Pada hari Jumaat Saiyidul Ayyam ini, marilah kita sama-sama memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi dan Rasul terakhir Nabi Muhammad S.A.W. pada 12 Rabiulawal Tahun 570 Masihi di Makkah Al-Mukarramah. Baginda bukan sahaja istimewa sebagai Khatamul Anbiya tetapi sebagai pemimpin pejuang yang menjadi pengikat tali persaudaraan, pendamai persengketaan malahan sebagai seorang suami dan bapa yang memastikan kerukunan rumah tangga. Pendek kata, Rasulullah S.A.W. ialah suri teladan sepanjang zaman. 

Rumah Abu Talib yang menjadi tempat kelahiran dan membesarnya Rasulullah S.A.W. semasa kecil.

Berikut kami kongsikan secara ringkas latar diri Rasulullah S.A.W. untuk rujukan dan ingatan kita bersama.

  • Nama: Muhammad Bin Abdullah
  • Tarikh Lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (Tahun Gajah bersempena peristiwa tentera bergajah Abrahah menyerang kota Makkah)
  • Tempat Lahir: Rumah Abu Talib, Makkah.
  • Nama Bapa: Abdullah Bin Abdul Muttalib
  • Nama Ibu: Aminah Binti Wahab
  • Pengasuh Pertama: Barakah Al-Habsyiyyah atau gelarannya Ummu Aiman.
  • Ibu Susu Pertama: Thuwaibah
  • Ibu Susu Kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (Dikenali seabgai Halimatus Sa’diah)

Kota Makkah yang menjadi saksi perjuangan Rasulullah S.A.W. seperti pada hari ini.

Sambutan Maulidur Rasul mengingatkan kita kepada firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Anbiya ayat ke-170 mengenai pengutusan Nabi Muhammad S.A.W. yang dinyatakan bahawa,

“Dan tiadalah Kami mengutus Engkau (Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi semesta alam”.

Rahmat yang dibawa Rasulullah S.A.W. tidak hanya mengeluarkan masyarakat Arab Jahiliah daripada kepompong kejahilan tetapi risalahnya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Sifat-sifat mulia yang ada pada baginda Rasullulah seperti jujur, baik hati, lemah lembut, bersederhana, penyayang dan mudah memaafkan orang lain wajar menjadi ikutan kita.

Sehubungan itu, bersempena Maulidur Rasul ini, marilah kita renungi bersama salah satu sifat mulia yang menunjukkan ketokohan dan kemuliaan peribadi baginda Rasullah S.A.W. iaitu kejujuran. Digelar sebagai Al-Amin. Rasulullah S.A.W. masyhur kerana kejujuran Baginda dalam kalangan penduduk Kota Makkah. Kejujuran Baginda ini amat-amat diketahui kerana keperibadian yang telus, tidak menipu dan sangat gigih dalam menguruskan perniagaan isteri Baginda iaitu Siti Khadijah. Pernah berlaku peristiwa banjir besar yang telah merosakkan Kaabah. Sehubungan itu, struktur Kaabah terpaksa dibina semula. Namun, setelah Kaabah diperbaiki, berlaku pertikaian antara kabilah Arab tentang siapa yang berhak untuk meletakkan semula Hajar Aswad ke tempat asalnya. Akhirnya, ketetapan diambil bahawa orang pertama yang memasuki Kota Makkah pada keesokan hari akan diterima sebagai pembuat keputusan siapa yang berhak meletakkan Hajar Aswad.

Hajar Aswad terletak di penjuru Kaabah iaitu di sebelah Tenggara. Ia menjadi titik mula tawaf mengelilingi Kaabah.

Keesokan harinya, ternyata orang pertama itu ialah Rasulullah S.A.W. yang amat mereka percayai kerana kejujurannya. Keputusan dibuat oleh Rasulullah S.A.W. agar setiap ketua suku bersama-sama membawa Hajar Aswad ke Kaabah dengan meletakkannya di atas sehelai kain. Penerimaan keputusan Rasulullah S.A.W. bukan sahaja kerana kebijaksanaan baginda. Keputusan itu dapat diterima dengan berlapang dada kerana terlebih awal, ketua-ketua kabilah ini telah begitu maklum akan kejujuran Baginda.

Semoga kita semua diberikan kekuatan olehNya untuk mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W. Akhir kata daripada kami, Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1439H / 2017M.

“RASULULLAH S.A.W. SURI TELADAN SEPANJANG ZAMAN”