Ke Kuala Selangor sudah, ke Sabak Bernam pun sudah. Hujung minggu ini kita bercuti panjang lagi sempena Hari Krismas. Dari 23 hingga 25 Disember 2017. Nak ke mana pula kita kali ini? Ya, mari kita ke Hulu Selangor.

Hulu Selangor merupakan destinasi terakhir kita yang terletak di bahagian utara negeri Selangor. Anda tahu? Daerah ini merupakan yang terbesar antara sembilan daerah di Selangor. Tetapi, apa agaknya yang menarik di sini untuk dilawati? Jangan risau, Hulu Selangor mempunyai keunikannya sendiri. Jika sebelum ini kita berekreasi di tepi pantai sambil disapa oleh bayu Selat Melaka. Di Hulu Selangor, kita boleh berekreasi di hutan lipur, air terjun dan kolam air panasnya yang mendamaikan jiwa. Pendek kata, Hulu Selangor memang pilihan tepat untuk berkelah sambil merehatkan minda!

 

Kedudukan Daerah Hulu Selangor terletak di utara negeri Selangor sebagai yang terbesar antara sembilan daerah. (Kredit foto: Portal Rasmi PDT Kuala Selangor)

 

Peta Daerah Hulu Selangor berserta dengan 13 kawasan mukim di dalamnya. (Kredit foto: Pejabat Daerah / Tanah Hulu Selangor) 

 

HULU SELANGOR

  • Keluasannya 174,047 hektar, hampir sama keluasan dengan Negeri Melaka. Tidak hairanlah Hulu Selangor merupakan daerah terbesar di Selangor.
  • Pekan utama ialah Kuala Kubu Baru, Batang Kali, Serendah dan Hulu Yam.
  • Merangkumi 13 mukim iaitu (1) Hulu Bernam, (2) Kalumpang, (3) Kuala Kalumpang, (4) Sungai Gumut, (5) Sungai Tinggi, (6) Kerling, (7) Ampang Pecah, (8) Buloh Telur, (9) Pertak, (10) Rasa, (11) Batang Kali, (12) Hulu Yam dan (13) Serendah.
  • Bersempadan dengan tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Gombak
  • Bersempadan dengan negeri Perak Darul Ridzuan dan Pahang Darul Makmur.
  • Hulu Selangor dahulunya dieja sebagai Ulu Selangor. Ia mula wujud setelah pihak British memerintah dan mentadbir di Kuala Kubu Bharu pada tahun 1883, setelah sembilan tahun campur tangan di negeri Selangor. Suatu ketika dahulu, daerah ini juga dikenali sebagai ‘The Sleeping Hollow’ kerana terpinggir daripada kemajuan pembangunan di kawasan-kawasan lain.
  • Hasil dasar-dasar kerajaan, pembangunan kawasan Hulu Selangor setanding dengan kawasan lain. Aktiviti ekonomi utama penduduk Hulu Selangor ialah bidang pertanian, perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

 

DESTINASI MENARIK

 

Pelbagai tempat menarik boleh dikunjungi di Hulu Selangor. Seperti disenaraikan oleh pihak Majlis Daerah Hulu Selangor, antaranya ialah Sungai Inki di Kalumpang, Air Terjun Semangkuk, Santuari Ikan Kelah di Sungai Chiling, Rumah Rehat Gap, Rumah Rehat Seri Berkat di Bukit Fraser, Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong di Batang Kali, Air Terjun Sungai Sendat di Ulu Yam, Taman Milenium di Kuala Kubu Baru, Rest House KKB, Hutan Lipur Pelajaran di Sungai Kedondong, Kolam Air Panas Hulu Tamu di Batang Kali, Air Terjun Serendah, Kolam Air Panas Kerling dan Tapak Sukan Lasak di Kalumpang. Nah, amacam? Menarik bukan? Mari kami perkenalkan dengan beberapa tempat pilihan untuk anda lawati.

 

Keindahan Air Terjun Sungai Chiling. Ia bukan sahaja menarik pengunjung dari dalam tetapi juga dari luar negara. (Kredit foto: Kuaby) 

  • Air Terjun Sungai Chiling popular dalam kalangan pencinta aktiviti rekreasi. Bagi anda yang berhajat untuk ke sini. Anda perlu melalui perjalanan yang agak melelahkan tetapi berbaloi. Kenapa? Kerana Air Terjun Sungai Chiling terkenal dengan statusnya sebagai air terjun tercantik di Selangor. Lokasinya kira-kira 21 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu. Anda perlu melalui kawasan Empangan Sungai Selangor dengan menaiki kenderaan dan tempat letak kenderaan disediakan selepas menyeberang jambatan yang merentasi Sungai Chiling. Setelah itu, anda perlu berjalan kaki menuju ke gerbang masuk denai ke kawasan air terjun. Di sini anda perlu mengikuti denai yang boleh dilihat dengan jelas kerana ia sudahpun diurus selia oleh pihak renjer hutan. Cabaran bertambah untuk ke destinasi apabila anda perlu meranduk ke dalam sungai lebih lima kali sebelum sampai ke destinasi. Setelah puas berjalan kira satu jam, anda akan dapat menikmati keindahan dan ketenangan di kawasan Air Terjun Sungai Chiling. Namun, bagi anda yang mencintai alam sekitar, tentu perjalanan tidak terasa kerana anda akan disajikan dengan keindahan flora dan fauna yang terdapat di sepanjang denai. Terdapat tiga kawasan air terjun yang menunggu kehadiran para pengunjung. Ia sesuai sekali untuk aktiviti berkelah, mandi-manda bersama keluarga dan rakan-rakan.

 

Kejernihan Sungai Inki yang membelah kawasan hutan menjadikan aktiviti berkelah dan mandi-manda sebagai suatu pengalaman yang mengujakan. (Kredit foto: Holidays in Malaysia)

  • Sungai Inki di Kalumpang merupakan kawasan hutan lipur yang sesuai untuk anda yang teringin sangat nak mandi-manda air sungai. Di sini juga terletaknya Kalumpang Resort. Bagi yang berkeluarga, bawalah anak-anak anda ke sini. Kolam mandi sesuai kedalamannya untuk kanak-kanak. Bagi orang dewasa yang ingin menyelam dan berenang, Sungai Inki juga agak dalam sebenarnya. Maka, bolehlah anda melakukan aktiviti tersebut di sini. Untuk pengetahuan anda, Sungai Inki sememangnya menyediakan kemudahan awam. Tempat letak kenderaan, pondok atau wakaf, tandas awam sehinggalah kepada chalet dan resort. Memang pilihan tepat Sungai Inki ni jika anda merancang untuk mengadakan perkhemahan dan kem bina diri. Apa lagi, jom kita sana hujung minggu ini. Tetapi ingat ya semua. Anda mempunyai banyak pilihan tempat mandi-manda di Hulu Selangor. Tepuk dada, tanyalah selera.

 

Kolam Air Panas Hulu Tamu sedia menerima tetamunya. Air hangat baik untuk kesihatan. (Kredit foto: Blog Sini)

  • Kolam Air Panas Hulu Tamu dan Kolam Air Panas Kerling merupakan dua kolam air panas semulajadi yang terletak di Hulu Selangor. Macam mana? Lengkap betul kan kawasan Hulu Selangor ini dengan destinasi rekreasi berasaskan aktiviti air. Memang pakej. Bagi Kolam Air Panas Hulu Tamu, ia terletak kira-kira tujuh kilometer dari Batang Kali. Manakala Kolam Air Panas Kerling lokasinya tidak jauh dari Plaza Tol Tanjung Malim iaitu kira-kira 20 minit perjalanan menghala ke Kuala Kubu Baru. Di Hulu Tamu, tersedia kemudahan Ontok-ontok Chalet dan Restoran Cholo-cholo yang pastinya menggamit kedatangan anda. Cumanya, jika anda memilih ke Kerling untuk merasai air panas di sini, anda perlu membawa bekalan makanan atau singgah sahaja di kedai-kedai makan sebelum sampai ke destinasi kerana tiada restoran disediakan. Di Kerling, anda mempunyai alternatif. Setelah merasai kehangatan kolam air panasnya, terdapat sungai berdekatan yang dingin dan menyegarkan.

 

DESTINASI JAMU SELERA

Dah puas bermandi-manda, perut pun terasa lapar. Hmm… nak makan di mana ya? Untuk makluman anda, restoran dan gerai makan ada disediakan di dalam atau berhampiran kawasan rekreasi. Sebenarnya terdapat pelbagai pilihan di Hulu Selangor. Pihak Pejabat Daerah / Tanah Hulu Selangor sendiri menyenaraikan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut mukim. Antaranya ialah:

  • Mukim Kalumpang – Dusun Bay dan Kalumpang Steamboat & Grill
  • Mukim Serendah – Salam One Kafe, Restoran Seri Pagi Satu, Restoran Nyonya Baba, Warung Kak RamTrafic Light Chicken Rice dan Kedai Makan Bawah Pokok Ceri.
  • Mukim Hulu Yam – Restoran Makanan Laut Weng Kee, Ulu Yam Crab Dinner dan Restoran Shang Kee.
  • Mukim Hulu Bernam – Restoran P’yorr dan Seafood Ulu Bernam.
  • Mukim Kuala Kubu Baru – Restoran Fazlina Maju, Restoran Kek dan Roti, Gerai Nasi Lemak 1 Malaysia, Farhan Grill dan Kedai Makan Mee Rebus Kuala Kubu Bharu.

 

Inilah dia Mi Rebus Kuala Kubu Baru. Anda mesti cuba jika sudah menjejak kaki ke Kuala Kubu. Untuk maklumat lanjut klik di sini. (Kredit foto: Blog Makan-makan Jalan-jalan)

 

Yang ini pula sajian di Kalumpang Steamboat and Grill. Nampak sungguh menyelerakan. Lapar pula rasanya. (Kredit foto: Kalumpang Resort and Training Centre)

 

Apa tunggu lagi semua. Jom kita ke Hulu Selangor pada hujung minggu ini untuk merasai sendiri kedamaian dan keindahan alam semulajadi di sana. Air terjun, hutan lipur dan kolam air panas sentiasa menggamit anda untuk berkunjung. Makanannya tentulah sedap-sedap belaka. Jika anda tidak pasti dengan arah yang ingin dituju untuk ke destinasi, ringan-ringankanlah mulut untuk bertanya dengan masyarakat di sini. Orangnya ramah-tamah belaka dan bersedia membantu anda untuk berjalan-jalan makan angin di Hulu Selangor.

Oh ya! Sebagai kenang-kenangan. Jangan lupa ke Kuala Kubu. Bak kata Allahyarham Sudirman Haji Arshad, “Kalau pergi Kuala Kubu, Tulis nama atas batu”. Sehingga berjumpa lagi minggu depan. Dari Hulu Selangor hendak ke mana? Jumpa lagi minggu hadapan.

 

Jangan lupa untuk abadikan nama anda. “Kalau pergi Kuala Kubu, Tulis nama atas batu, Saban hari ku menanti waktu, Pulanglah segera kepadaku”. (Kredit foto: Pemilik Blog Travelog Wanderlust DJ)