HAK ASASI MANUSIA merupakan konsep yang sentiasa berkembang lagi dinamik, selari dengan kemajuan peradaban manusia. Kemungkinannya, sebahagian besar daripada kita biasa mendengar dan memahami apa itu hak asasi manusia. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat dalam bidang undang-undang, politik dan aktivisme bercorak kemanusiaan.

 

Namun demikian, ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang masih belum memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia. Jika ditanya mengapa. Mereka lazimnya mengambil sikap tidak endah atau tidak peka terhadap isu global seperti kebuluran makanan, pelarian perang dan pembersihan etnik. Isu-isu inilah sebenarnya isu hak asasi manusia.

 

KRISIS KEMANUSIAAN: Masalah kebuluran di Somalia membuktikan isu hak asasi manusia bukan konsep yang eksklusif di negara maju tetapi juga di negara miskin kerana keperluan terhadap makanan ialah hak asasi setiap manusia. (Kredit foto: Thing Link)

 

Sehubungan itu, dengan menjadi seorang yang cakna dengan isu kemanusiaan, anda akan lebih memahami dan mengakui betapa pentingnya hak asasi manusia. Hakikatnya, hak asasi manusia atau human rights ini bukanlah konsep yang terpusat dan unik dalam konteks Barat semata-mata. Akan tetapi, ia suatu isu yang bersifat global atau sarwajagat.

 

Maka, apakah pengertian hak asasi manusia? Bagaimanakah wajah hak asasi manusia di Malaysia? Sejauh manakah hujah hak asasi manusia boleh dipertahankan? Kami cuba memberi serba sedikit mengenai topik ini kepada anda.

 

APA ITU HAK ASASI MANUSIA?

Hak asasi manusia ialah sesuatu yang menjadi keperluan bagi setiap individu yang mana tanpanya individu tersebut terhalang atau terganggu. Contoh paling mudah, setiap manusia memerlukan udara, air, makanan, pakaian dan tempat tinggal untuk meneruskan kehidupan.

 

Selari dengan kemajuan, manusia semakin bertamadun dan kehidupan kian kompleks. Lahir konsep-konsep baharu dalam kehidupan bernegara seperti demokrasi. Amalan demokrasi yang menekankan prinsip ‘kuasa di tangan rakyat’ menimbulkan hak-hak baharu yang ditakrif sebagai hak asasi manusia. Ia seperti hak untuk bersuara, hak untuk menunjukkan perasaan dan hak untuk berhimpun.

 

Perlu ditekankan di sini, hak asasi manusia tidak terhad kepada hal-hal yang bersifat politik sahaja. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan seperti hak pendidikan, hak untuk mengembangkan bakat dan hak untuk bebas bergerak tanpa halangan.

 

Di peringkat antarabangsa, Hari Hak Asasi Manusia disambut pada 10 Disember setiap tahun. (Kredit foto: Ask Ideas)

 

HAK ASASI MANUSIA DI MALAYSIA

Di Malaysia, hak asasi manusia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara. Jaminan ini termaktub di bawah Bahagian II Kebebasan Asasi. Terdapat sembilan elemen hak asasi manusia yang diterjemah dalam sembilan Perkara iaitu:

  • Perkara 5 Kebebasan diri
  • Perkara 6 Keabdian dan kerja paksa dilarang
  • Perkara 7 Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang
  • Perkara 8 Kesamarataan
  • Perkara 9 Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak
  • Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan
  • Perkara 11 Kebebasan beragama
  • Perkara 12 Hak berkenaan dengan pendidikan
  • Perkara 13 Hak terhadap harta

 

Meskipun hak-hak ini dijamin menerusi Perlembagaan Persekutuan, seseorang warganegara tidak mempunyai kebebasan mutlak untuk mempraktikkan haknya tetapi dibatasi undang-undang lain. Misalnya, walaupun Perkara 9 membenarkan seseorang untuk bebas bergerak ke mana sahaja dalam mana-mana bahagian Persekutuan, ia tertakluk kepada undang-undang. Seseorang mestilah membawa kad pengenalan diri. Selain itu, pihak berkuasa berhak melarang seseorang daripada bebas bergerak atas kepentingan ketenteraman awam, kesihatan atau kerana seseorang dihukum sebagai pesalah.

 

Di Malaysia, terdapat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999. Ia berperanan memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia, menasihati, membantu dan mengesyorkan kepada pihak Kerajaan mengenai hak asasi manusia serta menyiasat aduan berkenaan pelanggaran hak asasi manusia. Pihak SUHAKAM, di bawah Seksyen 2 akta tersebut mentakrif hak asasi manusia sebagai “kebebasan asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan” iaitu seperti yang telah dijelaskan di atas.

 

Secara rasmi, Malaysia juga menyatakan komitmen untuk mematuhi Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Selain itu, terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak atas landasan mempertahankan hak asasi manusia. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) ditubuhkan pada tahun 1989 dan kini masih lagi aktif menjalankan peranannya mempromosikan isu hak asasi manusia, menjalankan advokasi awam dan menerbitkan laporan status hak asasi manusia di Malaysia. Di samping itu, wujud NGO yang berjaringan antarabangsa seperti Amnesty International Malaysia.

 

HAK ASASI MANUSIA DAN AKTIVITI KESUKARELAWANAN

Salah satu bentuk aktiviti kesukarelawanan ialah aktiviti berkaitan ‘hak asasi manusia’. Kita boleh melihat para aktivis hak asasi manusia, khususnya para pengamal undang-undang menjalankan aktiviti yang sukarelawan apabila berlangsungnya perhimpunan atau demonstrasi aman. Ini kerana bantuan guaman juga ialah hak asasi bagi seseorang warganegara. Antara pasukan peguam yang giat menjalankan aktivitinya adalah seperti Lawyers for Liberty. Baru-baru ini juga, ketika berlaku isu hak pengguna, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah bertindak menjadi orang tengah untuk mempertahankan hak para pengguna yang ditekan oleh mereka yang bertindak menyalahi undang-undang. Kedua-dua ini ialah contoh aktiviti yang boleh kita sifatkan sebagai kerja sukarela yang menjurus kepada isu hak asasi manusia kerana keluasan takrif hak asasi manusia itu sendiri.

 

Oleh yang demikian, bukan calang-calang orang yang boleh bertindak menzahirkan bantuan dalam aktiviti kesukarelawanan hak asasi manusia. Seseorang itu mestilah terlebih dahulu memiliki ilmu atau kelulusan atau kerjaya yang bersesuaian dengan bidang kesukarelawanan hak asasi manusia yang ingin diceburi.

 

Bagaimanapun, ia tidak eksklusif kepada sekumpulan orang sahaja. Anda daripada pelbagai latar belakang mampu menyumbang khidmat bakti dalam lapangan kesukarelawan hak asasi manusia. Paling mudah, jika anda merasakan isu hak asasi manusia berada di sekitar kawasan anda, hulurkanlah bantuan secara sukarela. Kerja kesukarelawanan sebegini dijalankan Team Selangor apabila Pulau Pinang dilanda banjir besar. Mempunyai tempat tinggal yang selesa, bekalan air yang bersih dan makanan menjadi hak asasi mangsa banjir.

 

Adakah anda berminat dengan aktiviti kesukarelawanan hak asasi manusia? Kami Team Selangor menyediakan wadah untuk anda menzahirkannya. Anda dipersilakan untuk mendaftar dengan klik di Borang Atas Talian Team Selangor.