TIK! TOK! TIK! TOK! Hanya beberapa hari sahaja lagi sekolah akan dibuka kembali. Di Selangor, sesi persekolahan akan bermula pada 2 Januari 2018, hari Selasa. Bagaimana dengan persediaan untuk kembali ke sekolah? Mesti sudah bersedia dengan baju sekolah, kasut sekolah, beg dan alat tulis yang baharu. Tapi, mana-mana yang masih boleh digunakan eloklah digunakan semula untuk menjimatkan perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran.

Bagi para ibu bapa sekalian, anda semua pasti sudah bertungkus-lumus membuat persiapan untuk anak-anak anda. Apatah lagi bagi ibu bapa yang pertama kali ingin menghantar anak ke sekolah. Mesti mak dan ayahnya lebih berdebar-debar daripada anaknya kan? Jika ada yang belum dibeli, jangan risau. Masih ada masa lagi untuk anda membuat persiapan terakhir.

Baiklah, jika sebelum ini kami berkongsi dengan anda “Tips musim cuti sekolah”. Kali ini kami ingin berkongsi pula tips-tips atau panduan atau check list sebelum persekolahan bermula.

 

APA YANG IBU BAPA / PENJAGA PERLU PASTIKAN SEBELUM SEKOLAH DIBUKA?

  • Pastikan keperluan sekolah anak-anak anda sudah disediakan seperti pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis supaya pada hari pertama anak-anak anda berada dalam mood yang baik untuk belajar.
  • Seelok-eloknya, pastikan keperluan sekolah disemak pada hari Sabtu atau Ahad ini supaya jika ada apa-apa yang masih belum dibeli boleh didapatkan pada hari Isnin.
  • Pastikan segala urusan pendaftaran dengan pihak sekolah telah diselesaikan atau disediakan seperti yuran, bayaran buku tulis, pakaian sukan dan sebagainya.
  • Pastikan anda yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah telah maklum waktu ketibaan bas sekolah di kawasan kediaman anda. Penting supaya anak-anak anda tidak terkejar-kejar kemudian lewat ke sekolah pada hari pertama. Jangan lupa juga waktu pulang dari sekolah.
  • Pastikan wang belanja sekolah telah disediakan. Lagi bagus jika anda boleh menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak supaya mereka mendapat makanan berkhasiat dan dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik.
  • Pastikan waktu rehat dan tidur anak-anak anda mencukupi dan mengikut rutin harian pada hari persekolahan. Sudah bercuti panjang, tentu ada yang tidur lewat dan kepenatan setelah berjalan-jalan ke sana-sini.

 

APA YANG PERLU IBU BAPA TAHU BAGI ANAK-ANAK YANG PERTAMA KALI KE SEKOLAH?

Peranan ibu bapa jika pertama kali menghantar anak ke sekolah tentunya mencabar. Mungkin ada yang menghantar anak ke tadika atau prasekolah ataupun darjah satu. Apa yang anda patut lakukan? Apa pula yang tidak patut dilakukan?

Perkara-perkara yang anda perlu lakukan.

  • Sediakan peralatan sekolah anak dengan watak animasi kesukaan mereka. Tindakan ini penting untuk anda membina mood positif anak-anak anda untuk ke sekolah.
  • Kunjungi sekolah sehari lebih awal. Kenapa? Supaya anak-anak anda tahu dan dapat dibiasakan dengan persekitaran yang bakal menjadi tempat mereka belajar dan bermain. Ibu bapa mestilah menggunakan kata-kata yang memujuk terhadap anak-anak supaya mereka rasa bersemangat untuk ke sekolah keesokan harinya.
  • Ceritakan keseronokan apabila ke sekolah. Contohnya seperti “di sekolah ada ramai kawan” dan “cikgu-cikgu yang baik yang akan mengajar dan menjaga mereka”.
  • Kenalkan terlebih dahulu anak-anak anda dengan rakan sebaya di sekolah. Ini perlu dibuat lebih awal sebelum persekolahan bermula supaya mereka terlebih dahulu kenal-mengenali. Berjumpa rakan-rakan yang telah dikenali lebih awal pada hari pertama persekolahan dapat mengurangkan kesunyian dan kebosanan mereka apabila di sekolah.
  • Berikan sepenuh kepercayaan kepada guru-guru di sekolah. Jika anda terpaksa beredar dari kawasan sekolah, percayailah guru-guru yang mengambil peranan menjaga anak-anak anda kerana mereka memikul amanah yang besar dan lebih arif mengenai situasi di sekolah.

 

Perkara-perkara yang perlu anda elakkan.

  • Elakkan menggunakan kata-kata yang negatif terhadap anak anda. Contohnya, memberi amaran seperti “jangan nakal nanti cikgu marah”, “jangan menangis nanti tak dapat balik” dan sebagainya yang bersifat ugutan. Hal ini akan menyebabkan anak-anak anda berasa tidak selesa dan tertekan.
  • Elakkan memujuk anak anda dengan ganjaran atau hadiah. Meskipun ia cara yang berkesan untuk memastikan anak-anak mematuhi arahan tetapi ia mempunyai kesan negatif untuk jangka masa panjang. Mereka akan terbiasa untuk melakukan sesuatu kerana ganjaran dan bukan atas kerelaan hati.
  • Elakkan bersikap terlalu melindungi atau overprotective. Elakkan sikap overprotective seperti menemani mereka dalam bilik darjah sepanjang masa sehingga tamat waktu sekolah. Hal ini kerana mereka perlu dididik untuk berdikari selain kehadiran anda dalam bilik darjah akan menimbulkan pertanyaan bagi pelajar lain seperti “di mana ibu bapa mereka?”. Tunggu sahaja di luar bilik darjah atau kunjungi semasa waktu rehat buat beberapa hari sehingga anak-anak anda lebih berkeyakinan.

 

Kami berharap tips dan panduan yang kami kongsikan ini dapat membantu anda sebagai ibu bapa dan juga pelajar-pelajar sekalian supaya sesi persekolahan 2018 yang bakal bermula dapat disambut dengan penuh semangat dan keazaman.

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH!!!