Ketibaan musim cuti sekolah mendebarkan sebilangan kanak-kanak lelaki. Apalagi kalau bukan mereka akan dikhatankan atau lazimnya disebut sebagai ‘bersunat’. Ia menandakan ‘fasa baharu’ kehidupan kanak-kanak lelaki ke alam dewasa.┬áBagi pengetahuan anda, aktiviti sekitar negeri Selangor bermula cuti sekolah ini diwarnai majlis khatan. Team Selangor pun tidak ketinggalan bersama-sama pihak penganjur menjayakan majlis berkhatan dengan inisiatif pemerkasaan komunitinya.

Di Bandar Baru Bangi, buat julung kali, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Bangi menganjurkan dengan jayanya Program Khitan Jama’ie pada Ahad, 3 Disember 2017, di Adab Youth Garage, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Seramai 30 orang kanak-kanak ditemani ibu bapa dan penjaga serta ahli keluarga telah terlibat dalam program khatan. Program yang berlangsung 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari ini berjaya menarik penyertaan memberangsangkan daripada penduduk sekitar Bandar Baru Bangi dengan kos yang sangat berpatutan.

Ketika ditemui, Yang DiPertua ABIM Cawangan Bangi Tuan Mohd Ariff Izzuddin Mohd Redhuan menyatakan bahawa Program Khitan Jama’ie yang julung kali diadakan ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai meskipun ia diadakan buat pertama kali. Proses khatan kanak-kanak ini dijayakan oleh para doktor daripada Biro Kesihatan ABIM sendiri. Beliau berharap agar jalinan kerjasama pihak-pihak terlibat akan berterusan, selain dokongan penduduk sekitar Bandar Baru Bangi terhadap program yang dijalankan pada masa akan datang.

Di samping itu, Tuan Mohd Ariff Izzuddin menzahirkan penghargaan ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang menghulurkan bantuan seperti dana daripada Team Selangor dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku). Program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Team Selangor sendiri, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku), Institut Darul Ehsan (IDE), Adab Youth Garage (AYG), Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) dan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Kepada adik-adik yang menyertai Program Khitan Jama’ie ini, diucapkan tahniah dan selamat menempuhi alam dewasa. Semoga majlis yang dianjurkan ini terus menjadi kenangan manis sekali seumur hidup kalian!