Suasana meriah dan wajah ceria terpapar di sekitar kawasan Padang Rakyat, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Oktober 2017 (Ahad) lalu apabila tujuh pasangan mempelai diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai dengan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada tetamu kenamaan, keluarga dan sanak saudara. Terdahulu, lima daripada pasangan pengantin tersebut telah diijabkabulkan oleh jurunikah kawasan kariah Kampung Jalan Kebun di Masjid An-Naim dengan kehadiran keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

Majlis perkahwinan yang dihadiri lebih 2,000 tetamu ini berlangsung dari pukul 12.00 tengah hari hingga jam 4.00 petang dengan perarakan pengantin, acara adat persandingan dan jamuan makan beradab. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran para tetamu jemputan Y.B. Dr. Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja), Y.B. Shuhaimi Shafiei (ADUN Sri Muda) dan Y.B. Dr. Yaakob Sapari (ADUN Kota Anggerik).

Bersesuaian dengan tuntutan agama yang menggalakkan kesederhanaan, majlis perkahwinan secara beramai-ramai ini menjadi wadah bagi para belia yang berhasrat mendirikan rumah tangga dengan kos mampu biaya. Apatah lagi, ia bersesuaian dengan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat saban hari. Sehubungan itu, program kerjasama Team Selangor ini berjaya memenuhi objektifnya untuk menggalakkan golongan muda mengadakan majlis perkahwinan dengan kos yang rendah.

Pasangan pengantin yang diraikan telah menerima Hadiah Insentif Skim Perkahwinan Belia berjumlah RM 500 iaitu bagi anak Selangor yang pertama kali melangsungkan perkahwinan. Di samping itu, tiga pasangan bertuah dalam majlis tersebut dihadiahkan dengan pakej penginapan di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam.

Menariknya, menerusi Program Walimah Perdana ini, semangat gotong-royong yang didakwa kian pudar dalam kalangan generasi muda hari ini dapat ditangkis apabila sepanjang majlis ini berjalan, ia menyaksikan golongan belia dari sekitar kawasan Shah Alam telah turun padang beramai-ramai menyumbang tenaga untuk menjayakan perjalanan majlis.

Hal ini turut membuktikan bahawa inisiatif Team Selangor menggiatkan aktiviti kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti di negeri Selangor sentiasa mendapat sambutan hangat dan dinanti-nantikan golongan belia. Akhirnya, kami daripada Team Selangor mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada ketujuh-tujuh pasangan pengantin, semoga rumah tangga yang dibina berkekalan hendaknya.