Kerajaan Negeri Selangor mengorak langkah ke hadapan dengan penubuhan Team Selangor iaitu pasukan berteraskan semangat kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti tempatan yang menarik minat golongan muda atau Generasi Y. Pelancaran Team Selangor yang merupakan Inisiatif Kesedaran Kenegaraan dan Pemerkasaan Komuniti di negeri Selangor ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis gilang-gemilang bertempat di Midlands Convention Centre. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat dalam kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli  Dewan Negeri Selangor dan para wakil komuniti tempatan serta para sukarelawan yang menjadi nadi Team Selangor.

Menerusi ucapan beliau dalam majlis itu, Menteri Besar Selangor menzahirkan harapan menggunung terhadap generasi muda Selangor, sebagai berkata, “Kerajaan Negeri percaya masa hadapan negara bukan terletak di tangan pemimpin lama tetapi anak muda”. Tambah beliau, “Bagi merealisasikan matlamat ‘Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri’, kita bertanggungjawab memupuk semangat sayangi negeri dan melahirkan masyarakat peduli dan berdaya”. Encik Ehsan Shahwahid yang mewakili Urusetia Team Selangor menekankan peranan Team Selangor sebagai pemudah cara dan penyelaras yang menggerakkan aktiviti komuniti di negeri Selangor seperti program rundingan atau dialog komuniti, kegiatan kesukarelawanan dan latihan pemerkasaan kepimpinan komuniti. Jelas beliau lagi, Team Selangor bergerak berteraskan tiga teras utama iaitu (i) kesedaran kenegaraan, (ii) penglibatan komuniti dan (iii) tindakan kesukarelawanan. Sementara itu, Pengerusi Program Pelancaran Team Selangor Encik Tarmizi Anuwar melahirkan harapan agar majlis pada malam itu menjadi wadah berkesan bagi memperkenal dan mempromosikan program sukarelawan bersifat kenegaraan kepada warga negeri Selangor.

Dengan tertubuhnya Team Selangor yang bertemakan Semangat Merah Kuning ini, ia antara lain bertujuan mencapai tiga objektif utama iaitu (i) memupuk nilai kesukarelawanan dan mengenal pasti nilai kepimpinan dalam komuniti Selangor, (ii) mengenal pasti isu-isu setempat dan (iii) menghasilkan penyelesaian bersifat tempatan menerusi penglibatan akar umbi, kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan. Sejak bulan Januari 2017, pihak Team Selangor telah menerima sambutan menggalakkan daripada anak muda negeri Selangor apabila lebih 3,000 orang mendaftar sebagai sukarelawan. Di samping itu, kira-kira 600 projek aktiviti komuniti yang melibatkan kerjasama pemimpin tempatan dan komuniti setempat telah dijalankan dengan penglibatan aktif dan memberangsangkan, khususnya peserta daripada golongan belia. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini menawarkan dana sehingga RM 5,000 kepada komuniti yang berminat untuk mengemukakan permohonan dan kelulusan dengan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada laman sesawang rasmi Team Selangor di alamat http://www.teamselangor.org