Nyamuk aedes jangan dipermudah,
Gigitannya boleh membawa maut,
Kalau tak maut merana juga,
Segera bersihkan sekitar rumah,
Sebelum denggi merebak melarat,
Barulah keluarga sihat sejahtera.

Salam sejahtera. Apa khabar semua? Baru-baru ini, Kempen Bangkit Selangor Lawan Aedes dilancarkan Kerajaan Negeri Selangor untuk membasmi wabak denggi yang nyata membimbangkan komuniti Selangor. Mana tidaknya, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Yang Berhormat Dr. Daroyah Alwi, setakat 21 Oktober 2017, 59 kematian disebabkan denggi! Apatah lagi, Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi di Malaysia!

Sumber: Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Memandangkan keseriusan kes denggi di Selangor, hujung minggu lepas sahaja, pada 25 dan 26 November 2017, Team Selangor berjaya menjalankan program Gotong-royong Bangkit Selangor Lawan Aedes di kawasan DUN Bangi, DUN Selat Klang, DUN Kota Damansara, DUN Batu Caves, DUN Taman Templer dan DUN Sri Muda. Ia bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai bahaya denggi dan kaedah pencegahannya. Tak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak, semuanya terlibat sama memeriksa dan membersih serta memantau kebersihan kawasan kediaman. Membuang sampah-sarap seperti botol, bekas air dan plastik. Mencuci longkang dan tempat air bertakung serta memasukkan ubat jentik-jentik antara langkah yang mereka lakukan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Nampak tu! Betapa serious nya muka abang-abang yang bertungkus-lumus bergotong-royong.

Kata orang, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jadi, apakah sebenarnya langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mencegah denggi? Berikut ialah langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk aedes yang menjadi musuh kita ini.

  • Hapuskan bekas terbuang yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.
  • Jangan lupa tukar air dan bersihkan bekas air seperti kolah dan baldi sekurang-kurangnya seminggu sekali.
  • Beli ubat pembunuh jentik-jentik dan larutkan dalam bekas air seperti kolah, tangki, pam tandas dan saluran air bertakung atau tersumbat setiap tiga bulan.
  • Setiap hari, sembur racun serangga pada waktu awal pagi dan senja.
  • Menjelang malam, pasang ubat nyamuk seperti lingkaran atau elektrik atau tidur dalam kelambu.
  • Apabila di luar rumah, pakai seluar panjang dan baju lengan panjang berwarna cerah. Elakkan pakaian warna gelap.
  • Sapu krim penghalau nyamuk pada anggota badan yang terdedah.
  • Elakkan sementara aktiviti luar pada musim hujan begini, terutamanya ketika aedes paling aktif iaitu pada awal pagi (6.00 – 8.00 pagi) dan senja (6.00 petang – 8.00 malam).

Bercakap tentang denggi, anda semua mesti sudah arif mengenai tanda-tanda demam denggi. Bagaimanapun, andaikata ada anda di luar sana yang masih musykil mengenainya, jom saya jelaskan tanda-tanda ataupun gejala yang dialami sesiapa yang diserang denggi. Antaranya ialah:

  • Demam kuat yang mengejut.
  • Demam berlarutan.
  • Sakit teruk pada sendi, otot, tulang, biji mata dan kepala.
  • Ruam merah pada kulit.
  • Pendarahan bawah kulit, hidung dan gusi.
  • Hilang selera.
  • Muntah-muntah.
  • Sakit perut.

Menakutkan bukan? Jika anda mengalami tanda-tanda tersebut, jangan berlengah. Terus ke klinik atau hospital berdekatan dan nyatakan apa yang anda alami kepada doktor yang merawat anda. Jangan lupa berkongsi pengetahuan mengenai denggi kepada keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan. Anda juga boleh berkongsi terus mengenai info dan aktiviti berkaitan denggi melalui media sosial. Jangan lupa hashtag #BangkitSelangorLawanAedes