PELANCARAN VOLUNTEER TEAM SELANGOR (VOLTS) berlangsung dalam acara sederhana tetapi meriah dan mengujakan. Program pelancaran yang memfokuskan para sukarelawan Team Selangor di kawasan sekitar Ampang, Gombak dan Pandan ini diadakan pada 30 Disember 2017 (Sabtu). Ia berlangsung di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), pada sebelah pagi dan petang.

 

 

Dalam dua majlis berasingan di Auditorium MPAJ, pelancaran VOLTS bagi kawasan Ampang dan Gombak telah disempurnakan pada sebelah pagi oleh Ahli Parlimen Ampang Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin manakala kawasan Pandan dilancarkan oleh Yang Berhormat Dr. Afif Bahardin (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang) pada sebelah petang. Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Encik Ehsan Shahwahid (Ketua Sekretariat Team Selangor), Encik Muhd Shazlee Muhd Nazlee (Ketua Koordinator Team Selangor), wakil Sukarelawan Team Selangor mengikut kawasan dan ahli komuniti.

 

 

Meskipun pelancaran ini memberi tumpuan sukarelawan Team Selangor kawasan Ampang, Gombak dan Pandan, ia turut dihadiri para sukarelawan Team Selangor yang menetap di luar tiga kawasan tersebut. Ia sekali gus menjadi manifestasi kekuatan Team Selangor yang telah menjadi fenomena dalam komuniti Selangor sejak pelancarannya di peringkat negeri pada Januari 2017 lalu. Team Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menyemarakkan aktiviti kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti di bawah Sekretariat Kesedaran Kenegaraan dan Kesukarelaan Negeri Selangor. Sasaran Sukarelawan Team Selangor berdaftar kini telah melepasi sasaran 20,000 orang dan dijangka jumlah terkini yang mendaftar seramai 24,000 orang akan terus meningkat.