Kringggg!!! Berakhir sudah sesi persekolahan 2017. Terasa pantas sungguh masa berlalu. Ya, musim cuti sekolah kini bermula. Di Selangor, sekolah mulai bercuti pada 25 November 2017 dan dibuka semula pada 2 Januari 2017.

Bagi ibu bapa di luar sana, apa perancangan anda untuk anak-anak yang bercuti sekolah? Tentu macam-macam perancangan semasa bercuti untuk anak-anak. Mungkin ada yang sudah lama menyusun atur percutian. Maklumlah, bukan mudah dapat meluangkan masa bersama mereka.

Kali ini, Team Selangor ingin berkongsi panduan cuti sekolah bersama anda sebagai ibu bapa. Tentulah tanggungjawab anda sebagai ibu bapa atau penjaga menjadi lebih berat apabila tibanya musim cuti sekolah. Semuanya berkumpul dan memerlukan perhatian. Berikut beberapa panduan yang dapat kami kongsikan.

1. Awasi anak-anak anda yang berumur 12 tahun dan ke bawah. Pastikan mereka ditemani orang yang lebih dewasa. Jangan ambil mudah kerana kebanyakan kes culik berpunca daripada kecuaian ibu bapa.

2. Ambil tahu dengan siapa anak-anak anda keluar, ke mana destinasi mereka, bila mereka akan pulang dan apa aktiviti mereka bersama rakan-rakan.

3. Sentiasa pantau aktiviti anak-anak yang menggunakan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif.

4. Libatkan anak-anak anda dengan aktiviti berfaedah dan bersifat pendidikan sepanjang cuti sekolah seperti ceramah agama, tuisyen dan kelas kemahiran serta pengembangan bakat. Cuti sekolah bukan cuti daripada belajar!

5. Bawa anak-anak anda ke majlis keagamaan, perayaan, keramaian atau kenduri-kendara untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga.

6. Bawa anak-anak anda pulang ke kampung halaman menziarahi keluarga dan saudara-mara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

7. Luangkan masa bersama anak-anak. Dengar dan fahami mereka.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pesanan ini bukan terhad semasa musim cuti sekolah sahaja tetapi ambillah peluang semasa cuti sekolah ini kerana perubahan komuniti bermula dengan anda sebagai ibu bapa atau penjaga.

Komuniti Selangor yang hebat bermula daripada perubahan kecil yang anda lakukan dalam keluarga!