KESUBURAN dan keberkesanan demokrasi bukan hanya terletak pada keupayaan warganegara mempengaruhi pemerintah untuk menyelesaikan isu tempatan semata-mata. Bagi sesebuah komuniti, ahli komunitinya mestilah bersifat mandiri dalam erti kata mampu mengesan, menganalisa dan merangka strategi untuk menyelesaikan permasalahan setempat. Daripada sekecil-kecil isu seperti sampah-sarap yang tidak dibuang ke tempat pelupusan sehingga mengakibatkan pencemaran bau dan menjejaskan kesihatan hinggalah kepada sebesar-besar isu seperti kerosakan dan kebinasaan akibat bencana alam.

‘Kesukarelawanan’ menawarkan penyelesaian terhadap permasalahan komuniti tanpa mengharapkan kesemua isu diuruskan oleh pihak berkuasa. Aktiviti kesukarelaan memerlukan warga bergiat aktif dalam bidang yang mereka kuasai dan minati. Dengan berbuat demikian, pemerintahan oleh rakyat akan lebih bermakna. Komuniti bukan sahaja dapat merasakan mereka ‘memegang kuasa’ kerana berjaya mempengaruhi pihak berkuasa untuk memenuhi tuntutan mereka, tetapi juga dapat menyelesaikan tuntutan atau isu komuniti sekali gus merasakan bagaimana mereka sebenarnya mampu menggunakan kuasa yang ada pada mereka tanpa bantuan autoriti.

Bukankah seseorang yang benar-benar berkuasa ialah seseorang yang mampu melakukan sesuatu secara mandiri? Dalam skop yang lebih luas, kesukarelawanan dalam komuniti mampu menimbulkan dan meyakinkan bahawa mereka hakikatnya berkuasa untuk melaksanakan perubahan terhadap komuniti sekitar.  

Sehubungan itu, pada kali ini, kami ingin menjelaskan serba sedikit kepada pembaca semua mengenai DEMOKRASI. Apakah yang dimaksudkan dengan demokrasi? Apakah konsep-konsep yang mendukung amalan dalam demokrasi? Bagaimanakah pula citra demokrasi dalam konteks Malaysia? Kemudiannya, kenapakah demokrasi sebagai model pemerintahan terbaik tetap menerima kritikan? Persoalan-persoalan inilah yang cuba dikupas dalam artikel ini seraya mengaitkannya dengan aktiviti kesukarelawanan.

 

APAKAH ERTI DEMOKRASI?

Athens: Tempat lahirnya sistem demokrasi yang masih lagi menjadi sistem pemerintahan ideal zaman ini.

  • ‘Demokrasi’ berasal daripada perkataan Yunani; demos iaitu rakyat dan kratos iaitu kekuasaan atau pemerintahan.
  • Demokrasi atau demos-kratia bermaksud ‘pemerintahan oleh rakyat’.
  • Apabila pemerintahan terletak di tangan rakyat atau oleh rakyat, ia bererti pemerintahan tidak lagi dipegang secara mutlak oleh seorang raja, diktator atau sekumpulan orang.
  • Pemerintahan demokrasi memerlukan seluruh warganegara untuk terlibat sama dalam mengabsahkan pemerintahan – lazim melalui pilihan raya – dan pembuatan keputusan dalam penggubalan undang-undang.
  • Sehingga kini, demokrasi menjadi sistem politik terbaik. Ia diakui dan diamalkan hampir di seluruh dunia dengan pilihan raya menjadi asas utamanya serta lain-lain ciri seperti pengasingan kuasa dan prinsip-prinsip hak asasi seperti kebebasan untuk berpersatuan, berucap dan berhimpun.
  • Demokrasi merupakan suatu hal yang amat mempesonakan. Bukan sahaja ia diamalkan oleh Negara Dunia Pertama (Contoh: Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia) dan Negara Dunia Ketiga (Contoh: Malaysia, Indonesia dan India) yang merupakan negara bekas tanah jajahan. Demokrasi turut diakui diamalkan di Negara Dunia Kedua yang secara jelas mengamalkan pemerintahan kuku besi seperti Democratic People’s Republic of Korea (DPRK). Ia menggambarkan betapa demokrasi sememangnya suatu yang didambakan.

 

IDEA DAN PRINSIP DALAM DEMOKRASI

Demokrasi mengalami evolusi hasil polemik pemikiran manusia yang tak berpenghujung. Beberapa idea dan prinsip dalam demokrasi dapat disusuri melalui perkembangan pemikiran ahli falsafah. Prinsip-prinsip yang diutarakan kebanyakannya bertujuan mewujudkan inklusiviti rakyat dalam amalan demokrasi.

Ukiran wajah Pericles seorang negarawan, pemidato dan jeneral agung pada Zaman Keemasan Yunani.

  • Terawal, pada tahun 400 S.M., teori demokrasi dapat diusut melalui pidato pengebumian Pericles yang menyatakan bahawa pemerintahan demokrasi sifatnya adalah memihak kepada majoriti berbanding minoriti.

 

John Locke terkenal dengan karyanya Two Treaties of Government

  • Ahli falsafah Inggeris John Locke menekankan kepentingan hubungan demokrasi dan kebebasan individu. Gagasan ini mempunyai pengaruh besar terhadap pembentukan Perlembagaan Amerika 1787.

 

“The tyranny of a prince in an oligarchy is not so dangerous to the public welfare as the apathy of a citizen in a democracy.” kata Montesquieu.

  • Ahli falsafah Perancis Baron de Montesquieu menekankan kebajikan awam sebagai kunci badan-badan dalam demokrasi selain konsep trias politica yang menganjurkan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan judisiari.

 

John Rawls: Seorang ahli falsafah politik moden dalam tradisi liberal.

  • Ahli falsafah politik moden John Rawls mengusulkan konsep keadilan sosial berbanding kesamarataan sebagai dasar kepada amalan demokrasi liberal.

 

Francis Fukuyama: Karya The End of History and the Last Man beliau pernah menimbulkan polemik.

  • Francis Fukuyama menghujahkan demokrasi liberal sebagai ‘penamat sejarah’ iaitu sistem paling ideal dalam sejarah pergolakan manusia mencari sistem terunggul.

 

KRITIKAN TERHADAP DEMOKRASI

Demokrasi tidak pernah sunyi dengan kritikan. Antaranya ialah kegagalan warganegara untuk memastikan unsur ‘semak dan imbang’ sentiasa berjalan sepanjang masa. Hal ini kerana unsur semak dan imbang ini hanya bersifat bermusim iaitu menerusi proses pilihan raya.

Selain itu, percantuman kuasa berbanding pengasingan kuasa yang jelas berdasarkan konsep trias politica turut menjadi sasaran kritikan. Hal ini kerana seseorang yang menggubal undang-undang turut melaksanakan undang-undang tersebut. Ia cenderung mengakibatkan terjadinya penyelewengan atau salah guna kuasa.

Seperti mana diketahui, kewujudan pelbagai pertubuhan boleh menandakan kesuburan sesebuah demokrasi. Namun demikian, pertubuhan-pertubuhan ini turut mempunyai kecenderungan untuk hanya memenuhi kepentingan segelintir kumpulan berkepentingan sahaja dan mengabaikan golongan massa yang lebih besar. Walau bagaimanapun, kritikan-kritikan tersebut tidak pernah juga mematikan demokrasi. Hakikatnya, sistem demokrasi sentiasa ditambah baik hasil perbincangan, perdebatan dan polemik berkaitannya.

 

Pendemokrasian di negara-negara dunia Arab pernah mendapat fokus lensa sejarah dunia. Adakah Arab Springs semakin nyata menjadi Arab Falls?

 

AMALAN DEMOKRASI DI MALAYSIA

Bangunan Parlimen Malaysia megah berdiri sebagai simbol Demokrasi Berparlimen di negara ini.

 

  • Asas demokrasi dalam sistem politik tempatan boleh dilihat melalui Sejarah Melayu yang mengisahkan perjanjian antara pemerintah (Sri Tri Buana) dan yang diperintah (Demang Lebar Daun). Melalui perjanjian itu, kuasa tidak lagi secara mutlak terletak di tangan pemerintah tetapi dikongsi oleh kedua-duanya atas dasar memelihara tanggungjawab masing-masing.

 

  • Pengenalan amalan demokrasi secara lebih jelas berlaku ketika zaman kolonial British. Menuju kemerdekaan, warga diperkenalkan dengan pelbagai hak yang selari dengan demokrasi yang dipraktikkan oleh British. Wujud Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu sebagai legislatif, pengenalan pilihan raya pada peringkat kerajaan tempatan dan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat yang biasanya disebut Parlimen.

 

  • Amalan demokrasi di Malaysia merangkumi dua unsur iaitu Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Gaya demokrasi di Malaysia adalah berkiblatkan amalan di England iaitu Demokrasi ala Westminster, bersempena lokasi parlimennya iaitu Westminster Abbey.

 

  • Di Malaysia, komitmen amalan demokrasi dimasyhurkan secara jelas melalui Pemasyhuran Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

 

CIRI-CIRI DEMOKRASI

Bagi memastikan sistem demokrasi sentiasa hidup, beberapa ciri penting amat diperlukan sebagai kayu ukut tahap amalan demokrasi. Di bawah ini merupakan lapan ciri sistem demokrasi yang boleh diperhatikan termasuk dalam konteks Malaysia.

  • Pemerintahan secara perwakilan – Di peringkat negeri wujud Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala di peringkat Persekutuan diwujudkan Dewan Rakyat yang dianggotai 222 Ahli Parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui Pilihan Raya Umum yang diadakan dengan kekerapan lima tahun sekali.
  • Wujud pengasingan kuasa (eksekutif, legislatif dan judisiari) – Amalan di Malaysia ialah konsep percantuman kuasa berbanding pengasingan kuasa kerana anggota Kerajaan Persekutuan juga merupakan Ahli Dewan Rakyat. Konsep ini turut diamalkan di peringkat Kerajaan Negeri.
  • Pilihan raya dan pemerintahan majoriti – Pilihan Raya Umum Persekutuan diadakan untuk memilih Ahli Dewan Rakyat manakala Pilihan Raya Negeri untuk memilih Dewan Undangan Negeri. Kekerapannya lima tahun sekali dengan penentuan yang menang mengikut sistem first past the post.
  • Pengiktirafan kebebasan tertentu dan penyertaan politik, menyatakan pendapat mahupun penulisan – Kebebasan asasi warganegara Malaysia diiktiraf melalui Bahagian II Kebebasan Asasi Perlembagaan Persekutuan.
  • Peluang mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan kemudahan asas lain – Setiap warganegara berpeluang untuk mendapatkan kesemua perkara tersebut atas jaminan Perlembagaan Persekutuan.
  • Kebebasan beragama – Kebebasan beragama dijamin oleh Perkara 11 Kebebasan Ugama dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Hak kesamarataan dalam semua hal yang dipunyai rakyat – Hak sama rata dijamin melalui Perkara 8 Sama Rata dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia secara jelas melarang pembezaan terhadap warganegara atas faktor agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina.
  • Kebebasan untuk menubuhkan pertubuhan sama ada menentang atau menyokong kerajaan – Kebebasan untuk menubuhkan persatuan dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Secara umum, pertubuhan yang menyokong dan menentang kerajaan adalah wujud di Malaysia selagi ia selari dengan kehendak undang-undang negara.

 

KESUKARELAWANAN MANIFESTASI KUASA RAKYAT

Setelah memahami aspek-aspek dalam demokrasi, kita perlu sedar bahawa asas kepada sesebuah demokrasi ialah kuasa rakyat. Cara berfikir yang lama harus ditukar dengan cara berfikir baharu jika kita inginkan perubahan dalam komuniti. Asas-asas dalam demokrasi di Malaysia sememangnya tersedia untuk kita mempraktikkannya.

‘Kuasa rakyat’ mestilah diterjemahkan antaranya menerusi aktiviti kesukarelawanan yang bertujuan memperkasa komuniti di Selangor. Pemerkasaan komuniti bermaksud ‘berdaya untuk melakukan sesuatu yang sebelum ini tidak mampu dilakukan’ untuk kesejahteraan komuniti.

Jadi, ayuhlah kita melakukan perubahan dan pemerkasaan komuniti melalui platform Team Selangor. Kami menyediakan wadah terbaik untuk anda berjinak-jinak dengan kerja-kerja kesukarelawanan dan bagi anda yang sememangnya telah bergiat dalam lapangan ini, inilah masanya untuk anda mengasah bakat anda serta menggilap bakat-bakat baharu. Mendaftarlah bersama Team Selangor melalui Borang Atas Talian Team Selangor (klik di sini).

 

“…Volunteering is the ultimate exercise in democracy. You vote in elections once a year but when you volunteer, you vote everyday about the kind of community you want to live in…” – MARJORIE MOORE.