“SEKALI BAH, SEKALI TENAGA DIKERAH!”. Buat pertama kali, sukarelawan Team Selangor memerah tenaga dalam Misi Bantuan Banjir ke utara tanah air Pulau Pinang Pulau Mutiara. Misi ini melibatkan lebih 300 sukarelawan dalam dua siri kembara bantuan banjir pada 8 hingga 10 November 2017 dan 10 hingga 12 November 2017. Para sukarelawan yang berkampung selama seminggu menginap di kompleks Yayasan Aman di mana para sukarelawan Team Selangor menyusun gerak kerja sepanjang misi dijalankan. Di tempat sama, mereka menerima amanat Menteri Besar Selangor Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang turut serta dalam menghulurkan bantuan bencana banjir.

Sepanjang seminggu berhempas-pulas di kawasan terjejas banjir, sukarelawan telah membantu meringankan kerja-kerja pembersihan kediaman dan kawasan sekitar yang perlu dipulihkan kembali setelah bah surut. Kawasan misi bantuan merangkumi Seberang Perai dan Balik Pulau. Antara gerak kerja yang dilaksanakan termasuklah mengangkut barangan penduduk yang telah rosak, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan kediaman yang dikotori kesan lumpur dan menyampaikan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan serta keperluan sekolah sekadar termampu.

Sinergi Team Selangor bersama para pemimpin tempatan, wakil badan bukan kerajaan dan rakan-rakan pasukan sukarelawan lain menjadi ketumbukan yang ampuh ke arah keberjayaan misi kemasyarakatan yang julung kali diadakan di luar kawasan Selangor. Hal ini kerana sejak dilancarkan pada awal tahun 2017, program pemerkasaan Team Selangor hanya tertumpu di sekitar negeri Selangor semata-mata. Bukan sahaja mendapat sambutan sukarelawan sedia ada, Misi Bantuan Banjir ini turut menarik penyertaan baharu daripada belia Selangor yang berminat untuk berbakti kepada masyarakat.

Sesungguhnya, kecekapan Team Selangor menyusun atur misi ini sedikit sebanyak menampung kesulitan mangsa banjir di Pulau Pinang. Kegigihan para sukarelawan terbukti apabila sepanjang gotong-royong tersebut, meskipun telah memakan masa berhari-hari, mereka tetap setia menghulurkan tangan untuk meringankan bebanan mangsa banjir khususnya golongan mudah rentan iaitu warga emas, orang kelainan upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak. Salah satu mangsa mudah rentan yang dikunjungi ialah sepasang warga emas OKU di Kampung Seberang Tok Dol yang mengalami peristiwa luar jangka apabila tempat tinggal mereka dinaiki air setinggi paras bahu. Di Guar Jering dan Lintang Binjai, sukarelawan tetap tidak mengalah kepada cuaca yang kurang mengizinkan apabila mereka bertungkus-lumus mengangkut barangan rosak dalam suasana hujan.

Kawasan-kawasan lain yang dikunjungi sukarelawan Team Selangor termasuklah Kampung Permatang Indah, Kampung Belah Dua, Taman Siakap dan Kampung Kuala Tasek. Mangsa banjir yang dikunjungi dan diberikan bantuan oleh Team Selangor begitu gembira berbaur terharu dengan pertolongan yang dihulurkan. Bantuan ini meskipun sekadar setitis budi tetapi ia diharapkan dapat memberi semangat baharu kepada mangsa. Semoga senyuman yang terukir saat sesampainya kami ke kediaman mereka tidakkan lekang setelah kami beransur pulang. Buat para sukarelawan Team Selangor yang mengorbankan masa dan tenaga, kami dedikasikan sekuntum ucapan terima kasih tidak terhingga!