Berbanding sesetengah ibu bapa yang hanya memfokuskan gred A dalam dunia akademik, Bengkel Ketrampilan Diri Bina Kerjaya bertujuan untuk mendidik para pelajar menjadi ‘manusia’. Demikian gagasan yang dibawa Pengerusi Kelab Laman Suri Puan Noraini Samsudin selaku penganjur bengkel yang diadakan pada 17 Disember 2017 (Ahad), bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Bengkel yang dianjurkan sempena musim cuti sekolah ini mensasarkan golongan remaja berusia 16 hingga 18 tahun.

Tambah Puan Noraini Samsudin, selaku seorang yang terlibat dalam dunia pendidikan, beliau melihat terdapat graduan yang masih lagi gugup apabila berhadapan sesi temuduga. Oleh yang demikian, bengkel yang dijalankan ini cuba membina ketrampilan dan keyakinan diri para pelajar untuk berhadapan cabaran dunia hari ini. Bagi beliau, realiti hari ini menuntut komuniti untuk bersifat mandiri. Apa yang diusahakan pihak Laman Suri bersama pihak Team Selangor adalah untuk menyediakan pelajar dengan ‘seni’ menyantuni masyarakat yang amat diperlukan dalam dunia kesukarelawanan.

 

Apa hala tuju anda selepas ini? Begitu soal Puan Noraini Samsudin terhadap para pelajar yang mengikuti Bengkel Ketrampilan Bina Kerjaya ini.

 

Bengkel bermula pada jam 8.30 pagi dibuka dengan sesi Ice Breaking. Dibimbing oleh para fasilitator program, para peserta diperkenalkan antara satu sama lain. Ia bertujuan memupuk kemesraan antara mereka sepanjang bengkel berlangsung hingga jam 5.30 petang. Pada sebelah pagi, tiga slot bengkel dijalankan iaitu Bengkel 1 Pilihan Hati Saya, Bengkel 2 Destinasi Kerjaya Saya dan Bengkel 3 Destinasi Hidup Saya. Setelah jamuan makan tengah hari dan solat Zohor, program diteruskan dengan Slot Perkongsian Bersama Alumni Insitut Pengajian Tinggi, Kemahiran Menghadiri Temuduga dan Penyampaian.

 

Sesi Ice Breaking dikendalikan oleh fasilitator. Siapakah anda? Adakah anda kenal siapa rakan-rakan anda?

 

Apakah manfaat yang diperoleh peserta Bengkel Ketrampilan Diri Bina Kerjaya? Seramai kira-kira 20 remaja terlibat didedahkan dengan pelbagai maklumat dan aktiviti yang bertujuan membina hala tuju pengajian pada peringkat Universiti Awam. Antaranya ialah slot Pilihan Hati Anda yang mana peserta dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut bidang pilihan apabila ke menara gading. Kumpulan bidang tersebut ialah (i) Teknologi, (ii) Kejuruteraan, (iii) Agama, (iv) Sains dan Kesihatan; dan (v) Undang-undang. Kumpulan-kumpulan diajukan isu berkaitan bidang pilihan. Setelah sesi perbincangan, para peserta dikehendaki membentangkan inovasi mereka.

 

Kumpulan Teknologi membentangkan Student Portal sebagai inovasi untuk memudahkan para pelajar menimba ilmu.

 

Kumpulan Undang-undang menjelaskan dengan teliti kebaikan dan keburukan penggunaan internet dalam kalangan pengguna ruang maya.

 

Semasa pembentangan hasil kerja, Kumpulan Bidang Teknologi mengusulkan pembinaan portal bagi para pelajar yang mana ia berfungsi sebagai enjin carian maklumat, sistem penghantaran tugasan pelajar, ruang interaksi komuniti pelajar dan sebagai sistem aduan serta cadangan. Selain itu, daripada Kumpulan Bidang Undang-undang, kebaikan dan keburukan internet telah dibincangkan dengan menarik sekali yang mana para pengguna berhadapan dengan peluang dan cabaran semasa menggunakan aplikasi dari internet. Sebagaimana diketahui, kewujudan alam siber yang dikenderai internet menimbulkan cabaran baharu terhadap kerangka undang-undang.

 

Kumpulan Kejuruteraan

 

Kumpulan Agama

 

Kumpulan Sains dan Kesihatan

 

Pada sesi bengkel tengah hari, Pegawai Program Team Selangor Cik Nur Hanun Muhammad telah memperkenalkan dan mempromosikan Team Selangor kepada para peserta. Bagi Puan Noraini Samsudin sendiri, kerjasama Team Selangor bersama Kelab Laman Suri diharap dapat membuka mata para peserta untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan apabila telah berkerjaya kelak. Kelab Laman Suri sendiri memberi fokus untuk membimbing kaum ibu dan tidak ketinggalan golongan remaja. Antara program sebelum ini ialah Bake To Sell dan kelas bimbingan pertanian tanaman sendiri seperti cili dan sayur-sayuran bagi kaum ibu. Ia bertujuan menambah pendapatan dan mengurangkan kos perbelanjaan dapur.