Negara, Batu Caves, Muzium Orang Asli, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Hutan Lipur Sungai Tua, Hutan Lipur Bukit Langon dan Air Terjun Batu Asah. Jika anda berkunjung ke sini, jangan lepaskan peluang untuk ke tempat-tempat pelancongan yang menarik lagi unik kerana ia satu-satunya hanya di Gombak.

 

Zoo Negara Malaysia yang menjadi ‘rumah’ Xing Xing dan Liang Liang ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia mula beroperasi pada tahun 1963 iaitu pada awal penubuhan Malaysia lagi. Di Zoo Negara inilah lokasi dating Cikgu Shaari dan Norkiah dalam filem Masam-masam Manis!. Pada masa itu, anda boleh melihat kawasan sekitar zoo ini masih agak lengang. Namun, kini terdapat 476 spesis daripada keluarga mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan mendiami kawasan seluas 110 ekar. Ia terletak 5 kilometer dari Kuala Lumpur. Waktu operasinya adalah dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Harga tiket pula mengikut usia iaitu dewasa (RM 44), kanak-kanak berumur 3 hingga 12 (RM16) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas (RM 21). Bila sudah ke sini, jangan terlepas menyaksikan tarikan-tarikan di Zoo Negara seperti pasangan panda dari China dan pertunjukan haiwan yang diadakan pada pukul 11.00 pagi hingga 3.00 petang (kecuali Jumaat hingga 3.30 petang). Untuk maklumat lanjut sila layari www.zoonegaramalaysia.my

 

(Kredit foto: Trip Advisor)

(Kredit foto: Zoo Negara Malaysia)

 

Batu Caves terkenal kerana sambutan perayaan Thaipusam penganut agama Hindu diadakan pada bulan Thai yang mana mereka menghormati Dewa Murugan. Pada masa inilah mereka menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa lalu. Ia merupakan kawasan batu kapur dengan tiga gua utama yang menempatkan kuil-kuil dan tempat suci Hindu. Aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh para pelancong tentunya mendaki 274 anak tangga untuk ke bahagian kuil. Selain itu, tarikan di Batu Caves ialah patung Dewa Muruga setinggi 42.7 meter atau 140 kaki yang mana ia dipercayai sebagai yang tertinggi di dunia. Tentunya Batu Caves memaparkan warna-warni kepelbagaian budaya dan agama di Malaysia di samping keunikan seni bina serta alam semulajadi.

 

(Kredit foto: Kuala Lumpur Website)

(Kredit foto: Kuala Lumpur Website)

 

Muzium Orang Asli turut menjadi keunikan di Gombak, bersesuaian dengan daerah ini sendiri meliputi penduduk yang terdiri daripada Orang Asli. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan menggunakan rumah kediaman rasmi bekas Ketua Pengarah JHEOA sebagai bangunan asalnya. Kemudian, atas inisiatif berterusan untuk memelihara khazanah Orang Asli, bangunan baharu dibina atas tapak yang ada sekarang bermula 1995 hingga 1998. Lokasi muzium ini terletak di Jalan Pahang. Di sini, anda boleh menyaksikan kira-kira 1300 artifak merangkumi 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

 

(Kredit foto: My Rokan)

(Kredit foto: My Rokan)

 

PENAT BERJALAN… PERUT PUN LAPAR. KE MANA KITA?

 

Char Koay Teow Yob yang terletak di Jalan Muhibah, Taman Sri Gombak memanggil-manggil anda dengan keunikannya iaitu char kuetiau yang digoreng hidang bersama telur itik! Keunikan ini memang menjadi tarikan sehingga tidak hairanlah ia turut mendapat review daripada blog jelajah makan seperti Terjah Makan. Jika anda penggemar char kuetiau, ia memang wajib cuba. Berkunjunglah ke sini kerana anda akan dapat merasai kesedapan kuah pekat char kuetiau nya yang digoreng bersama udang dan dicampur pula dengan rasa lemak telur itik. Char Koay Teow Yob beroperasi daripada jam 6.00 petang hingga ke 12.00 tengah malam. Sesuai untuk anda yang ingin mencuba sesuatu berlainan bagi makan malam!

(Kredit foto: Terjah Makan) 

 

Nasi Lemak Abang Is World Rendang Hitam Special. Dah terang lagi bersuluh. Apa lagi yang menarik di gerai Nasi Lemak Abang Is World ini kalau bukan rendang hitamnya yang specialll fulamak tangkap leleh beb! Sebab kuahnya yang pekat secukup rasa bercampur aroma rempah ratus yang digaul sekali. Gerai nasi lemak ini terletak di Jalan SG 3/10, Taman Sri Gombak, beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 12. 00 tengah hari. Kalau tak puas makan di gerai, bolehlah anda bungkus makan di rumah atau pejabat dan jangan lupa tapau untuk saya sekali! Hehe

(Kredit foto: Fried Chillies) 

 

Kuah Sup Island dengan kuah sup yang meletup-letup! Terletak di Jalan Madrasah, Gombak Setia. Sebelum ke sini, perlulah untuk anda untuk membuat keputusan terlebih dahulu kerana kepelbagaian pilihan supnya yang enak-enak belaka. Ada sup daging, ada sup ayam dan ada sup tulang. Anda boleh memesan sup untuk dimakan bersama nasi putih ataupun mi sup dan bihun sup. Formulanya di kedai ini sangat mengena, sup + kuah sambal kicapnya yang kebabom! Anda boleh ke sini dalam waktu tengah hari dari jam 11.00 hingga jam 6.00 petang. Amacam? Jom lah bersama keluarga dan rakan-rakan anda ke sini. Dijamin puas hati!

(Kredit foto: Terjah Makan)

 

APA LAGI? JOM KITA KE GOMBAK!!!

Kepada sesiapa yang belum pernah menjejak kaki di Gombak atau berkelapangan dan merancang untuk mengisi waktu terluang, berkunjunglah ke sini pada hujung minggu. Pelbagai aktiviti makan angin dan makan-makan boleh dilakukan di sini. Ia bukan sahaja menjadi destinasi oleh mereka yang berada di sekitar Selangor tetapi juga dari seluruh Malaysia. Anda boleh ke sini dengan menaiki kenderaan awam seperti Komuter KTMB dan LRT. Sehingga berjumpa lagi pada minggu hadapan!