Salam hormat. Apa khabar anda semua? Tentu sudah puas bercuti panjang sempena Krismas kan? Apa? Belum puas lagi. Tak mengapa, hujung minggu ini satu lagi cuti hujung minggu yang panjang akan tiba dari 30 Disember 2017 hingga 1 Januari 2018. Sempena menyambut ketibaan Tahun Baharu 2018 ni, sudah tercapaikah azam bagi tahun 2017? Apa pula azam untuk tahun baharu yang bakal tiba? Kami mengharapkan apa yang anda cita-citakan pada tahun ini dan tahun 2018 yang bakal menjelang akan membawa pengertian dalam hidup anda.

Jadi, mari kita ke agenda kita untuk makan angin yang seterusnya. Ke mana agaknya kita minggu ini rakan-rakan sekalian? Ya kita ke Bandar Diraja Klang. Jika sebelum ini kita diasyikkan dengan keindahan kawasan pedesaan dan diuliti dengan kedamaian suasana kawasan pantai, air terjun dan hutan lipur di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, apa pula istimewa dan menariknya Daerah Klang ini? Menariknya Klang adalah kerana warisan dan sejarah, khususnya sejarah Diraja. Jika anda sememangnya pencinta khazanah di Malaysia, jangan tunggu lagi, jom ke Klang kerana di sinilah terletaknya pelbagai monumen, bangunan warisan dan kepelbagaian budaya bagi negeri Selangor. Tarikan pelancongan warisan di Klang ini amat bersesuaian sekali dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran dan perekonomian di Selangor suatu masa dahulu. Seperti biasa mari kita berkenal-kenalan dahulu dengan Daerah Klang.

Daerah Klang bukan sahaja terletak di kawasan Semenanjung tetapi mempunyai beberapa bahagian pulau yang menghadap Selat Melaka.

 

BANDAR DIRAJA KLANG

  • Klang ialah Bandar Diraja bagi negeri Selangor. Oleh sebab itulah ia dikenali sebagai Bandar Diraja Klang.
  • Daerah Klang terbahagi kepada Klang Utara dan Klang Selatan yang mana ia dipisahkan oleh Sungai Klang.
  • Terdapat dua mukim iaitu Mukim Kapar dan Mukim Klang, 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kawasan Parlimen.
  • Keluasannya merangkumi kawasan seluas 628 kilometer persegi.
  • Jenis aktiviti ekonomi di daerah ini tidak terpisah daripada jenis ekonomi yang giat dijalankan di kawasan Lembah Klang. Antaranya ialah perindustrian seperti terdapat di Bukit Raja, Kapar dan Meru.
  • Klang merupakan antara bandar tertua di Malaysia. ia dikatakan telah wujud sejak 2000 tahun lalu. Catatan tertua mengenai Klang terdapat melalui sejarah Kerajaan Majapahit yang usianya kira-kira 600 tahun dahulu.
  • Nama ‘Klang’ berasal daripada bahasa Mon-Khymer iaitu ‘Klong’. Klong boleh diertikan sebagai gudang kerana sebagai pelabuhan yang penting ia mempunyai banyak gudang. Manakala pendapat lain menyatakan Klang bermaksud ‘terusan’ atau jalan air. Pendapat dengan bukti bahawa banyak jalan air di Daerah Klang seperti Sungai Klang, Sungai Bertek, Sungai Pinang, Sungai Sementa, Sungai Agas, Sungai Kandis, Sungai Binjai, Sungai Kapar, Sungai Jati, Sungai Aur, Sungai Rasau dan Sungai Putus.

 

DESTINASI MENARIK DI KLANG

(Kredit foto: Flickr Tian Yake)

Istana Alam Shah merupakan istana rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Ia berperanan sebagai tempat Baginda menjalankan tugas rasmi sebagai Sultan. Di samping itu, di sinilah adat istiadat Diraja Selangor dilangsungkan. Istana mula dibina pada tahun 1905 ketika pemerintahan Sultan Selangor kelima Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Ketika itu, istana bagi Sultan Selangor dikenali sebagai Istana Mahkota Puri. Baginda bersemayam di istana ini selama 35 tahun sehingga kemangkatan Baginda pada tahun 1938. Setelah itu, istana lama ini digantikan dengan Istana Alam Shah yang ada pada hari ini. Di istana ini jugalah Sultan Selangor ketujuh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diputerakan.

 

(Kredit foto: Sinar Harian)

Masjid Diraja Sultan Sulaiman dibina sempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Selangor pada tahun 1932. Ia siap dibina pada tahun 1934 oleh pihak British sebagai pemberian kepada Almarhum Sultan Sir Alauddin Sulaiman Shah Sultan Selangor kelima. Masjid ini asalnya dikenali sebagai Masjid Suleiman Jamiur Rahmah. Masjid Diraja Sultan Suleiman pernah dijadikan Masjid Negeri Selangor sehingga ia digantikan oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di pusat bandar Shah Alam. Ia terletak bersebelahan dengan Istana Alam Shah dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Seni binanya yang merupakan campuran Moorish dan Inggeris amat menarik dan berbeza dengan masjid-masjid lain di sekitar Selangor termasuk Malaysia. Baru-baru ini, Masjid Diraja Sultan Sulaiman baru sahaja selesai dibaik pulih dengan kos RM 12 juta.

 

(Kredit foto: Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor)

Kota Raja Mahadi yang dibina pada tahun 1866 terletak strategik di Bukit Kota, Klang sepertimana seharusnya sesebuah kota masa dahulu dibina. Ketinggiannya amat sesuai sekali menghadap Sungai Klang. Kota Raja Mahadi ini merupakan peninggalan saksi bisu sejarah daerah Klang. Ia menyaksikan Perang Kelang yang merupakan Perang Saudara sebanyak dua kali pada pertengahan kurun ke-19 (1867 – 1874) antara Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman dan Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar. Kedua-duanya ingin merebut kuasa bagi hak ke atas Sungai Klang dan kawasan sekitar tebingnya.

 

(Kredit foto: Unit Data UPEN Selangor)

Gedung Raja Abdullah dibina pada tahun 1856 mendapat namanya daripada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar yang merupakan Orang Besar Klang. Pada waktu itu Raja Abdullah dilantik sebagai wakil Sultan untuk menguruskan perdagangan biji timah di Lembah Klang. Maka, gedung ini digunakan sebagai tempat menyimpan timah, senjata dan bekalan makanan. Semasa era kolonial British, gedung ini dijadikan bangunan kerajaan pada tahun 1874. Di sini, Majlis Mesyuarat Selangor buat julung kali diadakan. Pada tahun 1880, gedung ini sekali lagi ditukar fungsinya menjadi Balai Polis Daerah hingga tahun 1974. Ia dijadikan Muzium Timah oleh Lembaga Muzium Negeri Selangor. Gedung Raja Abullah pernah ditutup buat sementara waktu untuk tujuan pembaikpulihan oleh pihak Jabatan Warisan Negara

 

Selain tapak bersejarah di Klang ini, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh anda lawati. Antaranya ialah Little India yang terletak di Jalan Tengku Kelana. Kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan etnik India semata-mata tetapi keseluruhan masyarakat sekitar Daerah Klang. Di sini anda boleh membeli-belah kerana terdapat pelbagai kedai dengan harga yang berpatutan. Selain itu, anda juga boleh bersiar-siar sambil berehat seketika di Tugu Keris atau Tugu Peringatan Jubli Perak pemerintahan DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Di sini, disediakan gazebo, alat permainan kanak-kanak dan pancuran air untuk anda mencuci mata sambil merehatkan minda.

 

Tidak lengkap rasanya jika anda ke Klang tetapi tidak menyaksikan kawasan sekitar Pelabuhan Klang iaitu kawasan pesisir dan lautnya. Masa yang terluang jangan disia-siakan. Jika berkesempatan, anda boleh ke Pulau Ketam yang terkenal dengan makanan laut dan aktiviti menangkap ikan hanya dengan menaiki bot yang disediakan perkhidmatannya di Jeti Pelabuhan Klang. Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 – 45 minit. Jika anda ingin menyaksikan keindahan sewaktu matahari terbenam, silalah ke Laguna Park yang terletak di Pulau Indah sambil menikmati hidangan makanan di restoran-restoran yang ada di sana.

 

MENCARI TEMPAT MAKAN DI KLANG

Dah puas berjalan, perut pun terasa lapar. Pandang kiri kanan depan belakang macam tak dapat jawapan je untuk soalan paling susah nak jawab. Soalan “Nak MAKAN kat mana???” Haaa… Mari kami cadangkan kepada anda semua, jawapan bagi soalan paling susah ini. Sebenarnya tak susah jika anda jenis tidak kisah untuk makan apa sahaja kerana di Klang, pilihan sememangnya pelbagai. Nasi lemak, mi rebus, laksa, masakan kampung dan makanan laut termasuklah apam balik mahupun cendol. Semuanya ada di sini. Jadi, tempat makan apa yang menjadi pilihan kami di Klang? Check it out!

 

Nyonya Kari Kepala Ikan antara masakan istimewa di Nyonya Kitchen. Anda mesti cuba! (Kredit foto: Nyonya Kitchen Restaurant)

Nyonya Kitchen Restaurant menyediakan masakan asli Nyonya sejak tahun 1998. Ramuan masakannya adalah campuran masakan Melayu, Indonesia dan India. Masakan di sini terdiri daripada gulai, mi, sambal dan sup. Antara yang istimewa di Nyonya Kitchen ialah Nyonya Laksa, Geram Assam Kepala Ikan, Nyonya Kari Kepala Ikan dan Kambing Masak Rendang. Aduh, kecur pula air liur bila tengok masakan-masakan di sini. Bagi sesiapa yang ingin ke Nyonya Kitchen merasai kelazatan sajiannya, ini alamatnya, No. 220 – 222, Jalan Batu Unjur 7, Taman Bayu Perdana, 41200 Klang. Ia dibuka setiap hari, dari jam 11.30 pagi – 10.30 malam. Untuk maklumat lanjut sila layari nyonyakitchen.

 

Mee Rebus Kak Ida yang menjadi bualan ramai. Jalan lupa try. Harganya boleh tahan. Tapi rasanya tak tahan!    (Kredit foto: Laman Facebook Mee Rebus Kak Ida)

Mee Rebus Kak Ida“Sedap hingga menghirup mangkuk!”. Hah! Sampai macam tu sekali sedapnya memang wajib cuba lah kan kalau ke Klang. Selain menu utamanya iaitu mi rebus, terdapat juga makanan lain seperti Laksa Penang, Sup Utara dan Mushroom Soup istimewa oleh Kak Ida. Harga? Jangan risau, harganya makanan di sini amat berpatutan dengan sesiapa sahaja. Mee Rebus Kak Ida hanya RM 3.50 semangkuk. Anda yang berhajat bolehlah ke  Jalan Kasuarina 1/KS7, Botanic Capital, 41200 Klang, Selangor., 41200 Klang. Restoran ini dibuka setiap hari kecuali Isnin, dari jam 12.00 tengah hari hingga 7.00 malam. Nak tahu lebih lanjut, klik sahaja Mee Rebus Kak Ida.

 

(Kredit foto: Laman Facebook Tetra Briyani)

Tetra House of Briyani menyediakan bermacam-macam lauk-pauk untuk anda yang ingin menikmati masakan India khususnya Briyani dan sajian India Selatan. Restoran ini mula beroperasi pada tahun 2002. Apa yang menarik, di sini anda bukan sahaja boleh menikmati keenakan Nasi Briyani dan lauk-pauknya tetapi juga bermacam-macam makanan tradisi etnik India seperti appam, puttu dan putu mayam yang sesuai sekali dinikmati untuk waktu sarapan atau untuk mengalas perut. Apa tunggu lagi? Jom ke Tetra House of Briyani di 10-00-1, Lorong Batu Nilam 4a, Bandar Bukit Tinggi 1, 41200 Klang. Ia dibuka setiap hari, dari jam 7.00 pagi hingga 10.30 malam. Jika ingin maklumat lanjut silalah ke halaman Facebook di @tetrabriyani

Melalui makanan, kita dapat mengenal budaya sesuatu etnik lain. Begitulah di Klang, kita dapat menikmati makanan daripada pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia. Ia cukup menggambarkan bagaimana komposisi etnik di Klang itu sendiri.

 

Macam mana semua? Hujung minggu ni bolehlah berjalan ke sana sini sambil menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan. Rancanglah percutian anda dan pastikan keselamatan diutamakan ketika bersiar-siar. Bagi yang memandu, pandulah dengan berhemah. Bagi yang menaiki kenderaan awam, pastikan anda tahu waktu perkhidmatan bas yang membawa anda ke destinasi, teksi dan sebagainya.

Cuti hujung minggu ini akan berakhir sekali dengan cuti akhir tahun sesi persekolahan 2017. Pastikan anda telah bersiap sedia dengan sebarang kesesakan lalu lintas yang luar biasa. Kami mendokan anda selamat sampai ke destinasi yang dituju.